DUNIA puisi ibarat lautan tidak bertepi. Menulis sajak semacam mendidik diri menjadi bijak. Saya bermula dengan sebuah puisi penyair tersohor Indonesia Pak Sapardi berjudul, ‘Aku Ingin’ dari Kumpulan Puisi, Hujan Bulan Juni karya Sapardi Djoko Damono (PT Gramedia, Jakarta 105:2015). Beliau juga pelopor puisi lirik di Indonesia dan dianggap prolifik juga produktif menghasilkan karya puisi. Ikuti puisi berikut yang dianggap mempunyai kuasa magis jika dihayati penuh emosi.
Aku Ingin
Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
Dengan kata yang tak sempat diucapkan kayu
Kepada api yang menjadikannya abu.
Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
Dengan isyarat yang tak sempat disampaikan awan
Kepada hujan yang menjadikannya tiada.
(Sapardi Djoko Damono, 1989)
Puisi ini menarik perhatian saya kerana terdapat dua kali perkataan ‘cinta’ digunakan secara tersurat. Meski sudah banyak saya hayati sekaligus menikmati puisi-puisi cinta penyair tersohor sedunia termasuk Kumpulan Sajak & Soneta Cinta Pablo Neruda, Puisi Cinta dan Soneta William Shakespeare, koleksi Puisi Cinta oleh editor Peter Washington, buku-buku berkait Cinta karangan Khalil Gibran dan tentunya karya-karya Mohammad Iqbal juga. Jauh kembara fikir dan jelajah jiwa saya setelah mentelaah karya-karya besar dan hebat ini. Tetapi, kembara saya bersifat sementara, saya kembali sedar kepada akar nusantara kerana umbi jatidiri puisi telah saya temukan lebih awal di sini. Tidak lain, saya memilih puisi Pak Sapardi kerana ‘cinta’ itu terlalu amat dekat dan sarat muatan seninya dalam hati saya.
Cinta garapan Pak Sapardi memang terasa kelainan dari kebiasaan. Meski sudah berusia, saya masih menghargai ‘cinta’ sebagaimana cinta telah mendewasakan perasaan dan pemikiran saya untuk bercinta dan kekal mencintai semua entiti bernyawa ciptaanNYA. Menulis puisi menjadi tugasan rutin dan sekali gus sarapan saban hari. Memang banyak, malah semakin mewah jika rembang malam mendatang. Apapun jelmaan idea cinta, tidak perlu dinyatakan cinta sulit saya kepadaNYA, kerana itu peribadi dan saya beranggapan begini:
Cinta kepadaNYA tiada terucapkan
Cinta kepadaNYA tiada tersentuhkan
Cinta kepadaNYA tiada tergambarkan
Cinta kepadaNYA tiada terbandingkan.
Puisi ‘Aku Ingin’ tersendiri dan istimewa. Sudah tentu saya menanggapi puisi ini bertemakan cinta luar biasa dari manusia kepada manusia. Tapi, boleh saja sesiapa bebas menafsirkan bahawa cinta tersebut berkaitan dengan Tuhan. Maka, adalah hak semua memberikan tafsiran mengikut kefahaman, ilmu bantu dan tahap daya sensitiviti yang terpikul dalam benak masing-masing. Apa yang penting, sajak ini ‘terfokus’ kepada satu objek iaitu ‘mu’ (bukan Mu) dan subjeknya ‘cinta’ (bukan suka, kasih atau sayang). Pada hemat saya, pilihan kalimat cinta oleh Pak Sapardi bukan cinta biasa-biasa, tetapi cinta agung dan suci.
Pak Sapardi berlaku jujur sehingga mudah melentur setiap kata-kata yang memang terpilih dan semahunya membentuk adunan mengikut acuan perasaan beliau. Ini suara hati berkait cinta murni tahap tertinggi. Cinta abadi seorang penyair yang terluah melalui puisi yang teramat indah. Sejujurnya, saya terpesona kerana puisi Pak Sapardi jika dibaca sekali sudah terpaut hati. Malah berkali-kali dihayati, puisi ini kekal sebagai entiti puisi sebati diksi. Seperti apa yang pernah saya nyatakan:
Dalam teras ada umbut,
Dalam umbut ada teras;
Dalam keras ada lembut,
Dalam lembut ada keras.
(Kump.Puisi ‘Suara Orang Berbangsa’ ITBM, xvii: 2017).
Tidak keterlaluan jika saya katakan, bahawa puisi ‘Aku Ingin’ telah cukup matang dan mencapai kesempurnaannya sebagaimana dinyatakan oleh Samuel Taylor Coleridge (STC) bahawa puisi seharusnya mengandungi, ‘kata-kata terbaik’ dalam ‘susunan terbaik’ (The best words in the best order). Begitu juga dikatakan oleh Robert Frost (RF) tentang puisi yang sempurna, ‘puisi apabila perasaan menemukan pemikiran dan pemikiran menemukan perkataan’ (Poetry is when an emotion has found its thought and the thought has found words). Jadi, disimpulkan puisi ‘Aku Ingin’ itu sebagai puisi yang mengandungi kata-kata (bahasa) terbaik dalam susunan terbaik – telah mencapai tahap sempurna apabila perasaan menemukan pemikiran dan pemikiran menemukan perkataan (bahasa)’. Pak Sapardi telah menemukan kesempurnaan dalam ranah kepengarangannya; konsep diri, imaginasi dan fantasi, emosi, ilham dan intuisi, serta bakat dan ilmu menjadi penting, namun karakteristik psikologi-estetik pengarang itu tidak akan tertuang menjadi karya kreatif tanpa ‘bahasa’. Bahasalah yang menjadi alat kepada pengarang untuk meluahkan rasa indah dalam jiwanya, malah menjadi perantara yang menghubungkan pengarang dengan khalayaknya.
