Syed Shahriman bercerita tentang Misteri Tok Awang Ngah dan Siri Berkelahi Dengan Syaitan

Tuan Syed Shahriman Syed Ali, pemilik Azbakia Bookstore dan juga penulis buku Aku, Buku dan Kota Kaherah: Kembara Sang Pencinta Buku, bercerita tentang buku yang mempunyai ribuan peminat ini.

****

Bagi peminat buku misteri dan seram, nama Tok Awang Ngah bukan suatu yang asing lagi terutama pada pertengahan tahun 1980-an. Jika Tamar Jalis dinobatkan sebagai penulis nombor satu dalam tulisan genre misteri dan seram ketika itu, Tok Awang Ngah menduduki tempat kedua jika pun tidak seiring dengan Tamar Jalis.

Jika Tamar Jalis popular dengan siri Bercakap Dengan Jin (kompilasi buku terbit April 1984) Tok Awang Ngah pula terkenal dengan siri Berkelahi Dengan Syaitan (BDS) yang mula berada dalam pasaran pada November 1984 di bawah terbitan rumah penerbitan Mulya Utama Enterprises, KL.

Namun, terbitan awal siri BDS ini menimbulkan “misteri” dan tanda tanya bagi mereka yang benar-benar mengamati siri buku seram kesayangan ramai ini. Mungkin bagi segelintir peminat dan pembaca tidak perasan atau tidak ambil kisah tetapi tidak bagi saya yang telah membaca dan mengikuti siri BDS sejak diterbitkan ketika saya di bangku sekolah lagi.

Apa yang menimbulkan misteri dan tanda tanya itu? Jika diamati terbitan pertama siri BDS ini, nama pengarangnya tidak tertera di halaman kulit/sampul buku ini (lihat foto 1). Apabila diselak helaian di dalamnya kita akan dapati tertera pada halaman tiga tajuk BERKELAHI DENGAN SETAN (bukan SYAITAN) OLEH IRWAN IDHAM & MANKADIR. Pada akhir buku ini disertakan kata “Salam Perkenalan” pada halaman 218 -219 dan tertera pada akhir kata-kata aluan pengarang oleh Irwan Idham dan L. Mankadir Shamsi (mungkin nama penuh beliau).

Namun, pada siri kedua BDS (terbit Ogos 1985) barulah nama pengarang “sebenar” siri ini didedahkan, iaitu Tok Awang Ngah. Itu pun disebut dalam kata pengantar penerbit di samping dinyatakan sebab musabab kenapa pada keluaran pertama diletakkan nama orang lain (Irwan Idham dan Mankadir) sebagai penulis buku ini, dan bukannya Tok Awang Ngah.

Alasan dinyatakan adalah kerana penulis asal, Tok Awang Ngah, tidak mahu menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga dengan pengalaman yang dimiliki dan bimbang disalah tafsir akan tujuan pengalamannya dikongsi bersama pembaca.

Dalam kata pengantar ini juga dinyatakan sambutan memberangsangkan siri pertama BDS apabila buku yang tercetak hingga melebihi 50 ribu naskhah. Cetakan pertama diulang cetak pada Februari 1985 (cetakan kedua). Ini membuatkan Tok Awang Ngah lebih yakin dan berani untuk berkongsi pengalaman dan maklumat hingga terbitnya siri kedua itu. Namun siri kedua cetakan pertama BDS ini tetap tidak dinyatakan nama Tok Awang Ngah pada kulit buku (lihat foto 2).

Selepas itu, BDS siri pertama cetakan ketiga (Oktober 1985) barulah nama Tok Awang Ngah diletakkan pada sampul buku dengan ilustrasi yang berbeza dengan cetakan sebelumnya. Begitu juga siri kedua BDS yang sebelumnya tidak tertera nama Tok Awang Ngah. Kini, pada cetakan kedua (April 1986) dinyatakan nama pengarang sebenar di kulit buku bersama ilustrasi yang baharu juga.

Ada lagi misteri Tok Awang Ngah dan buku BDS beliau yang menjadi tanda tanya saya sebagai pengamat dan peminat siri buku ini yang akan dikongsikan dalam lain kesempatan. Bagi peminat dan penggemar Tok Awang Ngah dan siri tulisan beliau, perlulah memiliki siri awal BDS ini sebagai tanda kita sebagai peminat dan penggemar sejati. Salam hormat

Foto 1
Foto 2

***

Buku tulisan Syed Shahriman

Bagi peminat buku langka, bolehlah berkunjung di Azbakia Bookstore di arked MARA Batu Gajah, Perak yang menawarkan pelbagai buku yang menarik. Pihak CH akan berkongsi kisah jika Syed Shariman menyambung tulisannya berkenaan kisah misteri ini.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email