Ini adalah beberapa nota untuk penulis baru yang mahu menerbitkan manuskrip mereka dengan syarikat penerbitan. Jika anda mahu terbit sendiri, ada kelainan daripada proses di bawah ini.
Jika anda menulis karya fiksyen, anda haruslah menyiapkan manuskrip itu terlebih dulu. Penerbit mahu menilai manuskrip dengan membaca jalan cerita dan kualiti penulisan. Mereka mahu baca manuskrip penuh.
Jika anda menulis non-fiksyen, anda haruslah menyiapkan kertas cadangan dahulu. Ia seumpama kita membuat kertas cadangan untuk perniagaan (kertas cadangan bisnes). Ia harus mampu menarik minat penerbit untuk bersetuju. Baca kertas cadangan kita dengan ikhlas. Jika kita kurang yakin, apatah lagi penerbit yang akan melabur atas projek ini nanti.

Buat kerja rumah dulu sebelum pergi lebih jauh. Manakah rumah penerbitan yang anda sasarkan? Kaji genre buku yang mereka terbit dan kekuatan rumah penerbitan itu. Ini untuk mengelakkan daripada kita menembak dengan peluru tabur kepada mana-mana penerbit yang sudi terbit apabila manuskrip itu siap. Lebih teruk jika kita hantar cadangan ke beberapa penerbit pada masa yang sama. Jika di Barat, anda perlu buat kerja rumah untuk mencari dan berkenalan dengan ejen persuratan yang minat dengan manuskrip anda.
Di Barat mereka jarang berurusan terus dengan penulis lebih-lebih lagi penulis baru dan amatur. Hakikatnya di mana saja, kebanyakan rumah penerbitan tidak suka manuskrip ‘over the transom’ yang dihantar secara mengejut dan minta diterbit kecuali jika kita ini orang terkenal, orang yang berautoriti dalam sesuatu bidang atau sasterawan yang memenangi banyak anugerah.
Ketika proses mula menulis, cubalah buat writer’s group yang mana ahli kumpulan boleh memberi idea, cadangan fakta penulisan, komen awal atau validasi penulisan. Jika boleh elakkan menulis sendirian tanpa meminta pendapat luar walaupun kita takut rahsia isi penulisan kita terbongkah. Ada manuskrip yang siap boleh dilihat sangat cetek penulisannya.
Kumpulan penulis ini juga boleh memberi maklumat intel tentang perkembangan semasa dunia penerbitan atau mereka mungkin ada yang mengenali mana-mana penerbit yang bagus atau pengurus penerbitan yang sesuai.
Jika kita memang benar-benar baru berkecimpung dalam penulisan, elok sertai mana-mana kelas penulisan atau masterclass penulisan. Di sana anda akan dapat banyak tips penting penulisan agar newbie tidak janggal penulisannya. Kita boleh menulis tetapi belum tentu penulisan kita sesuai dibaca oleh orang ramai.
Semasa ada cita-cita nak terbit manuskrip itu, selami dunia penerbitan itu sendiri. Fahami aspek surat perjanjian, jenis royalti, jenis diskaun, saluran pemasaran dan juga statistik pembaca agar kita tetap berdiri di alam nyata. Berbual dengan pengurus kedai buku tentang trend semasa. Jika target kita adalah penerbit tempatan, binalah dream list kira-kira 5 buah penerbit yang cocok dengan manuskrip kita yang boleh kita mohon untuk diterbitkan. Awal-awal bolehlah juga mulai kenal-kenal mereka. Jika sasaran kita lebih besar (penerbit antarabangsa), lihat contoh penerbitan mereka. Bagi karya fiksyen, seringkali penerbit antarabangsa menggunakan khidmat ejen persuratan.