Swaterbit, PJJ, dan Buku Baharu Cikgu Sofuan Saadon

Menerbitkan buku secara swaterbit atau terbit sendiri merupakan trend pada masa sekarang. Sesiapa sahaja boleh terbit buku. Malah, apabila percetakan secara digital diperkenalkan, buku menjadi semakin mudah diterbitkan. Salah seorang yang pemula dalam bidang swaterbit ialah Cikgu Sofuan Saadon. Beliau antara figura yang menghiasi media sosial dan pernah viral dengan tulisannya berkaitan pengalamannya PJJ atau perkahwinan jarak jauh dengan isterinya sewaktu beliau mengajar di Matu, Sarawak.

Buku pertamanya U.B.A.T (Untuk Buat Anda Terkesan) diterbitkan secara swaterbit ketika beliau tidak tahu apa-apa tentang penerbitan buku. Kemudian buku ini diterbitkan dengan lebih kemas oleh MUST READ.

Edisi kemas kini yang diterbitkan oleh MUST READ

CH mendapatkan Cikgu Sofuan Saadon untuk berkongsi pengalamannya.

CH: Boleh cikgu ceritakan bagaimana cikgu mula menerbitkan buku secara swaterbit?

SS: Ketika tahun akhir di UPSI, kami dikehendaki buat blog. Pada masa tu blog ini popular. Jadi saya pun buat blog sebagai memenuhi keperluan pengajian. Kemudian, saya terfikir untuk buat lagi satu blog. Untuk suka-suka, untuk lepaskan stres. Maka, terhasillah ubatsofuan.blogspot.com. Di situlah saya mula menulis. Ada kawan saya, namanya Solehin Hasan yang pernah ikuti bengkel penerbitan, tanya saya,”Kenapa kau tak buat buku?” Saya pada masa tu tak tahu sangat perihal buku-buku ni.

Saya terbitkan buku Ubat, semuanya buat sendiri, tanpa tahu apa-apa proses penerbitan. Saya “langgar” sahaja. Akibatnya buku itu ada banyak cacat celanya, tapi buku itulah yang banyak memberikan pengalaman kepada saya. Ubat kemudiannya diterbitkan semula oleh MUST READ dalam edisi yang lebih kemas.

CH: Buku-buku lain cikgu diterbitkan secara swaterbit?

SS: Tak. Kemudian, buku saya seperti Dalam Bilik Darjah diterbitkan oleh Buku Pojok, Karangkraf. Ada juga buku lain seperti buku Macam Ni Pun Ada? Kemudian, ada buku-buku yang saya tulis bersama penulis lain.

Bulu tulisan Cikgu Safuan Saadon

CH: Boleh cikgu ceritakan tentang buku Dalam Bilik Darjah?

SS: Buku ini merupakan anekdot ataupun pengalaman saya semasa mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Matu, Sarawak. Kebanyakan kisah yang berlaku dalam bilik darjah semasa saya mengajar di sana. Kekuatan buku ini ialah kisah lucu yang ada di dalamnya. Alhamdulillah, buku ini dicetak dua kali. Sempatlah merasa royalti lebih kurang RM14 ribu daripada buku ini.

CH: Sepanjang pengalaman menerbitkan buku secara swaterbit, boleh cikgu ceritakan pengalaman atau iktibar kepada penulis baharu yang nak menulis buku dan menerbitkan buku secara swaterbit?

SS: Ya … ada banyak pengalaman saya, sebab buku saya yang pertama saya terbitkan secara swaterbit itu saya buat secara “langgar” sahaja. Pada saya penerbitan secara swaterbit ini, memerlukan penulis itu tahu serba sedikit hal penerbitan. Sekarang ini, kita boleh sahaja bertanya kepada mereka yang tahu.

Penulis juga perlu tahu sasaran buku itu diterbitkan. Pastikan sasarannya siapa. Siapa pembaca yang kita mahukan? Macam saya, saya sasarkan buku saya kepada pelajar, cikgu dan ibu bapa. Sebab sekarang ni nak menerbitkan buku secara swaterbit itu mudah, nak menjual atau buat pemasaran itu yang susah.

