GAYA BAHASA ‘MENUMBUHSUBUR’ POHON ASMARA

Kumpulan Puisi: Pohon Asmara merupakan naskhah pertama hasil nukilan dan cetusan hati nurani penyair muda saudara Zaki Halim, seorang pendidik UniMAP yang berkaliber dan aktif menulis dalam karya kreatif serta penulisan ilmiah. Beliau juga aktif melakukan tugas-tugas penyuntingan buku ilmiah dan juga karya kreatif. Keaktifan beliau juga terserlah dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan kebahasaan dan kesusasteraan negara sebagai penyair, penceramah, juri sayembara deklamasi puisi dan dendangan syair, pidato, debat dan forum remaja serta menjadi nadi penggerak kepada penganjuran aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan seperti sayembara, forum, seminar dan persidangan pada pelbagai peringkat.

Melalui Kumpulan Puisi: Pohon Asmara, kebijaksanaan awal penyair dapat dikesan melalui pemilihan tajuk dan juga pemilihan kata dalam penulisan blurb naskhah Pohon Asmara. Pemilihan tajuk dan kata-kata dalam penulisan blurb tersebut merupakan kunci utama dalam menarik perhatian pembaca untuk menyelongkar keseluruhan puisi yang terkandung di dalam Pohon Asmara. ‘Pohon’ bermaksud pokok atau tumbuhan yang berbatang besar serta keras. Manakala ‘Asmara’ bererti ‘cinta, kasih, dan berahi’ yang semula jadinya menjadi santapan dalam rencah dan fitrah kehidupan manusia tidak kira usia muda mahupun usia tua. Keseluruhannya terangkum dan terkait dengan nurani perasaan manusiawi yang diberi akal fikiran dan juga nafsu yang perlu dirantai dengan prinsip keimanan, ketakwaan serta berpaksi akal budi dan prinsip sejagat. Dapat disimpulkan bahawa Pohon Asmara ialah sebuah pohon yang rimbun dan rendang serta menjadi teduhan dan di bawah teduhan pohon tersebutlah pelbagai manfaat dan kemanisan buahnya dapat dirasai bersama hasil tuaian Pohon Asmara. Berikut kita sama-sama hayati penulisan penyair dalam blurb tersebut yang pastinya dapat menambat dan menarik hati pembaca melalui kalimat-kalimat yang disusun padu oleh penyair.

Dr. Noriha Basir, Pusat Sains Liberal, UNIMAP.

Pohon Asmara – sebuah himpunan puisi yang dighairahkan oleh 44 rangsangan jiwa dan rohani lewat larik kata yang bermakna dan berseni. Koleksi yang dihidangkan dalam pelbagai variasi dan gaya ini menemukan kata makna penyair kepada penikmatnya. Meski pun dalam kepelbagaian, mesej yang dihantar lewat 44 puisi ini menemukan dialog sejagat dalam nuansa peribadi. Maka segala yang dekat dengan kita adalah juga nyala rasa pada setiap insan. Pohon asmara yang didamba adalah kerendangan hubungan yang pada perdunya tersandar teduh, terlampias keluh, terkesat peluh. Selamat berteduh di bawah redup Pohon Asmara.

Jelaslah bahawa pemilihan tajuk naskhah Kumpulan Puisi: Pohon Asmara merupakan pemilihan yang tepat untuk menarik perhatian pembaca melalui frasa Pohon Asmara dalam tajuk naskhah tersebut. Penyair juga bijak memanipulasi kata dalam penulisan blurb tersebut untuk menarik perhatian pembaca seterusnya mengheret pembaca untuk memiliki naskhah tersebut bagi mengetahui lebih lanjut keseluruhan himpunan puisi yang terkandung di dalamnya.

