Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan semula keputusan untuk melonggarkan syarat bagi permohonan jawatan konstabel tanpa kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Kelonggaran yang diberikan kepada calon bukan Bumiputera itu agak aneh kerana menolak ketetapan yang dibuat sendiri oleh kerajaan sebelum ini. Ini menggambarkan seolah-olah keputusan terdahulu tidak bijak atau sistem pendidikan kita gagal dalam memastikan pelajar mengusai bahasa Melayu. Oleh itu, yang perlu dibaiki ialah sistem pengajaran dan pembelajaran.
Penolakan syarat tersebut ketika negara sudah lebih 63 tahun merdeka merupakan langkah ke belakang yang akan merencatkan pemartabatan bahasa Melayu di negara ini.
Setelah sekian lama merdeka, negara tidak lagi boleh bertolak ansur sedemikian rupa hanya dengan alasan untuk mencari calon yang boleh berbahasa Cina, Tamil atau bahasa ibunda yang lain.
Langkah tersebut akan menyebabkan kaum bukan Bumiputera tidak lagi berusaha untuk menguasai bahasa Melayu sedangkan itulah teras pembinaan negara bangsa.
Bahasa Melayu akan terus dipandang rendah, tidak lagi bernilai ekonomi, dan tidak menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sekiranya nilainya direndahkan sendiri oleh agensi kerajaan.
Sebenarnya sudah ramai pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang dan mencapai kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Kekurangan permohonan untuk menjadi polis barangkali disebabkan mereka tidak berminat dengan pekerjaan tersebut.
Oleh itu, sangat dibimbangi jika pemohon bukan dalam kategori pelajar yang baik dan cemerlang akan mengisi jawatan polis. “Kesilapan” ini akan mendatangkan akibat buruk kepada institusi kepolisian itu sendiri.
PENA memahami keperluan PDRM untuk mendapatkan anggota yang mahir bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil, tetapi caranya bukanlah dengan menolak ketetapan yang sedia ada. Tindakan itu seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu sahaja yang wajar dikorbankan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.
Perkara ini menyambung tragedi bahasa kebangsaan yang sudah sekian lama dijadikan bahan tawar-menawar apabila timbul sesuatu permasalahan.
Kita mahu anggota polis terdiri daripada calon yang memahami dan menerima status bahasa Melayu sebagai syarat penting untuk menjadi warganegara kerana kerjaya polis sangat tinggi maruahnya.
Berikut di atas adalah keyataan Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkenaan isu kelonggaran syarat kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk jawatan konstabel polis.