Lagi satu, saya nak beritahu. Jika nak berikan buku percuma, pastikan kita berikan buku percuma itu kepada orang yang betul. Jangan berikan buku kepada orang yang nakkan buku kita kemudian dia biarkan buku itu terbiar sahaja tanpa dibaca. Berikan buku percuma kita kepada orang yang baca, orang boleh ulas buku kita. Ingat! Jangan berikan buku percuma kepada orang yang salah.

CH: Ada pengalaman lain dalam penulisan?

SS: Dulu saya tak tahu apa-apa dalam penerbitan. Saya hantar buku saya yang berbentuk anekdot motivasi kepada syarikat penerbitan yang menerbitkan novel cinta. Cute Publishing, kalau tak silap nama penerbit tu. Sudah tentulah ditolak sebab itu bukan genre yang mereka terbitkan. Tapi saya gembira apabila penerbit itu balas dalam bentuk surat rasmi yang mengatakan sebab penolakan itu. Jadi, kalau kita nak hantar sesuatu manuskrip kenal pasti rumah penerbitan tersebut, genre apa yang mereka terbitkan.

CH: Siapa idola atau mentor contoh cikgu dalam bidang penulisan ni?

Mula-mula dulu, masa saya masih “hijau” dalam penulisan, saya kagum dengan motivator HM Tuah Iskandar. Saya baca buku-buku beliau. Tambahan pula saya memang minat dalam penulisan berbentuk motivasi. Saya juga kagum dengan penulis Fdaus Ahmad yang menulis Dari Tanjung Malim ke KLCC. Bukunya banyak mempengaruhi saya.

Sekarang ni, saya mengagumi susuk penulis ini, iaitu Bahruddin Bekri. Walaupun beliau penulis terkenal, tetapi tak sombong dan low profile walaupun dengan saya yang tidak pernah bertemu beliau secara fizikal. Bayangkan macam mana low profilenya beliau, walaupun beliau ditugaskan oleh syarikat penerbitannya untuk ke sekolah, jual buku, kena pakai kostum pulak, beliau sanggup lakukan. Bagi saya bukan tahap seorang penulis hebat seperti Bahruddin Bekri kena buat semua itu, tapi beliau tak kisah. Saya kagum sungguh!

CH: saya nak tanya soal peribadi sedikit. Cikgu pernah PJJ atau perhubungan/perkahwinan jarak jauh dengan isteri selama tiga tahun semasa mengajar di Sarawak. Tulisan cikgu tentang PJJ ni viral di media sosial. Sekarang, cikgu sudah mengajar di sini (semenanjung) dan sudah tinggal bersama isteri. Ada cerita menarik yang nak cikgu ceritakan tentang hal ini.

SS: Ya, bila tinggal jauh dengan isteri ni banyaklah pengalaman yang saya tempuhi. Macam yang saya pernah tulis di FB. Setiap tahun saya isi borang minta tukar. Tak dapat. Bersedih. Minta lagi.Tak dapat. Cuba lagi, akhirnya berjaya. Syukur. Sepanjang berjauhan tiga kali isteri saya keguguran. Itulah peristiwa yang paling menyedihkan. Itulah suka duka jadi guru PJJ, jauh di pedalaman pula. Tapi alhamdulillah, sekarang isteri saya sedang mengandung, empat bulan. Mohon doakan keselamatan isteri saya.

Walaupun di pedalaman Sarawak, tapi saya cukup suka di sana. Suasananya dan peribadi pelajar di sana yang hormatkan guru.

Cikgu Sofuan bersama isterinya

CC: Ada buku baharu?

SS: Ada. Dalam proses penerbitan. Insya-Allah akan diterbitkan oleh Katapilar. Saya dedahkan ya, eksklusif untuk celikhuruf.com, buku ini kesinambungan buku Dalam Bilik Darjah.

CH: Terima kasih kepada cikgu kerana sudi memberikan sedikit pengalaman cikgu dalam penulisan. Semoga cikgu terus berjaya dalam karier dan penulisan. Semoga keluarga cikgu juga dirahmati Tuhan.

SS: Terima kasih kembali.

Sumber gambar: Koleksi peribadi Cikgu Sofuan Saadon.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email