PLAGIARISME : Api yang Padam Masih Meninggalkan Asap

Rimba sastera telah terbakar lagi oleh api plagiarisme. Bukan sahaja hutan, malah kali ini mergastua turut terkena bahana bahangnya.  Isu plagiat kembali menghantui dunia dan warga sastera tanah air. Watak plagiaris boleh dianggap berada di kasta dewata sastera. Dapat disimpulkan, plagiarisme bukan kebetulan tetapi perbuatan jelek dan tidak beretika.

Plagiaris dikatakan sosok intelek, penulis dan penyair serta Penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu. Beliau sering diundang menjadi penceramah dan moderator pelbagai aktiviti bahasa dan program sastera secara maya. Memang diakui, plagiaris boleh dikategorikan sebagai sosok popular dan meraih populariti dalam jangkawaktu yang singkat. Namun, di sebalik kejadian ini jelas ada hikmahnya.  Ia dapat kembali membangkitkan semangat dan iltizam golongan penulis; di samping menyuntik kesedaran peri pentingnya kejujuran, bahawa kerja memplagiat amatlah hina dan terkutuk. Malah membawa huru-hara dan petaka di kalangan warga sastera.                                                                                                                                               

Dari sisi lain, ramai rakan penulis sebegitu seronok memberikan respons di media maya melebihi media cetak. Beberapa tulisan dianggap berani memberikan pandangan peribadi muncul di dada akhbar harian dan media maya.  Hanya tiga tulisan berkaitan yang dipetik iaitu rencana pertama memberikan teguran dan cadangan secara sederhana dan berhemah, berjudul, ‘Plagiarisme yang berulang’ oleh Shafiq Said (Berita Harian, Ahad 28 Nov.2021).       

Tetapi, dua tulisan berbaki dilihat begitu lantang dan suhu kepanasan turut menggelegak. Rencana kedua berjudul, ‘Ketika institusi bisu, ‘anarki’ bangun melondeh penciplak’ oleh Uthaya Sankar SB (Malaysiakini.com, Nov.24, 2021).         

Antara kedua-dua tulisan tersebut, satu darinya dipilih dan diberikan sedikit analisis dari segi laras bahasa kerana ‘keluarbiasaan’ bahasa yang digunakannya. Rencana yang dipilih ialah rencana ketiga berjudul, ‘Plagiarisme bukan kebetulan’ (PBK) oleh Wan Nor Azriq (Berita Harian, Ahad 28 Nov.2021).                        

Sementara itu, sedikit latar belakang Wan Nor Azriq Wan Mokhtar (WNA) anak kelahiran Alor Setar, Kedah. Beliau adalah pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 1 menerusi novel D.U.B.L.I.N. Selain itu, Azriq juga menghasilkan Boneka Rusia Guido, Dompet Kulit Buaya dan 86. Buku berjudul, ‘Astronomi Bilik Mainan’ terbitan DuBook, 2016 merupakan kumpulan Anekdot peribadi WNA. Gaya penulisan WNA rencam dan sarat pelbagai idea berat yang ditonjolkan dalam sesebuah rencana dan kerap mengundang kontroversi. Kontroversi sekali-sekala tidak menyentuh hal-hal peribadi boleh dianggap sihat dalam dunia kesasteraan tanah air. Tetapi, jika kontroversi tersembunyi duri, peniti dan belati guna menghunjam sasterawan arus perdana jelas perbuatan yang berbahaya dan mengundang bencana.                        

