PENA : Apabila Jawatan Presiden Dicabar

Artikel ini disumbangkan oleh Daud Ibrahim

DALAM suasana negara dilanda Pandemik Covid 19, banyak perkara baru yang disebut norma baharu diperkenalkan kepada manusia.

Ia bukan di negara kita, Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia. Di Amerika, ketika kempen Pilihanraya Presiden antara Donald Trump dengan Joe Biden berlangsung, saluran TV menyiarkan rakyat Amerika sendiri memakai masker, sebagaimana kita semua memakainya.

Maknanya apa? Semua orang ingin menghindari jangkitan Corona Virus atau Covid 19 ini. Kalau ada yang berkata, kesusahan rakyat kerana terpaksa hidup bersama masker adalah kelemahan kerajaan Malaysia, ia tidak benar sama sekali.

Begitu juga, kalau ada yang mengatakan saf sholat di surau terpaksa dijarakkan adalah agenda zionis untuk memusnahkan umat Islam di Malaysia, juga tidak benar jika kita melihat keadaan serupa juga berlaku di Makkah dan Madinah.

Pada 26 Disember lalu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah mengadakan Mesyuarat Agung Kali ke-57 di Dewan Usman Awang, Rumah PENA Kuala Lumpur. Mesyuarat Agung kali ini adalah mesyuarat yang ada pemilihan.

Dalam suasana tempat duduk yang dijarakkan, alat penghawa dingin dewan tidak menghalang kehangatan. Bermula dengan ucapan Perasmian oleh Ketua 1 GAPENA Dato’ Zainal Abidin Borhan, yang juga panas, pengumuman Pengerusi Tetap, Dr Ibrahim Ghafar untuk tidak mempertahankan jawatannya juga memeranjatkan beberapa teman.

Namun, Naib Pengerusi Tetap untuk sesi 2019-2020, Md Radzi Mustaffa dipilih sebulat suara menggantikan Dr Ibrahim manakala Sdr Ramlee Wahab dicalonkan semula sebagai Naib Pengerusi Tetap dan menang tanpa bertanding.

Ketika ini, urusetia Mesyuarat Agung memaklumkan bahawa pemilihan akan dijalankan secara online atau atas talian dan bukan secara konvensional iaitu angkat tangan atau kertas undi.

Beberapa ahli bangkit dan membantah kerana ia tidak sesuai dilakukan secara online memandangkan bukan semua ahli mempunyai telefon bimbit yang boleh digunakan sebagai “alat mengundi”.

Seorang ahli bangkit menyebut; Perlembangaan PENA menyebut di bawah Perkara 4:

a.  Mengundi kerana memilih Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja hendaklah dijalankan secara sulit

b. Mengundi kerana perkara-perkara yang lain daripada di atas (4a) boleh dijalankan dengan mengangkat tangan, dengan syarat tiada apa-apa bangkangan daripada  anggota-anggota yang hadir.

Maka, Pengerusi Tetap ketika itu menyebut, undi secara sulit itu ialah disediakan kertas undi, manakala ada pula yang meminta ia diundi secara angkat tangan.

Sebenarnya, undi secara sulit itu termasuklah “online”. Tetapi, tiada sesiapa ‘nampak’ isu online ini adalah undi sulit. Yang mereka tahu (faham) undi sulit itu, dengan ‘kertas undi’. Itu suatu kesilapan.

Seorang ahli tampil memberi pandangan, dalam suasana norma baharu, elok jika semua ahli bersetuju dijalankan pegundian secara online kerana “persiapan sudah dilakukan untuk berbuat demikian.”

Penulis tidak mahu mencelah dalam pertikaian ini kerana, suatu kebiasan dalam mana-mana mesyuarat, jika ada ahli yang banyak membantah, banyak mencelah dan banyak bertanya, akhirnya nama akan dicalonkan untuk memegang jawatan. Inilah suatu hal yang mahu penulis elakkan.

Pertama, penulis sedar bahawa penyandang jawatan Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, yang sudah 10 tahun menerajui PENA masih mempunyai kemampuan dan bervisi bagi meneruskan kepimpinan.

Kedua, tiada sebarang kontroversi yang timbul selama beliau menjadi Presiden PENA. Malahan, banyak aktiviti-aktiviti besar PENA berjaya dilaksanakan.

Barisan Ahli Jawtankuasa Tertinggi PENA sesi 2020/2022

Ketiga, dalam situasi Pendemik Covid 19 sedang melanda, seboleh-bolehnya percepatkan semua mesyuarat bersemuka bagi mengelakkan ahli-ahli terdedah dengan pergaulan yang tidak terkawal.

