Amanat Cerdik Bahasa Cantik dalam PUISI PENDEK

Aku bukanlah sesiapa….

Petikan puisi di atas menjadi penting kerana kependekannya dan merupakan kejujuran suara jiwa serta menyerlah paparan ruang lingkup ‘world view’ penyairnya. Puisi tersebut merupakan satu-satunya puisi mewakili sejumlah puisi dalam Kumpulan Puisi  Laut Swakarya (ITBM, 2014).

Apabila diselak helaian demi helaian setiap muka suratnya memaparkan puisi-puisi yang pendek dan ringkas. Jika sekali duduk dan kopi direguk atau sekali nafas dihela membiarkan mata berlari meneroka setiap aksara, mungkin beberapa puisi boleh dibaca atau habis kesemuanya. Tetapi mungkin juga mustahil menghadamkan kesemuanya sekali gus jika akal tidak dijentik persoalan. Kerana, pendeknya bukan sebarang pendek; bahasanya cantik dan amanatnya cerdik. Demikian jika dirasakan terlalu ringkas; maknanya bernas dan pandangannya luas. Bagaimana pun, kekecualian diberikan kepada dua buah puisi iaitu ‘Rumpun Serai, Rimbunan Sirih’ dan ‘Teratak Itu’ dianggap sederhana panjangnya. Percubaan memanjangkan rangkapnya wajar diraikan.

Norfazliana atau nama penanya Aduka Jiwa adalah penyair kelahiran Kedah. Berkerjaya sebagai guru dan telah menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah. Bersandarkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Melayu Komunikasi Profesional, Tidak syak, Aduka Jiwa memang berniat malah berhasrat melahirkan puisi-puisi pendek dan ringkas demi memenuhi tuntutan minatnya. Beliau mahu mengongsi pengalaman melalui seringkas kata tetapi sebernas bahasa. Itulah gaya dan cara Aduka Jiwa berkongsi suara jiwanya yang sarat dengan pengalaman kehidupan.    

Bijak pandai                                              

Justeru, pendeknya sesebuah puisi ada diulas oleh bijak pandai dunia perpuisian. Kita ikuti pandangan SN Prof.  Muhammad Haji Salleh, ‘walaupun ada yang merasakan puisi itu terlalu pendek, kita tidak harus lupa bahawa puisilah bentuk yang mendahului prosa dan untuk ribuan tahun inilah yang menjadi wadah mongel alur fikiran dan naratif bangsa kita dan banyak bangsa yang lainnya.  Puisilah yang menyimpan pemikiran terbijak    bangsa-bangsa   kita    dalam perumpamaan,   teromba,   perbilangan    dan sebagainya….Yang pendek itu padat,rapi dan disusun seperlunya.  Puisi pendek tiada memperlihatkan lebihan atau pembaziran…”

            Sayugia perlu diingatkan bahawa penulis-penulis tersohor juga turut menghasilkan puisi-puisi pendek atau kontot seperti SN Usman Awang, (Puisi-puisi Pilihan, DBP- 1994: 156) dengan puisi beliau berjudul Kehilangan, SN A.Samad Said (Benih Semalu, DBP-1987) dengan beberapa puisi seperti ‘Ombak’, ‘Resam’, ‘Rakan’, ‘Burung’ dan ‘Nikmat’, Latiff Mohidin iaitu puisi berjudul Kebakaran (Sungai Mekong, DBP-1981:16), Rahman Shaari dengan puisi Nanti Berbalik Pada Siapa (Serpihan Diri, DBP-1987:8), sekedar memetik beberapa nama.

Sekali lagi, jika diajukan persoalan pada saya, mengapa puisi-puisi Aduka Jiwa pendek – kontot kebanyakannya? Mudah saja, kerjaya guru mendidik bukan mengherdik dan kalau menegur itu biar ringkas, tepat dan padat usah bertele-tele. Mungkin Aduka Jiwa terbawa-bawa gaya kerjayanya atau memang gaya kesukaannya mempersembahkan karya. Beliau mahu berkarya pada tahap paling selesa, terimalah seadanya.

Pemikiran Cerdik

Lantaran, puisi-puisi pendek biasanya terkandung pemikiran cerdik. Pemikiran beginilah wajar diselongkar dan dibongkar kecerdikannya seperti beberapa puisi Aduka Jiwa yang dipetik secara rambang dan upaya menyumbang wadah amanat yang positif untuk dihadam cerna oleh para pembaca. Sementelah, puisi juga boleh jadi suara hati dan luahan gambaran minda. Bertolak dari premis begini, segala kembara di Laut Swakarya menjadi lebih menduga pertimbangan akal bijaksana. Puisi juga kadangkala berteka-teki. Terpulanglah setiap individu memberikan interpretasi.

