KESAN langsung pembacaan naskah Kumpulan Puisi Kerana Manusia Bukan Kertas (KMBK) oleh Ibnu Din Assingkiri (IDA), mengingatkan saya kepada konsep Sastera Agraria yang pernah diwarwarkan oleh Prof Ismail Hussein pada pertengahan tahun 1970an. Selaku Ketua Satu GAPENA ketika itu, beliau acapkali bercakap tentang sastera yang mampu dinikmati oleh rakyat jelata. Tidak saja berlegar di kalangan kelompok elitis semata. Golongan Agrarian yang dimaksudkan beliau ialah golongan peasantry (iaitu kaum tani, buruh dan nelayan). Apa yang cuba di pelupori oleh Ismail Hussein di kalangan khalayak sastera tanahair ketika itu, sebenarnya adalah lanjutan daripada pendirian sekelompok penulis Amerika dan German pada awal abad kedua-puluh yang menentang kapitalisme industri dan menganjurkan berbalik kepada tanah (alam)
Apa yang diserapkan oleh IDA lewat kebanyakan puisinya, dilihat selari dengan konsep sastera yang cuba diperkenalkan oleh Ismail Hussein. Sementelahan pula diperakui sendiri oleh IDA dalam prakata KMBK – “mahu berkomunikasi secara puitik dengan pembaca dari pelbagai peringkat khalayak termasuk mereka yang tidak terdedah dengan pendidikan sastera secara formal”.
IDA nampaknya terus istiqamah dengan pendiriannya terhadap konsep penglahiran puisi, sebagaimana yang pernah dijelmakan dalam kumpulan puisinya yang terdahulu, Jejak-Jejak Di Pantai (ITBM, 2015). Pada blurb buku tersebut tercatat; “ia ditulis kepada semua golongan pembaca dengan tujuan utamanya untuk mendekatkan puisi (sastera) kepada masyarakat. Pemakainan diksi yang sederhana, diadun menjadi simbol-simbol yang sesuai, bertujuan untuk tidak terlalu menyiksa pembaca menggali makna yang ingin disampaikan. Seni puisi adalah keindahan untuk dinikmati pembaca, bukan untuk dibaca sendiri-sendiri oleh penulisnya, kalangan penulis atau penggiat sastera semata”
Unsur dan anasir alam, biotik dan abiotik, hadir dalam kebanyakan puisinya, samada dipetik secara maujud maupun yang menyusupi jalur mimpi dan kenangan dalam rupa bentuk mujarad. Objek-objek biasa yang terabai dan tidak tersangka tiba-tiba muncul berdiri sebagai metafora yang terlihat indah, segar dan berkesan. Perhatikan;
sudikah kaucari aku
di pasir bersiput tajam
di ketapang melayang
di tanjung terhujung
di teluk yang jauh.
(Hamparan Buih Ombak, hlm.1)
Singkir Laut, Yan, Kedah; desa kelahiran penyair adalah sebuah daerah yang unik dari segi geografi dan demografinya. Dataran yang terhampar dari kaki Gunung Jerai menganjur ke pinggir Selat Melaka selanjutnya melahirkan kegiatan sosio-ekonomi yang juga unik. Bukan suatu yang luar biasa seseorang pada sebelah paginya menjadi petani, menyandang tajak dan cangkul ke bendang atau ke kebun dan sebelah malamnya pula turun kelaut bersama pukat dan botnya sebagai nelayan. Keunikan pengalaman hidup penyair sebagai budak kampung yang terdedah dengan kepelbagaian dimensi corak dan cara hidup ini memberi kelebihan dalam penggarapan puisi-puisinya. Beliau boleh bercakap mengenai laut dan darat dengan selesa tanpa kekok dan segok.
Di teduh pohon berembang
antara akar bakau berceracak
seharian kami meranduk selut
mengutip khazanah alam
kerang, lala, siput biji nangka
dan di musim pasang besar
siput sudu terdampar di pantai
dekat Kuala Singkir Laut
(Berguru Dengan Alam, hlm.22)
Bau tanah tatkala hujan
menyentuh bumi hangat
merungkai beluam ingatan
tersorok lama entah di mana
terpacul bagai rasaksa
Di tengahari
bau getah sekerap di baju emak
ditelan aroma pucuk cemamar
yang dikutip semasa pulang
dari menoreh di Tanjung Jaga.
(Bau Tanah Di Timpa Hujan, hlm.24)
Kenangan hidup dan himbauan nostalgia menjadi intipati dalam kebanyakan puisi-puisi IDA. Bagi khalayak pembaca dari generasi Y, sementelahan lahir dan membesar di perut kota pula, mungkin berasa sedikit kesukaran berhadapan dengan sesetengah diksi lalu terkapa-kapa mengklik Kamus Dewan Online. Namun begitu bagi generasi 50-an ke atas, akan mudah terpanggil untuk sama-sama kembali menyelinap ke zaman lampau. Seperti kata penyair,
Tatkala hujan bertukar gerimis
Menitik perlahan-lahan
Di pipi seorang lelaki. Meleleh
Jatuh ke beluam ingatan.
Cuba resap dan rasai diksi kata dan frasa-frasa berikut:
i.
Kuutus surat berbedak amami
dengan harapan puisinya mewangi
ii.
kubang kerbau tempat kami
menggagau ikan haruan
kadangkala disengat
keli
iii.
anak kampung zaman dahulu
menangis hanya lakonan
saat dirotan
ibu-bapa
iv.
kami menangis di dalam hati
melihat ibu tertidur
sambil mengukur
kelapa
v.
sewaktu hari beralih rembang
tangkul berumpan ikan duri
diangkat dengan penuh harap
vi
ayam jantan belum pun turun
dari dahan nona sekaya
melantun tembang rutin
vii.
kuselak halaman kenangan
untuk mengenang ibunda
kebaya nyonya berbatik panjang
ada untaian melur di sanggul.
viii
Terdengar bisikan emak
kepada bapa tentang beras
hanya berbaki di lantai guri
Kesederhanan dalam semua aspek, daripada pemilihan kata-kata, bentuk dan teknik, yang menjadi asas dalam pembinaan sosok setiap puisi termasuk pemakaiaan alatan susastera secara berhemah menjadi keutamaan. Namun begitu tidak bererti penyair mengambil jalan mudah atau asal jadi. Selain dari mementingkan keindahan dan kesan, beliau amat berhati-hati agar tidak terperlus ke kubang klise. Ia diperakui oleh penyair sendiri:
Sungguh sukar mencari kata
untuk mencitra makna
dalam seuntai
puisi
` serupa mencari permata
dalam timbunan kaca
(Asal Kata Adalah Kaca, hlm. 25)
Konsep sebuah puisi bagi IDA diperjelaskan secara tuntas lewat puisi, Cara Mudah Menulis Puisi (hlm.14). Berikut diperturunkan sepenuhnya dalam gaya prosa. Antara ciri yang harus ada pada sebuah puisi mengikut beliau ialah:
“Puisi bukan lahir dari susunan aksara semata-mata. Ia perlu memiliki jiwa yang menghantar rasa, pengalaman, meneroka rahsia-rahsia dan mengandungi ilmu sebagai pelengkap wacana. Diperindahkan melalui kesenian mengolah bahasa menjadi lunak; Dalam mengajak ke arah kebaikan, kebijakan dan menolak segala kemungkaran, hal yang paling sukar ialah menjadi suara pembela kepada mereka yang dibisukan. Puisi harus membentuk diri menjadi acuan pemikiran generasi kini dan masa depan”
Ulasan buku ini dikirim oleh ZAIN IDRIS AT-TOBIARI. Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmail.com