Tertarik dengan judul besarnya, ‘Unfollow the Flow’, merupakan faktor utama saya membeli buku ini sewaktu menelusuri antara rak bestseller dalam sebuah kedai buku di ibu kota yang turut menempatkan buku ini di situ. Saya bertanggapan buku ini mungkin berlainan konteks jika dibandingkan dengan lambakan buku-buku motivasi yang boleh dikatakan sajian inti pati yang klise dan menjemukan. Ini antara sebab saya kurang mendekati genre motivasi kerana tiada apa yang mengujakan untuk mendorong tindakan baharu.
Aiman Azman bukan satu nama asing apabila dikaitkan dengan motivasi dan jati diri yang mensasarkan golongan belia tempatan sebagai audiens. Ini ialah buku keempat beliau di bawah penerbit Iman Publications. Buku-buku yang pernah diterbitkan sebelum ini ialah ‘Unshakeable – How To Be Confident When You’re Nervous’(2018), ‘Unbreakable – How To Prepare Yourself For A Strong Relationship (2019), dan ‘How Are You?’ (2019). Memandangkan saya pernah membaca tulisannya bersama seorang lagi personaliti psikologi iaitu Aiman Amri menerusi buku ‘How Are You?’, maka saya berfikir buah tangan terbaharunya ini mampu menepati cita rasa saya.
Jika anda menyemak reviu buku ini di laman web Goodreads, anda akan menemukan bercampur-baur pendapat pembaca buku ini. Mujurlah saya sedikit pun tidak terpengaruh. Saya telah memberikan 5 bintang untuk buku ini di sana atas beberapa perkara seperti berikut:
- Bahasa Inggeris yang santai dan mudah, sesuai untuk semua peringkat usia. Usai membacanya, anda boleh sarankan buku ini pada adik, anak, rakan malah saya berpendapat untuk golongan professional yang terbabit secara langsung dengan kerja-kerja kemasyarakatan atau aktivis, turut boleh disarankan pada mereka.
- Di awalan bab, Aiman Azlan telah memberitahu bahawa buku ini janganlah disamakan seumpama sebuah buku resepi yang memberi panduan langkah demi langkah. Sebaliknya, beliau lebih banyak merangka topik besar berkisar isu-isu yang lazimnya dialami oleh majoriti yang masih tercari-cari hala tuju hidup dan identiti diri. Dan, jangan terkejut jika saya katakan golongan usia 30-an dan 40-an boleh sahaja membacanya kerana ada kalanya dalam satu-satu peringkat hidup, kita akan tertanya-tanya nilai hidup dan apa yang kita mahu dan capai dalam kehidupan seterusnya.
- Rasa terpujuk dengan ayat-ayatnya yang cukup berempati. Seolah-olah berhadapan dengan seorang Kaunselor (sudah tentulah beliau berkemahiran memandangkan beliau sendiri adalah graduan Sarjana Psikologi) yang memahami dan mampu membantu untuk kita mencari beberapa alternatif bersama kekuatan diri yang boleh diketengahkan.
Di penghujung bab buku ini, dilampirkan beberapa kajian kes yang keberangkaliannya ramai yang mengalaminya. Ini bersesuaian dengan pengalaman beliau dalam bidang ini sudah sedekad lamanya yang membuktikan beliau arif dalam topik-topik sebegini.
Jadi, benarkah ‘Unfollow the Flow’ itu membawa maksud keluar dari kebiasaan? Apa yang sebenarnya Aiman Azlan menyarankan ialah bertanggung jawab kepada kehidupan sendiri dan tidak meletakkan pengaruh luar sebagai mutlak untuk membentuk personaliti kendiri. Fahami tujuan hidup adalah kekuncinya berteraskan nyala rasa yang konsisten sangat disarankan. Selebihnya, untuk memahami bagaimana ia harus diterapkan, anda bacalah buku ini dengan penuh penghayatan.
Selamat bertemu kembali diri anda yang unik!
Info Buku:
Judul: Unfollow the Flow – Owning Your Life Driven by Passion & Purpose
Pengarang: Aiman Azlan
Penerbit: Iman Publications
Tahun terbit: 2020
ISBN: 978-967-2459-06-4
Ulasan buku ini dikirim oleh HANZ JAMALUDIN, Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmail.com