Bermula dengan petikan puisi berjudul ‘Palsu’. Terkelindan aku / ketika engkau bertegas / mahu memilih kaca hiasan / dan bukannya segunung intan /..Lalu jawabmu / sedangkan emas memancar tiruan / mengapa harus menjerat lengan? Mengapa puisi begini dihidangkan sebagai pembuka selera jiwa? Mungkin juga penyair mahu memberikan amaran atau peringatan agar lebih berhati-hati dengan kehidupan penuh pancaroba masakini. Lebih sesuai jika perkataan ‘terkilan’ mengambil tempat ‘terkelindan’ tapi, penyair lebih selesa dan yakin dengan intuisi jiwa. Puisi bukan sahaja membuka ruang berkomunikasi, tapi terkadang mengundang kontroversi. Sekali-sekali bagus begini.

Puisi bertemakan cinta kesukaan golongan remaja. Proses meremajakan diri adakalanya menduga diri remaja yang naif berkaitan perkara cinta ini. Justeru, puisi ‘C.I.N.T.A’ jika tidak ditangani secara hati-hati, pasti terkucil menjadi klise. Namun, di tangan penyair, cinta menjadi luar biasa bila dibiarkan lepas bebas dan membiarkan ia memainkan peranan. Penyair menerima takdir dengan berlapang dada meski terkesima. Tika air bena memagari pantai  /  nama kita di pasir jernih kian pusam dan mati  /  Dan perahu balang yang kuikat didahan reput terongah-angih benar lagaknya / Sedar-sedar, ia sudah sampai ke tengah / dan aku… / tersadai di batu hitam; rimpuh dan melankolik.

            Janji membawa akibat jika tidak ditangani dengan hati-hati. Demikian puisi ‘Janji’ menyatakan dirinya, Telah aku matikan / tali-temali / yang menambat kita / agar kau tak bias berlari / daripada janji sekerat jalan. Jelas penyair lebih berhati-hati mendahului situasi seolah telah ‘menyediakan payung sebelum hujan’.

            Akibat kurang peka, tidak berhati-hati dan mungkin terleka berlakunya musibah. Maka puisi ‘Pahat Dan Tukul’ telah menonjolkan hukum sebab dan akibat ketiadaan sikap waspada membaca sikap manusia dan masa muka. Pahat tidak akan berdengung / jika engkau / lebih celik daripada tukul / dan paku yang tumpul.

            Berpuisi bukan sekedar berimaginasi dan berilusi serta berfantasi. Tetapi adakalanya turut memetik bunga-bunga nyata di bumi. Demikian puisi ‘Cerita Pasir Kepada Batu’ mempunyai makna berlapis-lapis. Tetapi, apa yang menariknya ialah usaha positif penyair menggunakan peribahasa secara kemas dan bernas. Entah mengapa, jarang-jarang malah tiada kedapatan langsung pada puisi-puisi moden masakini. Sepertinya mereka / bagai orang mengantuk disorongkan bantal / mencumbu batu mengulit pantai / namun tak sedar / akan aku yang mengintai.

            Sudah lumrah, guru dan buku ibarat irama dan lagu tidak mungkin terpisahkan. Puisi ‘Daripada Sebuah Buku’ memberitahu, buku bukan sekedar dibelek-belek sahaja. Tetapi, buku mesti di selak, ditelanjangi, diperhati dan ikut serta dihadam segala isi. Mustahil untuk aku / menjadi pintar / jika buku yang kupegang / hanya kukerling / depan – belakang.

            Kehidupan di dunia memerlukan kawan demi merentas perjalanan. Tetapi, berkawan itu perlukan perhatian. Kerana, ada kawan membawa kebahagiaan dan ada juga kawan membawa malapetaka. ‘Kawan’ merupakan puisi separa polos tapi penuh bermakna. Terima kasih kawan / kerana mencicirkan aku / di tengah / kerana tepi; belum lagi berlari.

            Mencintai alam sekitar dan menjaga kelestariannya menjadi tanggung jawab setiap kita di bumi pinjaman Tuhan ini. Apabila mana-mana komponen kehidupan diganggu gugat, maka kitaran pusingan kehidupan turut terencat. Begitu juga hutan belantara dan hidup-hidupan di dalamnya wajar terpelihara atau mengundang bahaya di masa muka. ‘Betapa Kecintaan Itu Kian Hilang’ satu-satunya puisi bertemakan alam sekitar yang perlu diberikan perhatian. Betapa kecintaan itu kian hilang / dan perlahan-lahan mergastua mengaduh / betapa kemanusiaan itu / kian pudar / dan perlahan-lahan / ia memar dan mati.