Namun, ada ahli mencelah dan mencadangkan Sdr SM Zakir dicalonkan untuk jawatan Presiden selepas nama Dr Mohamad Saleeh dicalonkan semula.

Timbul pertanyaan, perlukah? Penulis ada dua jawapan. Pertama, inilah demokrasi. Setiap ahli boleh dicalonkan dan mencalonkan. Kedua, tidak perlu jika SM Zakir dicalonkan sekadar mahu menguji ‘kekuatan’ Dr Mohamad Saleeh. Ia membuang masa dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan.

Untuk jawatan lain, Timbalan Presiden dan lain-lain, bagi penulis ia bebas untuk dipertandingkan. Dalam satu-satu organisasi, dua jawatan paling utama (penting) ialah Presiden dan Setiausaha Agung.

Penulis mengucapkan tahniah kepada mantan Setiausaha Agung Sesi 2018-2020 Saifulnizam Yahaya yang cukup berkesan dalam menjalankan tugasnya termasuk ketika memberi taklimat perjalanan mesyuarat dan pandu arah perjalanan mesyuarat.

Tidak diketahui atas alasan apa beliau enggan meneruskan tugasnya untuk sesi 2020-2021. Mungkin kesibukan tugas hakikinya. Tetapi, ada juga desas-desus mengatakan beliau tidak mahu ada ‘pertempuran’ antara saudara dalam dunia penulisan.

Cuma, penulis yang turut hadir di mesyuarat ini melihat bahawa perjalanan mesyuarat dijalankan secara kurang teratur.

Selepas pembentangan Minit Mesyuarat Agung Tahun 2019 dibuat oleh Setiausaha Agung ahli-ahli seperti terpinga-pinga untuk mencadangkan Minit Mesyuarat itu diluluskan.

Begitu juga apabila Setiausaha Agung membentangkan Aktiviti Tahunan PENA, Pengerusi Tetap meminta ahli bangkit untuk mencadangkan supaya Aktiviti Tahunan diluluskan. Padahal, Aktiviti Tahunan hanya perlu dibentangkan tanpa perlu diluluskan dalam mesyuarat.

Seperti  biasa, apabila Bendahari Dr Shamsuddin Othman membentangkan Laporan Kewangan Sesi 2019-2020, ada ahli bertanya beberapa isu tetapi dapat dijelaskan oleh Bendahari dengan yakin.

Sebelum Dr Mohamad Saleeh menerajui PENA, beberapa nama besar telah mendahului beliau. Antaranya Baha Zain, Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar, Yahaya Ismail dan ramai lagi.

Sebenarnya, ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin persatuan penulis ini ada pada Dr Mohamad Saleeh. Beliau boleh diketengahkan dan boleh juga turun ke dapur setinggan.

Banyak kerja-kerja baik yang beliau lakukan untuk ahli-ahli tanpa sebarang publisiti. Penulis sudah lama bersahabat dan amat mengenali Dr Saleeh, beliau memang suka membuat kerja dalam senyap tetapi selesai.

Kenyataan-kenyataan yang beliau keluarkan pun, tidak kontroversi dan tidak mengampu. Inilah yang sepatutnya ada pada diri setiap pemimpin persatuan penulis seperti PENA.

Cuma, selepas ini, kepimpinan baharu yang dipilih menerajui PENA kali ini perlu lebih bersedia berdepan dengan pelbagai perubahan ekoran Pandemik Covid 19.

PENA juga perlu meneruskan program-program besar bertaraf antarabangsa tetapi dalam masa yang sama, beri peranan kepada AJK yang lebih muda dan bertenaga untuk menjadi pembela nasib ahli-ahli PENA yang terkesan akibat wabak ini.

PENA juga mesti melihat keperluan merekrut lebih ramai penulis-penulis muda untuk dijadikan pelapis dan peneraju persatuan. Berikan mereka pendedahan dan dalam masa yang sama membimbing mereka dan menyuntik semangat kepimpinan dalam diri mereka. Ini memastikan PENA upaya menghadapi masadepan yang lebih mencabar dan memastikan survival PENA akan berkesinambungan dan berterusan untuk dekad-dekad akan datang.

Tahniah kepada Presiden dan semua Ajk yang dipilih baru-baru ini. Jangan nanti PENA seronok kerana berjaya capai pelbagai KPI peringkat antarabangsa, tetapi gagal dalam merasai denyut nadi ahli sendiri.  Hakikatnya, jawatan bukanlah hadiah tetapi amanah. Tunaikanlah dengan nawaitu jitu dan semangat bersatu teguh bercerai roboh.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian #CELIKHURUF

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email