TUTUP OPERASI AKHBAR: Agenda Pembunuhan Senyap?

Saya hilang kata-kata ketika kita membaca berita  bahawa operasi akhbar New Sabah Times (NST) telah  ditamatkan pada 31 Disember 2020 yang lalu. 

Akhbar NST telah beroperasi selama enam dekad dan dianggap sebagai sumber berita tertua dan bereputasi di Sabah. Yang muncul dalam benak saya ialah bagaimana akhbar sebegini lama juga terkena kesannya, sehingga perlu dikuburkan. Khabarnya, antara sebab penutupan operasi ini ialah penurunan mendadak dalam edaran akhbar dan hasil iklan yang merudum. 

Lain pula di luar negara.  Kumpulan Alden Global, pengurus dana lindung nilai berpengkalan di Manhattan, Amerika Syarikat menawarkan untuk mengambil alih sepenuhnya Tribune Publishing.  Pada masa ini mereka memiliki 32% saham di dalam Tribune.  Tribune Publishing terlibat menerbitkan 8 akhbar antaranya – Chicago TribuneNew York Daily NewsThe Baltimore SunOrlando Sentinel, South Florida’s Sun-Sentinel, dan Virginia’s Daily Press.

 

Sebenarnya ada dua sisi menarik dalam urusan oleh Alden.  Satunya mereka sudah pun memiliki 200 akhbar di Amerika di bawah sayap mereka.  Sisi kedua yang kurang ditonjolkan ialah dengan mengambil alih syarikat-syarikat akhbar mereka didakwa membunuh akhbar itu secara halus. Antara dakwaan lain oleh News Guild CWA yang mempunyai ahli daripada kalangan wartawan, pemberita dan pekerja akhbar seramai 26,000 orang ialah Alden lebih berminat untuk membuat keuntungan cepat daripada menyelamatkan akhbar yang diambil alih oleh mereka, menurut Jon Schleuss, Presiden News Guild CWA.

Walau apapun, penutupan operasi akhbar samada NST di Sabah atau Utusan Malaysia beberapa ketika dulu dipengaruhi banyak faktor selain daripada kemunculan portal berita dalam talian yang bercambah bak cendawan lepas hujan.  Portal berita seperti celikhuruf.com   yang sedang anda tatap sekarang perlu bersaing untuk memberikan nilai kepada pembaca mereka untuk menarik pengiklan. 

Jadi harapan kami, anda sebagai pembaca portal berita ini, boleh memberikan input dan apa yang anda mahu kami sajikan untuk terus bersama kami.  Hidup ini perlu mendengar, anda rasa?

——–

Artikel ini disumbangkan oleh MOHAMED NASSER MOHAMED yang juga merupakan seorang penulis dan pengamal penerbitan tanah air.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email