            Bahasa Melayu dalam proses metamorphosis menjadi ‘lingua franca’ kedua di Asia dan sohor di pelantar antarabangsa. Diperkatakan orang, lidah bangsa Melayu upaya menutur pelbagai bahasa dunia dengan mudah dan lancar. Demikian puisi ‘Kerana Lidah’ menggeledah dan menyimpulkan betapa lidah bangsa Melayu tentunya memungkinkan segala impian menjadi kenyataan. Kerana lidah / kita cipta lingua franca / dalam kelompok Austronesia / Kerana lidah / kita artikulasi Pijin dan Kreol / dalam mewah bahasa sarwajagat / Dan kerana lidah / kita citrakan bangsa budaya / yang menjunjung tinggi / ideology nusantara.

            Sikap dan sifat orang Melayu dan juga budaya adat resam nenek-moyang amat mereka junjung dan hormati. Maka, tidak hairanlah masih terdapat generasi masakini mengaplikasi adat resam lama tersebut. Salah satunya, sikap merendah diri merupakan sifat yang terpuji dalam Islam. Senantiasa menjaga tutur kata, bersopan santun dan memelihara hati dan perasaan orang lain. Adakalanya, segala tindak-tanduk dan perbuatan tersurat itu terkandung makna tersirat yang amat berat. ‘Dongeng Enggang Dan Pipit’ adalah puisi yang tepat menggambarkan situasi tersebut. Keranamu tuan / kupilih cangkir sompek / sedang kutahu / bibirku kan carik / Keranamu tuan / kualaskan dulang kemik / sedang kutahu / ceperku kan terbalik / Keranamu tuan / kuberikan engkau / pinggan yang cantik / lantaran / enggang / tak akan seiring / dengan sang pipit.

            Bangsa Melayu amat mementingkan susur-galur keturunan; menghormati dan menyayangi waris dan walak. Anak-anak dan cucu-cucu diajar mendengar kata ibu bapa dan datuk nenek. Demikian puisi ‘Pesan Nenek’ mengunjurkan agar diberikan perhatian terhadap sebarang pesanan orang tua dan dijadikan pedoman mengharungi kehidupan. Jadilah seperti parang / belakangnya tumpul / kan bisa tajam / Jadilah seperti tebing / ditumbuk aurnya / kan tetap seiring / Jadilah seperti lebah / usahanya kuat / tak mudah rebah.

            Puisi ‘Siapa Tuan?’ sedikit mencuit perasaan. Bertolak dari premis bahawa semua manusia sama darjatnya di sisi AllahSWT. Dalam kehidupan bermasyarakat memang ada takah dan kastanya. Begitu juga dalam organisasi pekerjaan wujud pekerja atasan dan bawahan; ketua dimuliakan dan dihormati dengan panggilan ‘tuan’. Tuan akan dikaitkan dengan ‘kuasa dan kekuasaan’ serta ‘kuat dan kekuatan’. Kenali dan berhati-hati dengan sesiapa yang berkuasa dan menguasai kita. Soalnya / bukan panjang rakit yang perlu kaufikirkan / tetapi / kental buluh yang kauikatkan / kerana arus / tidak pernah mengenal tuan.

Bahasa Indah

            Puisi adakalanya tidak perlu panjang berjela-jela, cukup sekedar seadanya; walaupun sebaris kata atau beberapa baris dalam serangkap, tetapi cukup padat, sarat makna yang berat  dan kesannya  hebat dan  kekal memikat.  Maksudnya,  jika  idea,  tema dan gagasan  pemikiran   boleh disampaikan dalam seringkas kata tetapi konotasinya masih tinggi dan luas, itu lebih baik dan menjimatkan masa dan ruang.  Tambahan pula dalam zaman teknologi internet begini, pembaca tidak punya banyak masa untuk membaca karya yang panjang, lantas karya yang pendek dan ringkas asalkan terkandung maklumat dan bermanfaat akan menjadi pilihan. Sentiasa di cari atau ditunggu kehadirannya.  

