PERISYTIHARAN DARURAT KAWAL KESTABILAN NEGARA – PENA

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA)

  1. Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) merafak sembah takzim dan menyatakan sokongan penuh terhadap kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memberi perkenan terhadap keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat.
  • Keputusan tersebut adalah perlu dalam suasana negara dan seluruh dunia sedang diancam oleh pandemik COVID-19. Memandangkan perebutan kuasa politik semakin rancak ketika ini, kami berpendapat kestabilan pemerintahan dan pentadbiran negara perlu menjadi keutamaan buat masa ini.
  • Pengalaman lalu dan kini menyaksikan para penulis, sasterawan muda, dan industri buku sangat terkesan oleh Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti tidak dapat dilaksanakan, buku tidak dapat dijual dengan baik, dan pelbagai masalah lagi menyebabkan kesukaran.
  • PENA berharap, kerajaan dapat melaksanakan kaedah yang lebih berkesan untuk menghapuskan COVID-19, dan natijahnya, negara kembali stabil, aktiviti ekonomi kembali  rancak, kehidupan penulis serta industri buku kembali pulih.
  • Kami juga melihat kesan bencana banjir di negara ini telah menyulitkan usaha kerajaan untuk mengawal pandemik COVID-19. Oleh itu, gangguan terhadap pentadbiran kini akan menambahkan kesulitan itu, terutamanya apabila perbelanjaan yang besar diperlukan untuk mengadakan PRU-15.
  • PENA menyanjung tinggi keputusan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.
  • Kami berharap, kerajaan dapat memberikan budi bicara kepada jawatankuasa bebas ini untuk mengesyorkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar pelaksanaan darurat ini ditamatkan lebih awal daripada tempoh pelaksanaan darurat yang ditetapkan, sehingga 1 Ogos 2021.
  • Kami menyeru semua pihak tidak mempersoalkan, apalagi mencabar pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia hanya dibuat setelah Seri Paduka Baginda merundingkannya dengan Raja-Raja Melayu serta memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin, dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Bin Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Bin Salleh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bin Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Bin Buang.

Disediakan oleh

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

12 Januari 2021

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email