Jalinan puisi yang digarap di dalam Pohon Asmara juga mengetengahkan pelbagai jenis gaya bahasa terutamanya gaya bahasa perulangan. Apakah gaya bahasa? Gorys Keraf (1990: 112) menyatakan gaya atau khususnya gaya bahasa dikenali dalam retorika dengan istilah ‘style’diturunkan daripada kata Latin iaitu ‘stilus’. Persoalan gaya bahasa meliputi semua hirarki kebahasaan iaitu pilihan kata secara individual, frasa, klausa dan kalimat bahkan mencakup pula sebuah wacana termasuk pula persoalan gaya bahasa. Awang Sariyan (1985:48) pula mengatakan bahawa gaya ialah manipulasi penggunaan bahasa sesuai dengan yang ingin dinyatakan penulisnya, sehingga menimbulkan kesan tertentu kepada pembacanya. Lantaran itulah, penyair telah mengadaptasi pelbagai jenis gaya bahasa yang terkandung di dalam Pohon Asmara sebagai rencah rasa untuk menyampaikan maksud daripada garapan puisi yang disampaikan kepada khalayak melalui medium bahasa.

Mana Sikana (1990:46) juga telah membicarakan tentang bahasa yang mengatakan bahawa bahasa menjadi alat untuk mencurahkan perasaan, pemikiran dan falsafah pengarang. Bahasa juga dapat dimanfaatkan sebagai medium ekspresi, komunikasi dan pernyataan manifestasi jiwa pengarang. Penciptaan sesebuah karya juga dikatakan bukan hasil kesusasteraan seandainya digarap tanpa pengolahan bahasa kerana dalam kesusasteraan juga wujudnya bahasa. Pengolahan gaya bahasa yang menarik dan indah dapat menunjukkan kebijaksanaan individu terutamanya dalam berbahasa seterusnya dapat meningkatkan keintelektualan dan keupayaan berfikir dalam diri individu. Kenyataan ini mempunyai kebenarannya berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh (Mana Sikana, 1990:57) yang mengatakan bahawa keindahan bahasa terbit daripada bahasa pemikiran dan perasaan yang sudah lama tercerna dan terolah dalam fikiran. Pemilihan perkataan juga seharusnya mengandungi maksud yang tepat, kejap serta boleh dilentur bagi menghasilkan gaya bahasa yang indah agar kelihatan sentiasa baharu dan seterusnya dapat menarik perhatian pembaca.

Hasil naskhah Pohon Asmara keseluruhannya juga menyajikan puisi yang puitis dan bermakna yang bisa membawa pembaca menerawang dan menerobos mengikut rentak bahasa dan makna yang teralir dalam minda penyair. Lenggok bahasa yang mudah difahami juga bisa menarik golongan remaja terutamanya pelajar sekolah yang masih teraba-raba mencari sumber naskhah puisi yang boleh dijadikan sandaran dan panduan serta hala tuju untuk berjinak-jinak di alam puisi. Alam puisi inilah yang sukar diterokai lantaran kehidupan masa kini yang berlumba-lumba untuk meneroka alam teknologi. Alam puisi juga tergalur di dalamnya sebuah kehidupan yang terawang-awang dan terbuai-buai dengan alunan bahasanya yang puitis dan tinggi nilai estetikanya yang mampu menjadi kanvas hati remaja yang memaut untuk menongkah kehidupan yang penuh ranjau dan berliku. Coretan-coretan kehidupan penyair juga diterjemahkan di dalam Pohon Asmara melalui lakaran pena yang dapat meruntun hati pembaca.

            Kekuatan Pohon Asmara juga dapat diperkukuh melalui ulasan kata pengantar oleh Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang dapat dinikmati bersama di awal lembaran naskhah Pohon Asmara yang amat bermakna untuk dihayati bersama. Kata-kata beliau yang membina dan menaikkan semangat merupakan bonus kepada penyair untuk menarik pembaca bagi membaca naskah ini seterusnya menghayati puisi-puisi yang terkandung dalam naskhah Pohon Asmara.

