Kita Memang Ada Pengkritik Muda, cuma …

Dunia kritikan Malaysia sedang nazak? Memang ada kebenaran, kerana pada era 90-an dunia kritikan sebegitu malap malah hampir pupus. Sedangkan seawal era 50-an, dunia kritikan sastera Malaysia telah bermula dengan pesat dan bersemangat di tangan kritikawan seperti Asraf, Yahaya Ismail dan Kassim Ahmad.

Manakala pada era 70-an hingga 80-an dunia kritikan tekal bergerak dan semarak, malah dianggap berada di kemuncak. Kritikawan-kritikawan penerajunya seperti Hashim Awang, Baharuddin  Zainal, Shahnon Ahmad, Ramli Isin, Alias Murni, Mohd Affand Hassan, Awang Sariyan, sekedar menyebut beberapa nama. 

Ketandusan kerja-kerja kritikan dalam situasi masakini membuatkan Mana Sikana berpesan sekali gus menaruh harapan besar, ‘Jika kita mahu melihat tamadun Melayu berkembang, suburkanlah dunia kritikan, kerana ia adalah tiang dan paksi kesusasteraan, yang menjadi aras tanda peradaban Melayu’, (Sinar Harian14/2/2021).

Boleh hubungi penulisnya sendiri di 017-6573212 (Shahrun Nizal) untuk mendapatkan buku ini.

Perlu diingatkan, pengkritik sastera dan pengarang merupakan dua entiti penting dalam dunia kesusasteraan Malaysia. Namun, keterikatan atau hubung kait antara dua entiti tadi ditambah pula entiti ketiga iaitu pembaca menjadikan dunia sastera saling melengkapi. Pengarang melakukan tugasan mengarang mengikut jalur-jalur penceritaan dan pengalaman kepengarangan. Pembaca mengikuti dan mengasimilasi setiap watak dan babak mengikut persepsi dan cita rasa. Akhir sekali, pengkritik melakukan tugasan mengkritik karya sastera mengikut dua jalur kritikan iaitu kritikan jurnalistik lebih merupakan apresiasi secara am dan kritikan akademik yang bergerak dalam lingkungan pembelajaran dan berlandaskan teori yang kelihatan lebih objektif.

Demi mengisi ruang lompang yang ketara, muncul seorang anak muda berjiwa kental dan boleh dianggap sebagai peneliti sastera yang kritis. Beliau telah mulai berjinak-jinak dengan dunia kritikan seawall tahun 1999 dengan berbekalkan pengalaman sebagai pembaca, penulis dan pengurus sastera lebih mudah terdedah dan membedah pelbagai karya sastera.  Setelah hampir 20 tahun, barulah Shahrul Nizal sebagai sarjana sastera dan bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, dilihat mempunyai kekuatan menerbitkan semula tulisan-tulisan beliau iaitu esei-esei kajian sastera dalam sebuah buku berjudul ‘Fikrah Sastera’ (DBP 2021).  Hanya bab-bab yang terpilih dan dianggap terbaik akan diberikan sorotan ringkas.                                   

Fikrah Sastera terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kajian/Kritikan Sastera di Bahagian Pertama dan Sudut Pandangan Sastera di Bahagian Kedua. Dilakukan pilihan rambang beberapa bab yang menarik dan dijangka lebih memberikan manfaat. Bahagian pertama terkandung Sembilan bab dan tulisan yang dianggap paling menarik ialah ‘Daerah Zeni’: Kajian Teksdealiisme. Teori janaan sarjana tempatan oleh Mana Sikana ini upaya mengupas kedudukan dan keunggulan A. Samad sebagai seorang sasterawan. Pengaplikasian teori Teksdealisme dari segi prinsip kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan individualisme memberikan ruang lebih luas bagi pembaca menilai keunggulan teks tersebut.

Dan satu lagi bab yang tidak kurang menarik ialah bab kedua berjudul ‘Gaya Bahasa dalam Penulisan Sajak-sajak Sebelum Perang’. Penulis menggunakan pendekatan stailistik untuk membicarakan sajak-sajak yang dihasilkan pada tahun 1933 hingga tahun 1941. Aspek yang dianalisis ialah fonologi, leksikal, grafologi dan semantik. Terbukti bentuk dan stail sajak Melayu sebelum perang masih kuat dipengaruhi gaya puisi tradisional.                                                                         

Manakala dalam bab ketiga, penulis menyentuh soal pemikiran dan keindahan pengucapan puisi Ahmad Sarju melalui gaya bahasa yang digunakan di dalam kumpulan puisi ‘Permata Budi’. Penulis menemukan beberapa perkara penting yang terangkum dan sekali gus memberikan perkongsian ilmu yang membina dan menambah pengetahuan melalui esei berjudul “Antara Pemikiran dengan Estetika dalam ‘Permata Budi’. Misalnya, penulis melalui analisis menemukan penggunaan bahasa yang indah dan berkesan; bahasanya yang sederhana dan pemikiran dalam kebanyakan puisi begitu murni dan idealistik. Jelas upaya menyuntik rasa kecintaan dan taat setia diri terhadap negara dan menyuburkan kukuhkan jatidiri.

