‘Plot Twist’ dalam ‘Topeng’

Novel yang bertemakan ‘psychological thriller’ ini mengisahkan seorang jurutera bernama Hasnan yang ingin mengetahui siapakah wanita yang sudah mengandungkannya selama sembilan bulan. Matlamatnya ini telah menemukannya dengan Bomoh Kisman yang bersetuju untuk membantunya mencari ibu kandungnya. Namun Hasnan perlu mematuhi syarat yang diberikan, iaitu dia harus menetap selama sebulan di sebuah rumah yang terletak jauh dari kediamannya.

Tingkat dua rumah tersebut mempunyai empat bilik rahsia. Setiap malam Jumaat, Hasnan harus memasuki salah sebuah bilik tersebut. Tanpa disangka, bilik-bilik itu merupakan simbolik kepada topeng mukanya yang sudah berlapis-lapis dek memori-memori pahit yang berlaku dalam hidupnya sebelum ini. Hasnan diperlihatkan peristiwanya sewaktu didera keluarga angkat, difitnah rakan sekolah, dibuli gengster jalanan dan dipergunakan oleh guru sekolahnya sendiri. Setiap kali dia berjaya melepasi cabaran dalam sebuah bilik itu, topeng yang dipakainya akan lenyap sekaligus membawa memori pahit itu jauh dari kotak memorinya. Dan bilik terakhir adalah penentunya untuk Hasnan bertemu ibu kandungnya semula.

KEISTIMEWAAN

Novel ini memberi kesedaran kepada pembaca mengenai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat, dewasa ini. Penulis memperlihatkan sisi gelap golongan manusia yang bertopengkan malaikat apabila di khalayak ramai, dan menjadi syaitan apabila bersendirian. Isu kemiskinan hidup, jenayah, pedofilia, skizofrenia, penyalahgunaan dadah dan kesedaran mengenai golongan munafik, sangat ditekankan dalam novel ini. Malahan, terdapat pelbagai isu psikologi dan masalah sosial lain yang diceritakan, tetapi tidak saya tuliskan di sini.

Penulis juga menunjukkan bagaimana tingkah laku manusia dipengaruhi oleh keadaan sekeliling sewaktu fasa perkembangan berlaku. Keseluruhannya, plot cerita sungguh menarik. Gaya penceritaannya bersifat deskriptif, dan tidak meleret-leret. Mampu membuatkan pembaca tidak senang duduk. Terdapat pelbagai konflik yang diketengahkan dalam penceritaan ini, tetapi berjaya dihuraikan dengan sangat baik tanpa ada adegan yang dibiarkan tergantung tanpa ada penerangan. Selain itu, adegan kemuncak novel ini sungguh tidak disangkakan. ‘Plot twist’ berjaya membuatkan saya terkesima dan terpegun. Gaya penulisan juga matang dan tidak terlalu formal.

CABARAN

Gaya penceritaan pada lima bab awal agak mengelirukan kerana terdapat beberapa peralihan adegan yang berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan saya perlu membaca beberapa kali untuk memahaminya. Saya juga mendapati bahawa pengakhiran cerita kelihatan seperti tidak terlalu deskriptif dan penulis boleh melakukan beberapa perkembangan sewaktu pengakhiran cerita  bagi menambah lagi asam garam.


Ulasan buku ini dikirim oleh MUHAMMAD SHUKRI AFFENDI. Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmail.com

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email