“Di Malaysia, ruang sastera semakin menyempit dan disempitkan. Terutama di tengah konsep pembangunan negara di mana sains dan teknologi dianggap paling penting, berbanding semua bidang-bidang lain. Dalam keadaan begini sebuah kumpulan puisi oleh seorang penyair yang baharu ialah sesuatu yang harus dirayakan. Setelah itu kita perlu menyebarkannya dan tunjukkan makna dan tempat puisi serta sastera dalam kehidupan kita di Malaysia.

                                Muhammad Haji Salleh, Pohon Asmara (2021)

Walaupun penyair merupakan penyair baharu yang baru berjinak-jinak dalam penulisan puisi, kita sebagai khalayak seharusnya menyokong penuh atas usaha yang diberikan dan meraikan usaha-usaha tersebut untuk memartabatkan puisi sebagai warisan seni budaya Melayu.

“Pohon Asmara oleh saudara Zaki Halim, memperkenalkan kita kepada suatu bakat baharu, yang memperlihatkan juga suatu sudut watak sastera yang baharu. Bersamanya dibawa juga alatan berbicara yang boleh diperikan sebagai cukup baharu. Di dalamnya mula terbayang pembaharuan pengucapan itu.

                     Muhammad Haji Salleh, Pohon Asmara (2021)

Di akhir kalimat, Muhammad Haji Salleh juga mula yakin dan percaya dengan kewibawaan penyair dalam karya yang dihasilkan oleh penyair.

“Penyair yang mula kukuh ucapannya ini, memperlihatkan bibit-bibit kematangan ekspresi yang mula tumbuh dalam gaya beliau menulis dan berucap.”

                                            Muhammad Haji Salleh, Pohon Asmara (2021)

Kecekapan penyair juga terletak pada pemilihan gaya bahasanya. Terdapat banyak jenis gaya bahasa yang terungkap dalam karya penyair. Analisis awal yang dapat dikongsi bersama ialah ungkapan kata ‘Pohon Asmara’. Penulis mendapati bahawa ‘Pohon Asmara’ ialah gaya bahasa personafikasi. Terdapat pelbagai pendapat daripada penulis-penulis tempatan mengenai gaya bahasa personafikasi. Antaranya ialah Gorys Keraf (1990) yang mengatakan bahawa personafikasi adalah semacam gaya bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati atau barang-barang yang tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Manakala Rahman Shaari (1990:35) pula mendefinisikan personafikasi sebagai pemberian sifat manusia kepada objek atau abstraksi. Pendefinisian yang dikemukakan oleh Henry Guntur Tarigan (1988: 17) juga mempunyai persamaannya iaitu dengan mengatakan personafikasi adalah majas yang tidak bernyawa dan idea yang abstraksi. Begitu juga pendapat yang dikemukakan oleh Sofian Hussain iaitu:

“Satu unsur dalam kesusasteraan yang menggunakan kiasan untuk memberikan sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan mahupun tindak tanduk lainnya kepada objek-objek mati atau kepada binatang, idea atau hal-hal yang lebih abstrak. Ia menggambarkan binatang-binatang atau benda rekaan sebagai mempunyai peribadi, kecerdasan fikiran dan emosi seorang manusia.”

                                                                    (Sofian Hussain et al, 1988:249)

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan melalui analisis ringkas ini, ‘Pohon Asmara’ ialah personafikasi iaitu gambaran yang diberikan kepada benda-benda yang mati atau tidak bernyawa iaitu ‘pohon’ seolah-olah memiliki sifat-sifat kemanusiaan yakni ‘asmara’ bagi menjadikan gaya bahasa yang diolah menjadi lebih bersastera tinggi. Maka, melalui analisis awal Pohon Asmara ini, penulis yakin dan percaya inilah himpunan puisi yang sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan kepada para remaja dan juga masyarakat atas pengolahan gaya bahasa yang digarap  dan keindahan bahasa yang digunakan dalam Pohon Asmara seterusnya dapat menjana pemikiran ke arah yang lebih kreatif. Analisis yang lebih menyeluruh tentang Pohon Asmara akan penulis telusuri dan selongkar melalui penulisan ilmiah yang dapat dikongsi bersama manfaatnya dalam lembaran penulisan yang akan datang.