Beralih pula ke Bahagian Kedua iaitu Sudut Pandang Sastera. Bahagian ini terdiri dari lapan bab yang mengandungi pandangan peribadi dan idea-idea tersendiri penulis terhadap isu-isu semasa berkait dunia sastera semasa. Meski mungkin terdapat pandangan penulis yang dipersetujui atau bertentangan, namun itulah hakikat keindahan dunia sastera yang membuka ruang kepada pembaca atau pengkritik sastera serta penggiat sastera saling bertukar pandangan dan mencari titik persefahaman membangunkan kemaslahatan dunia penulisan esei dan kritikan.

Paling menarik ialah esei ‘Sastera Siber, Sastera Generasi Baharu?’. Sesuai dengan generasi masakini yang rata-rata rajin dan giat menyumbang karya ke media sosial, tulisan ini telah berusia 19 tahun dan masih releven. Malah penggunaan internet semakin meluas dan kemunculan pelbagai aplikasi di media maya telah lebih menyemarakkan lagi dunia penulisan tanah air.

Disentuh pula esei ‘Bahasa dan Sastera Mangkin Integrasi Generasi Muda’. Penulis bertujuan menerangkan kepentingan perpaduan di kalangan generasi muda itu dapat disuburkan oleh bahasa dan sastera. Lebih jelas lagi, bahasa Melayu bukan sahaja dianggap bahasa rasmi tetapi turut berperanan sebagai wadah perpaduan dan pemersatuan bangsa Malaysia.

Dan akhir sekali, bab enam ‘Teori Sastera dan Penulisan: Perlukah untuk Penulis Muda?’ merupakan bab terpenting yang mesti dibaca oleh setiap calon penulis muda. Selaras dengan perkembangan dunia sastera tanah air yang semakin berkembang, penulis muda kian bertambah dan karya-karya sastera semakin banyak dihasilkan. Sementelah untuk mendapatkan penyiaran di media cetak terutama akhbar-akhbar mingguan semakin sukar. Ini bermakna, karya-karya yang berkualiti dan menepati kehendak akhbar akan terpilih untuk disiarkan.                                                             

Maka, kepentingan menuasai teori dan pendekatan dalam kritikan sastera teramatlah penting dan upaya menambah kualiti penciptaan sesuatu karya sastera. Jika penulis muda berjaya menguasai beberapa teori tempatan atau luar negara, dunia sastera tanah air akan lebih cepat berkembang kerana karya-karya lebih berkualiti dapat disalurkan dalam pembinaan minda para pembaca kearah lebih kritis dan progresif. Perlu diingatkan, calon penulis muda tidak rugi menguasai teori dan teknik penulisan kerana karya mereka akan menjadi lebih terarah, kemas dan terfokus. Dunia sastera masakini mendambakan karya-karya lebih matang dari buah tangan pengarang.

Justeru, buku sebegini adalah kemestian dipunyai oleh penulis-penulis terutamanya calon penulis muda. Mereka sewajarnya meneliti setiap sudut kajian dan pandangan berkaitan karya-karya besar agar beroleh manfaat. Manakala penulis mapan sudah tentunya mendapat keberuntungan yang berlipat ganda kerana upaya lebih mendalami ruang-ruang kritikan yang lebih bersifat pragmatik dan mimetik, ekspresif dan impresionis dan sebagainya.  Dunia penulisan sentiasa meraikan pelbagai jenis penulis. Tetapi yang akan kekal dan menentukan survival penulisan berpanjangan adalah yang berfikiran fleksibel dan bersemangat juang yang tinggi. Siapa tahu, suatu hari nanti penulis dwi bakat sebagai pengkritik berupaya menyumbang karya ‘magnum opus’ dan memenangi hadiah Nobel.


Ulasan atau resensi buku ini ditulis oleh Sdr. Ramlee Wahab, Timbalan Pengerusi Tetap, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Beliau yang juga dikenali dengan gelaran ‘Nakhoda’ dalam ranah kesusasteraan tanah air. turut lantang mengkritik dan memperjuangkan nasib bahasa Melayu serta sering menulis tindak balas isu seputar sastera dalam negara.

Tajuk buku:  FIKRAH SASTERA

Penulis          :  Shahrul Nizal Mohd Nor
Pengulas        :  Ramlee Wahab.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email