WNA, bagi mereka yang tidak mengenali, telah dilaporkan tergolong sebagai penulis muda dilahirkan songsang dari rahim Indie.  Kebanyakan rencana sastera tulisan WNA rata-rata dianggap memperlekeh, provokatif, menerbitkan permusuhan dan meninggalkan kenangan pahit di jiwa pembaca.  Teguran-teguran WNA berupa kritikan tajam menghiris jantung hati dan pedas menyengat deria rasa yang langsung tidak punya semangat toleransi atau menghormati penulis dan sasterawan (termasuk Sasterawan Negara) mengikut hireraki umur dan pengalaman.  Tetapi bagi golongan Indie, WNA adalah pejuang ala-ala ‘penulis revolusiner’ (pencetus pembaharuan-‘Indie Power’) yang berjaya menabrak gawang dunia sastera Malaysia dan mendobrak monopoli ‘sasterawan tua’ sejak zaman merdeka.  Malah DBP turut bergegar oleh ledakan meriam sindiran WNA seperti petikan berikut:  

‘Perubahan mendadak ini bukan sahaja memberikan impak kepada landskap kesusasteraan Malaysia secara keseluruhan, tetapi tempiasnya turut mengena pada institusi ASN. Antara kesan terbesar adalah hilangnya pengaruh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kita harus akui, sejarah sastera di negara ini dari dahulu sangat terikat dengan sejarah DBP, sehingga seseorang itu belum boleh dikira sebagai penulis selagi karyanya tidak terbit di sana.

Namun apabila munculnya rumah penerbitan mandiri seperti Fixi, Dubook Press, Lejen Press, Moka Mocha Ink, dan Sang Freud Press, monopoli Dewan Bahasa dan Pustaka dipecahkan. Karya diterbitkan dengan lebih cepat; pemasaran dilakukan dengan lebih agresif; rekaan sampul buku dibuat dengan lebih kreatif; dan buku sastera kembali kelihatan segar dan menarik untuk dibaca oleh generasi muda. Sementara karya-karya agung deretan SN kita masih disimpan dan hanya diterbit oleh DBP. Akibatnya rekaan buku mereka kelihatan kuno, jualan buku mereka sangat perlahan, dan paling teruk, buku mereka tidak sampai ke tangan pembaca’.

WNA juga dianggap kononnya sebagai penulis ‘Adi wira’ apabila dengan beraninya mengeluarkan kenyataan provokatif, ‘Kalau sedekad lalu ‘sastera tulen’ (atau sastera orang tua) masih dilihat sebagai berada di depan, masih dilihat sebagai pujangga masyarakat; ‘sastera marginal’ (atau sastera orang muda) telah mengambil alih peranan itu. Bukan sebagai pujangga, tetapi sebagai pencetus dan pencorak budaya semasa. Yang marginal bertukar menjadi arus perdana; sementara yang arus perdana bertukar menjadi marginal’. (Hebat sangatkah menjadi sasterawan negara?: Berita Harian, Okt.18, 2015).                                    

Beberapa petikan dari rencana hasilan WNA yang tidak kurang membuat warga sastera mengangkat kening, mengeleng-geleng kepala dan mengukir kekesalan di wajah adalah seperti berikut:

1. Sasterawan suka kritik orang? (Berita Harian, Mei 12, 2016). Petikan dianggap memperlekeh, ‘Kita merasai karisma dan kebijaksanannya sebagai pencerita, namun sebaik saja beliau berhenti bercerita dan bercakap secara langsung kepada kita, karisma itu hilang. Ibarat api pelita yang terpadam’.

2. Penulis Kedah cetek cita-cita. (Berita Harian, Dis.14, 2019). Petikan dianggap provokatif,  ‘Kalau tidak, “hangpa” bercakap seorang diri dengan bayang-bayang!’

Rencana sastera terbaru WNA berjudul, ‘Plagiarisme bukan kebetulan’ (Berita Harian-Ahad, 28 Nov, 2021) boleh dianggap sebagai klimaks dalam penggunaan laras bahasa yang rencam tajam tanpa toleransi, hilang rasa hormat dan menghina, memperlekeh, provokatif, menerbitkan permusuhan dan boleh dianggap sebagai ‘character assassination’.  Petikan-petikan tersebut adalah seperti berikut:                         

1. Kita sudah lama tahu, namun masih enggan mengakuinya. Persatuan penulis sudah tidak releven di negara ini. Sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Persatuan penulis tidak mewakili sesiapa kecuali kepentingan ahli-ahlinya yang ingin kekal releven, berkuasa, dan menggunakan nama persatuan untuk menjilat tumit kasut para politikus.                                                        

2. …muncul bukan sahaja pada waktu yang salah, ia memberi hujah menjengkelkan dan tersasar jauh daripada masalah sebenar.