Leo Spitzer, seorang pengkritik linguistik terkemuka merumuskan bahawa ‘bahasa’ yang mengungkapkan “jiwa” sesebuah karya sastera. Menurutnya:
“Saya tetap beranggapan bahawa untuk merumuskan pengamatan melalui kata bukan untuk menyebabkan terjadinya pengewapan keindahan artistik dalam kesombongan intelektual; tetapi untuk memperluaskan dan memperdalamkan selera estetik. Hanya cinta yang tidak berharga yang tidak dapat bertahan dalam definisi intelektual; kecintaan yang agung menjadi semakin subur dengan adanya pengertian”. (Proses Kreatif: Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang – Rahimah A.Hamid, DBP 142:2017).
Mari dilakukan sedikit apresiasi rambang untuk tujuan pembuktian kata-kata STC dan RF seperti berikut:
Pemilihan beberapa perkataan yang punya kesesuaian dalam kesempurnaan susunan menyerlahkan kekuatan imejan. Tetapi hanya satu sahaja perkataan iaitu ‘mencintai’ memainkan peranan paling penting. Malah jika ditiadakan perkataan ‘mencintai’ ini, puisi ‘Aku Ingin’ akan menjadi fatal. Uniknya puisi ini dalam kedua-dua rangkap tiga barisnya menggunakan hanya satu perkataan (kata kunci) ‘mencintai’ di setiap rangkap. Bererti, memang ada pertalian halus lagi tersembunyi antara kedua-dua rangkap ini wujud ‘benang halimunan’ saling kait-mengait secara intim. Inilah pengalaman mahal dan kebijaksanaan unik yang ampuh diperolehi oleh Pak Sapardi selama lebih-kurang 30 tahun menempuh ruang masa berkarya dianggap cukup lama. Akhirnya, penggalian dari gua sastera telah menemukan butiran batu permata paling berharga. Segalanya menjadi kerana hati Pak Sapardi bersuara, “Aku Ingin” dan Tuhan memberi izin.
Kini sudah jelas, puisi ‘Aku Ingin’ tidak lain tidak bukan bertemakan cinta manusia lelaki kepada perempuan. Cinta yang mulanya subur, tapi kemungkinan tidak kesampaian itu ada. Sungguh, ciptaan Pak Sapardi ini menggunakan perkataan-perkataan mudah seumpama kain basahan digunakan saban waktu sehari-harian. Tetapi, kebiasaan setiap perkataan yang terpilih itu dengan sendirinya mengangkat martabat kepentingan dan darjat perkataan tersebut ke peringkat paling tinggi dan teristimewa di persada jiwa seorang manusia yang sedang dilamun cinta. Bukan maksudnya khasnya buat Pak Sapardi, tetapi amnya kepada sesiapa sahaja yang sedang bercinta dan mabuk oleh anggur yang direguk dari cangkir cinta.

Puisi ‘Aku Ingin’ terbina dari rasa cinta yang luar biasa – cinta murni yang terlalu amat peribadi – tidak mungkin orang-orang kebanyakan upaya memahami susur-galur emosi dan sekeping hati seorang lelaki penyair. Mengapa tidak, kerana pengucapan ‘cinta’ oleh penyair adalah menggambarkan cinta sejati, cinta murni, cinta abadi yang menyubur dalam diri dalam hati penyair. Cinta itu diungkapkan melalui, “dengan kata yang tak sempat diucapkan / kayu kepada api yang menjadikannya abu” dan cinta yang terungkap melalui, “dengan isyarat yang tak sempat disampaikan / awan kepada hujan yang menjadikannya tiada” – bukti kecintaan hati paling rahasia, paling misteri terkunci rapi di almari hati, di tahap paling tinggi di singgahsana fikir Pak Sapardi.
Terbukti kini, puisi yang lahir dari emosi yang tenang dan hati yang terkawal itu indah dan mempesona. Justeru, diperbolehkan saja menulis sebarang puisi bertemakan ‘cinta’. Cinta itu seni, terbuka untuk semua manusia merasai nikmat seninya; penulis dan pengarang begitu pelukis dan penyair. Penting, berkarya jangan sampai menyusahkan sementelah menyulitkan proses pengkaryaan. Tetapi, patuhlah segala aturan dan susunan, juga syarat dan manfaat.
Mengakhiri coretan, bila kita memperolehi ilham jangan sesekali menyimpul waham. Kita menulis bukan mencari nama tetapi mencari redhaNYA.
Tulisan ini adalah reaksi kepada rencana Salman Sulaiman berjudul ‘Menulis Sajak Itu Bukan Mudah’ (Jendela DBP 21/8/2021). Tulisan ini tidak mewakili pandangan dan dasar media #CELIKHURUF.COM.
Tulisan ini disumbangkan oleh RAMLEE WAHAB