Orang Melayu Tak Guna Pembaris?

Satu catatan Facebook mengenang kepulangan ke Rahmatullah Prof. DiRaja Engku Aziz digarap penuh nostalgik oleh seorang pelayar Facebook. Demikian dinukilkan oleh pemilik FB Jamilah Jaafar ;

Kenangan Bersama Guruku

1987/1988 Aku masih di Universiti Malaya Fakulti Ekonomi. Masa tu aku dapat tahu ada Kursus Tamaddun Islam dibuka kepada sesiapa yang berminat. Aku mendaftar kursus ini semata-mata kerana dapat tahu pengajarnya ialah PD Ungku Aziz. Konsep Kursus ni tidak ada markah, tidak ada peperiksaan dan dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam.

Pelajar perlu hadir aku tak ingat beberapa kali seminggu. Tapi kerana cinta kepada ilmu maka aku paling rajin dan tekun sekali datang ke kelas ini. Tidak ada peperiksaan, tidak ada kedatangan diambil. Belajar semata-mata mencari ilmu dan aku rasa aku paling suka bertanya. Memang waw sangat.

Di sinilah aku mula kenal PD Ungku Aziz. Dia mengajar subjek Tamaddun Islam. Ungku Aziz akan bawa kain macam-macam ada songket, ada kain entah apa nama yang buat kami melopong. Dia akan mengibarkan kain dan terangkan betapa halus konsep tenunan orang Melayu. Soalan-soalan beliau buat aku jadi pemerhati kepada budaya orang Melayu dan jadi peka. Jadi kagum dan hormat kepada nenek moyang orang Melayu. Kadang-kadang khayalan aku membawa otak aku ke langit ketujuh.

Selepas 32 tahun tahun aku masih ingat antara isi kuliah beliau.

1. Orang Melayu tidak menggunakan pembaris. Tetapi bagaimana orang Melayu membuat perkiraan dengan begitu tepat sekali apabila membuat perahu, kapal, rumah dan sebagainya? Depa guna apa?

2. Orang Melayu tidak pandai konsep matematik tetapi mengapa kain tenunan (Dia akan tebarkan kain songket /kain apa tah namanya?) ada simetri. Dalam tenunan kain ada badan, gigi, gunung, apit kiri dan apit kanan. Simeteri kain tenunan akan menyebabkan sipemakai memakai bahagian yang tepat pada kedudukan yang tepat.Bila dia tanya kami tak boleh jawab. Dia pun tunjuk orang melayu menggunakan tangan dalam ukuran iaitu depa, hasta, jengkal. Tapi bagaimana perkiraan tu tepat. Ukuran-ukuran gantang, cupak, pikul. Banyak jenis ukuran yang digunakan pada zaman dahulu dah hilang tak diketahui oleh generasi zaman moden.

3. Jika kamu perhatikan unsur Islam sangat halus masuk dalam budaya Melayu sebab itu kain tenunan, ukiran rumah Melayu tidak ada gambar binatang tetapi DBL. Kamu tahu DBL? Kami pun melopong. Daun Bunga Larat. Orang Melayu jarang sangat menghasilkan sesuatu ada gambar manusia atau binatang sebab pengaruh Islam. Kalau ada gambar binatang atau orang tu pengaruh dari Hindu atau Indonesia. Kita boleh kenal asal usul kain atau ukiran dengan melihat corak.

4. PD Ungku Aziz juga pernah bawa duit emas dari zaman Khalifah Abassiyah, Teko dan berkongsi mengenai pantun di alam Melayu.Setiap ucapannya kami tertunggu-tunggu kerana akan keluar satu benda yang kita tak pernah terfikir. Aku boleh kata dari Ungku Aziz aku banyak berfikir di luar kotak. Soalan-soalan yang dilontarkan buat kita berfikir jauh. Malam ini aku mengenang Allahyarham. Al Fatihah untuk Guruku Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid. Semoga Allah Menerima Segala Usaha Sebagai Amal Soleh.

Hantaran tersebut mendapat hampir 1000 tanda like, hampir 250 perkongsian.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email