3. Semua orang tahu politik ahli persatuan yang lebih sibuk menjaga periuk nasi masing-masing berbanding berjuang melindungi hak cipta pengarang dan kredibiliti golongan editor.                       

Mengikut pengamatan makro, WNA, setiap kali melayari sungai penulisan berarus deras, boleh dianggap sebagai pengemudi bot penambang yang hebat dan berani. Tetapi mempamerkan keberanian yang berlebihan itu menakutkan para penumpang dan mereka serik untuk terus kekal sebagai penumpang tetap. Barangkali, WNA perlu menukar kompas kepengarangan beliau demi mendapatkan semula kiblat penulisan yang benar dan muluk. Sesuai dengan sahsiah dan siasah tempatan; mencerminkan tinggi keperibadian pengarang dan rinci pensejarahan budaya Melayu berjatidiri.

Manakala pengamatan makro selanjutnya, WNA kalau bergomol dengan dunia penulisan memang tampak berghairah. Dalam keghairan tahap tertinggi, WNA bukan sahaja kurang berhemah, tetapi hilang kawalan nafsu kepengarangannya, turut menjadi teramat lemah sehingga semuanya hancur musnah.  Apa tidaknya, WNA semacam Zorro dan kuda setianya. Bezanya Zorro dalam filem dapat berkomunikasi dan mengawal kudanya dengan tangkas dan sempurna. Sebaliknya berlaku pada WNA yang jelas hilang kawalan etika terhadap penanya. Demikianlah kebenaran kata-kata pujangga bahawa, ‘mata pena itu lebih tajam dari mata pedang’. Selepas WNA sedar, kalau pun dirinya benar sedar itu sudah pun terlambat.  Pancungan petanda menzalimi dan kematian menjadi sia-sia.  WNA dilihat bijak menanak nasi dan memasak lauk. Tetapi, keegoan telah melalaikan dan akibatnya nasi menjadi bubur dan lauk punah dibuang ke tanah.

Bagaimana pun, sebagai penulis profesional, setiap mereka mesti telah mengetahui selok-belok penggunaan laras bahasa atau bahasa sasaran tatkala memproses tulisan. Jika persembahan mereka cantik dan elok itu akan menambah kualiti penulisan. Andai berlaku sebaliknya, implikasinya berat dan menimbulkan persepsi negatif, terutama sesiapa yang berkait dan dikaitkan di dalam tulisan tersebut.  Pihak yang disebutkan di dalam tulisan merasa tidak puas hati dan kesan penulisan itu yang dianggap fitnah telah pun memalukan dirinya (slender: public shaming and defamation).   Mungkin tindakan individu yang terkait akan pergi lebih jauh, misalnya akan berlaku tindakan undang-undang. Di samping mencari dan menegakkan kebenaran, individu tersebut berhasrat memugar semula maruah yang sudah tercalar.                    

Justeru, amatlah kurang bijak jika mana-mana penulis bertindak seolah-olah, ‘lebih sudu daripada kuah’ dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum kendiri (judgemental society) terhadap mana-mana individu sebelum sesuatu siasatan rasmi dilakukan oleh mana-mana pihak yang terlibat. Tekanan dan hasakan bertalu-talu oleh sekelompok penulis mengongsi band wagon semacam mendesak mana-mana individu sebenarnya tidak perlu, sebaliknya menimbul malu. Tidakkah tindakan gelojoh dan rapuh sedemikian seumpama  ‘tiada beban batu digalas’?

_____

Artikel ini disumbangkan oleh Tuan RAMLEE WAHAB, Timbalan Pengerusi Tetap, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Sebarang pandangan, saranan dan wacana daripada artikel ini tidak mewakili suara dan pendirian pihak portal Celikhuruf.com.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email