Membaca buku ini membuat saya lupa yang saya sedang membaca sebuah novel.
Penulis sebenarnya mengetengahkan unsur-unsur sejarah dan fakta fakta yang tepat mengenai sejarah, kebudayaan, adat resam kehidupan dan agama segelintir warga yang digelar Siam Malaysia.
Samran, menjalani kehidupan penuh cabaran di sebuah kampung yang majoritinya didiami masyarakat Siam Malaysia di Tumpat, Kelantan.
Kehidupan yang penuh kemiskinan diharungi bersama adiknya Maitri beserta sahabat handai sepermainannya. Mereka dibesarkan oleh nenek mereka, Mak Som. Dialah nenek, dialah ibu dan dialah ayah kepada Samran dan Maitri.
Kehidupan yang penuh kemiskinan di mana Mak Som menyara kehidupan dengan menberi khidmat rawatan tradisional kepada penduduk kampung.
Rumah mereka dikelilingi pokok pokok herba perubatan dan juga ulam ulaman. Mak Som juga dengan tegasnya menolak seratus peratus perubatan moden sehingga menyebabkan Samran dan Maitri kehilangan ayah mereka.

Mereka cuma mampu bersekolah di Wat Budha yang berdekatan. Cuma segelintir sahaja yang mampu menyekolahkan anak di sekolah kerajaan yang berdekatan.
Novel setebal 718 mukasurat ini membawa kita mengikuti kehidupan Samran sehingga dia dewasa. Berbagai-bagai kisah tragis, kasih sayang, kekeluargaan dan juga persahabatan diterapkan sekali.
Banyak cerita dalam cerita juga sebenarnya dalam novel ini. Penulis membawa kita menelusuri sejarah asal usul Negara Thai, tulisan Thai, penduduk Thai dan Patani
serta tiga wilayah sekelilingnya dan juga warga Siam Malaysia.
Selain itu, sejarah asal usul perayaan Songkran, Loy Kratong, Menora dan juga wayang kulit turut diselitkan sekali. Sehinggakan asal usul makanan popular Thai iaitu Tom Yam turut diceritakan.
Pendek kata, membaca novel ini membuat minda kita penuh dengan ilmu pengetahuan. Banyak soalan yang terjawab, sebagai contoh wujudnya Wat terbesar di Petaling Jaya iaitu Wat Buddhist Chetawan dan Wat Buddhist Jayanthi di Pudu.
Amat menarik menelaah novel ini. Saya bagi 5 bintang terus.
INFO BUKU :
Judul : Samran
Penulis : Prasert Eh Chai
Hal : 718 halaman.
Penerbit : ITBM
Ulasan buku ini dikirim oleh ISHAK KASIR. Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmail.com