Pohon Asmara juga boleh dimanfaatkan bersama oleh pelbagai pihak untuk menjadikan hasil penulisan kreatif sebagai ruang untuk mendalami lagi hasil kesusasteraan Melayu. Aspek gaya bahasa yang diketengahkan oleh penyair di dalam Pohon Asmara juga dapat menilai sejauh mana kehalusan gaya bahasa yang dipilih dapat menarik minat golongan pembaca. Gaya bahasa yang baik dan berkualiti juga dapat menentukan penghasilan karya kreatif yang bernilai tinggi. Oleh yang demikian, disarankan semua khalayak untuk memiliki Pohon Asmara untuk merasai bersama denyut nadi penyair seterusnya dapat dijadikan santapan minda bersama.

“Tenor kepengarangan 44 buah sajak yang rencam temanya ini bukanlah semata-mata sebuah kerja mengatur kata dan diksi, justeru sebagai suatu hidangan lauk-pauk yang tergaul dan terbungkus di dalamnya bersama-sama dengan nada kekesalan hati, keghairahan hidup, kenikmatan rasa, keterujaan bernyawa, kerakusan kuasa dan kesyukuran sebagai hamba untuk sebuah kekenyangan jiwa dan rohani.

Zaki Halim, Pohon Asmara (2021)

Seterusnya, penyair melalui prakatanya, mendoakan pembaca agar dapat menikmati bersama hasil puisi beliau dengan kata-kata azimat berikut:

“Semoga saudara dan saudari penggemar makanan kata dan diksi berasa senang, tenang, dan lapang dengan sajian redup daripada ranting-ranting keluh kesah hidup yang merendang. Selamat bersandar dan menikmati teduh di perdu Pohon Asmara.

Zaki Halim, Pohon Asmara (2021)

Oleh yang demikian, melalui resensi ini, penulis mengajak khalayak semua pencinta bahasa untuk sama-sama memiliki naskah Kumpulan Puisi: Pohon Asmara sebagai sokongan padu dan memberi semangat kepada penyair untuk terus berkarya. Semoga karya-karya puisi yang disumbangkan oleh beliau di dalam Pohon Asmara menjadi wakaf ilmu yang berpanjangan untuk masyarakat sejagat. Begitu juga sokongan khalayak dalam memiliki naskhah puisi ini juga dikira sebagai usaha untuk memartabatkan warisan seni Melayu agar warisan bangsa kita terus mekar sepanjang zaman.

Rujukan

Awang Sariyan. (1985). Dari Kata ke Ideologi Persoalan Stilistik Melayu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Gorys Keraf. (1990). Diksi dan Gaya Bahasa. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

Henry Guntur Tarigan. (1986). Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Bandung: Penerbitan Angkasa.

Mana Sikana. (1990). Pendekatan Kesusasteraan Moden: Penerbit Karyawan.

Noriha Basir (2001). Gaya Bahasa Dalam Novel ‘Al-Abrar’ Oleh Hasanuddin Md. Isa: Satu Kajian. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Serdang, Selangor.

Rahman Shaari. (1990). Metafora dan Personafikasi: Pelita Bahasa. Jilid 2. Bil 5 hlm 35-36.

Sofian Hussain et.al. (1988). Tanggapan Pembicaraan Karya-karya Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaki Halim. (2021). Kumpulan Puisi: Pohon Asmara. Kuala Lumpur: Penerbit Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Ulasan buku ini dikirimkan oleh Dr. Noriha Basir. Untuk memiliki buku ini, boleh hubungi terus penulisnya melalui FB Zaki Halim atau melalui laman e-dagang METROMEDIA.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email