            Tetapi perlu diingatkan, pendek atau ringkasnya puisi tersebut tidak semestinya mengorbankan walau sedikit ciri-ciri seni, makna dan mesejnya.  Rahman Shaari (Dewan Sastera, Bil.4 2017: 57) memberikan huraian, “Puisi – sama ada yang tradisional, mahupun yang moden – memuatkan ‘kesenian.’  Bukanlah puisi jika kesenian tidak dititikberatkan oleh pengkarya.  Penyair perlu mencari ramuan kesenian agar dapat memikat pembaca bagi mendekati puisi.  Kesenian boleh berada dalam teknik, dalam gaya dan boleh juga dalam kandungan (isi).  Kesenian yang ada dalam kandungan disebut pemikiran puitis”

            Sedemikian, Kumpulan Puisi ‘Laut Swakarya’ telah menepati ciri-ciri keindahan atau memiliki nilai-nilai estetika yang dimaksudkan  oleh  Rahman Shaari.  Beberapa   petikan  puisi  dipaparkan  di sini   sebagai pedoman. Puisi-puisi  berikut dipilih  kerana  mempunyai  ciri-ciri keindahan  rima dan irama yang menonjol dan sememang menjadi tuntutan dalam dunia perpuisian. Bermula dengan puisi ‘Palsu’ yang di rangkap pertama menggunakan untaian perkataan ‘kaca hiasan’ (bait ketiga) dan ‘segunung intan’ (bait keempat). Juga dirangkap kedua petikan perkataan ‘memancar tiruan’ (bait kedua) dan ‘menjerat lengan?’ (bait ketiga). Rima awalan tengah dan akhiran yang sama bunyinya dan menimbulkan irama yang setara merdunya. Begitu juga petikan puisi-puisi seperti ‘Pahat Dan Tukul’ – ‘daripada tukul’ / ‘yang tumpul’. Puisi ‘Sebelum Terlewat’ – ‘pasir putih’ / ‘nan jernih’ dan ‘semakin hanyir’ / ‘terus terpinggir’. Puisi ‘Riuh Batu’ – ‘ada dingin tanpa salji’ / ‘ada kaus tanpa kaki’. Puisi ‘Rebung’ – ‘yang memegangnya’ / ‘dan meronta’ / ‘segera tua’ / kembali muda’. Petikan terakhir puisi ‘Dongeng Enggang Dan Pipit’ yang dijadikan blurb amat sarat dan pekat elemen-elemen eufemisme dan sinisme. Puisi yang amat intim dengan pengalaman peribadi penyair.

            Keranamu tuan / kupilih cangkir sompek / sedang kutahu / bibirku kan carik.

            Keranamu tuan / kualaskan dulang kemik / sedang kutahu / ceperku kan terbalik.

            Keranamu tuan / kuberikan engkau / pinggan yang cantik / lantaran / enggang /

            tak akan seiring / dengan sang pipit.

Kesimpulan

            Sebagai menyimpulkan tulisan ini, puisi ‘Laut Swakarya’ dijadikan tajuk Kumpulan Puisi ini memanglah tepat. Kerana kita dihidangkan dengan pelbagai tema puisi yang menduga akal dan mencuit hati. Adakalanya seperti memprovokasi tetapi terkandung juga amanat dan dedikasi. Aduka Jiwa, penyair muda yang telah menemukan gaya dan menyerlahkan bakat asli sebagai penyair unik dan tersendiri. Walaupun demikian, Aduka Jiwa punya peribadi dan tahu berbahasa merendah diri. Sebagai nakhoda baru, beliau berhati-hati mengemudi bahtera di Laut Swakarya. Aku bukanlah sesiapa / yang baru bertatih / menyusun kata / sedang yang lain / sudah terstruktur / wacananya / Namun / aku turut punya minda / yang mencipta frasa / seluas laut swakarya. Tapi beliau turut punya minat dan bakat.

            Sebagai seorang guru dan naluri keguruan itu amat kuat maka majoriti puisi-puisi Aduka Jiwa terasa mengusap ubun-ubun pembaca seraya mendendangkan suara didaktiknya. Malah, kedapatan beberapa perkataan kabur makna telah mengunjurkan agar pembaca mengintimkan diri dengan kamus tentunya. Endahnya penyair agar pembaca merasai, mengunyah dan menghadam setiap kata-kata yang terhidang. Berharap agar diri pembacanya kenyang dan merasai tenang sewaktu mengharungi Laut Swakarya. Jelas di sini, Aduka Jiwa telah mengupayakan dirinya menganyam kembali bibit-bibit kenangan sekali gus menjadi tikar pengalaman. Mengongsi pengalaman yang mematangkan kehidupan insan.

            Sebagai menghargai usaha dan jasa seorang guru berkarya, Aduka Jiwa wajar diraikan dengan sebuah pantun sebagai mengakhiri apresiasi ini:                                                 

            Tenang-tenang air di laut,

                 Sampan kolek mudik ke Tanjung;

           Hati terkenang mulut menyebut.

                 Budi baik rasa nak junjung.

_______________________________

Artikel ini disumbangkan Oleh:  Ramlee Wahab, Batu Pahat.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email