SIAPAKAH SEBENARNYA PENUNGGANG AGAMA?

Dua faktor utama yang membuat aku tertarik dengan novel ini: judul dan kulitnya. Judul yang berlatarkan kota Edinburgh membuat aku teruja untuk membacanya. Kerana Edinburgh terkenal sebagai kota dan syurga bagi pencinta buku.

Kulitnya pula sangat cantik. ‘Glossy’. Berkilat, nampak eksklusif.. Novel ini mengangkat isu hangat ‘penunggang agama’. Kedengaran seperti klise, tetapi bagi aku, penulis berjaya menterjemahkan karakter seorang penunggang agama di dalam watak Haji Talib dengan baik.

Contoh ayat yang biasa dilafazkan Haji Talib:“Syurga kamu tu bawah kaki suami Yam. Jangan sekali-kali melawan aku. Kalau tidak, neraka tempatnya perempuan macam kamu ni.”

“Kau jangan pandai-pandai nak merancang, makan pil bagai. Haram tahu tak? Haram! Kalau mati masa bersalin, masuk syurga!”.Namun, Haji Talib bukanlah watak utama di dalam novel ini.

Juraini, anak ketiga Haji Talib adalah watak utama. Juraini mempunyai seorang abang, Aziz, seorang kakak, Suriani dan seorang adik lelaki yang lembam, Azlan. Mereka berempat sangat rapat.

Dek sifat Haji Talib yang kasar, suka memaki-hamun, mengabaikan keluarga dan tidak memberikan nafkah, Aziz terpaksa berhenti sekolah dan bekerja demi menyara adik-adiknya. Lebih menerukkan keadaan apabila Haji Talib berkahwin buat kali kedua dan ketiga. Langsung tidak diambil pusing hal kebajikan isteri dan anak-anaknya. Pulang ke rumah pun jarang sekali atas alasan sibuk berdakwah.

Perkara ini lama-kelamaan menimbulkan sifat benci dan dendam Juraini terhadap ayahnya. Dia bekerja di Bukit Fraser tanpa pengetahuan ibubapanya demi menyara keluarga. Juraini berjaya mendapatkan jawatan yang bagus di sebuah hotel atas bantuan Tuan Azman. Di sana juga dia bertemu dengan Nathan, pemuda daripada Scotland..Pada malam raya, Haji Talib telah membuat kerja gila dengan membawa isteri ketiganya pulang ke rumah ibu Juraini. Berlaku pertengkaran besar sehingga Juraini melarikan diri ke Bukit Fraser pda malam itu juga.

Nasib tidak menyebelahinya apabila dia dikhianati pula ketika berada di Bukit Fraser. Lantas, Juraini membuat keputusan untuk mengikut Nathan pulang ke Scotland. Kebencian dan dendam kesumatnya terhadap lelaki Melayu Muslim yang mempergunakan agama, kasar dan suka memaki-hamun menyebabkan dia nekad untuk meninggalkan keluarga, malah agamanya buat selama-lamanya.

Apakah kesudahan kepada Juraini? Murtadkah dia? Bagaimanakah nasibnya di Scotland? Benarkah semua lelaki Melayu Muslim berperawakan sebegitu?

Anda wajib membaca buku ini untuk mengetahui pengakhirannya. Turut disertakan beberapa fakta menarik mengenai bumi Scotland dan Edinburgh.

Isu lain yang diangkat penulis adalah seperti betikut: perlukah seorang isteri mengikut seratus-peratus arahan suaminya tanpa ada bantahan ataupun perbincangan? ; hukum berpoligami sedangkan secara zahirnya sudah nampak si suami tidak mampu menanggung anak isteri yang sedia ada ; tanggungjawab menguruskan rumah tangga sepenuhnya jatuh ke atas kaum wanita-untuk menarik ramai manusia ke arah keindahan Islam, seharusnya banyak menceritakan nikmat syurga dan bukannya mengugut dengan azab neraka semata-mata-sifat suka mengadu-domba, memfitnah dan menyebarkan aib dalam kalangan masyarakat.

INFO BUKU :
Nama Judul Buku : Salju Rindu Di Kota Edinburgh
Penulis: Haitun Kamarazaman

Terbitan tahun : 2020

Penerbitan : Haitun Kamarazaman

Cetakan ke : Pertama

Muka surat : 372

Harga : RM27

Ulasan buku ini dikirim oleh FARHANAH MOHAMMAD GHAZALIUlasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email