Andai Nurhuda Ramli (Svara 5) menggambarkan Faisal Tehrani sebagai seorang penulis berilmiah yang memberikan dalil dan fakta untuk mengukuhkan penulisannya, seorang yang bergeliga, humorous dan sarkastik, serta sensitif terhadap situasi semasa, maka tidak keterlaluan jika saya samakan Asrul Muzaffar Mohamed dengan Faisal Tehrani. Cuma namanya mungkin terlalu asing dalam bidang penulisan, kerana beliau tidak pernah menulis buku sebelum ini.
Medan perjuangannya dalam halaman media sosial, bukan dalam halaman buku. Jika disebut namanya dalam Twitter, tentu ada yang kenal Pak Cik Asrul, Bang Asrul atau Encik Asrul, walaupun beliau tidak selesa dipanggil “Encik”. Asrul juga sudah beberapa kali menimbulkan kontroversi di kalangan pengikut-pengikutnya yang rata-rata ‘anak muda’ belaka. Namun, setiap kontroversi itu dijawabnya dengan selamba, dilapik dengan fakta. Ada kalanya kelihatan seperti beliau sengaja hendak membuli anak-anak muda itu agar berfikir dengan lebih matang.
Saya mula mengenali Asrul dalam kumpulan Relaxjap di platform Yahoo! pada awal tahun 2000an. Relaxjap merupakan sebuah platform di mana ahli-ahlinya menyumbang kisah hidup sebenar, pandangan tentang keadaan semasa, keagamaan dan sebagainya. Namun, tidak seperti penulis-penulis lain yang lebih suka menggunakan nama samaran, Asrul memilih untuk menulis namanya dengan penuh. Ini memberi gambaran buat saya bahawa beliau seorang yang berani berterus-terang dan jujur.
Karakter ini dapat dilihat di dalam penulisannya. Kalau ia perkara benar, maka benarlah. Kalau ia perkara salah, maka salahlah. Antara kalimat keramatnya, “Jika hendak
menjadi hiprokrit, jadilah hipokrit yang jujur.” Asrul bukan seorang pengikut. Beliau juga tidak mudah dipengaruhi ideologi-ideologi orang lain. Beliau lebih selesa mengambil jalannya sendiri dan seringkali menentang arus.
Gaya bahasanya santai tetapi segala pandangan yang diutarakan berdasarkan fakta. Beliau berani mencabar cara pemikiran konvensional dengan cara pemikiran yang lebih terbuka demi mencari pengertian sebenar. Beliau tidak takut memberi pandangan yang seringkali mengundang persepsi bahawa beliau seorang “Islam Liberal” atau penulisannya “boleh memesongkan aqidah”. Sungguh pun demikian, Asrul tidak menganggap dirinya seorang expressionist.
Asrul tidak menerima sesuatu bulat-bulat. Beliau akan menyelidik sedalam-dalamnya dan mengeluarkan pelbagai jenis dalil dan fakta. Begitu caranya untuk mematahkan hujah hujah dangkal mahupun hujah-hujah yang memberi dalil berlainan. Beliau mengupas sesuatu isu dengan cara berfikir yang bereksperimentasi.
Metoda pemikiran Asrul ibarat soalan-soalan “5 Why” dalam mencari punca sesuatu masalah. Seperti seorang anak kecil yang akan bertanya secara bertubi-tubi untuk memahami sesuatu perkara. Seperti katanya, “Ini saya, seorang muslim yang bertanya. Bagaimana jika seorang yang bukan muslim?”
Walaupun ramai yang tidak dapat menerima metoda pemikirannya, beliau bukanlah jenis yang mudah mengiyakan bangkangan orang. Beliau menulis bukan untuk mengharapkan “yes men” yang hanya akur dan setuju dengan pandangannya. Beliau menulis bukan untuk mencari populariti, melainkan untuk menyingkap persoalan yang diutarakan melalui metoda pemikiran yang saintifik dan lebih rasional dengan menyoal, menggeledah, menyelidik dan mengkaji. Memang satu kesilapan sekiranya ada yang meningkah apa yang ditulis olehnya tanpa mengemukakan sebarang fakta atau dalil yang sahih.
Metoda pemikiran yang berbeza inilah yang akan kita jumpai di dalam buku ini, yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu 1) Ruh, 2) Minda, 3) Amal dan 4) Hati.
Ruh mengungkap kepercayaan antara yang benar dan yang palsu. Dimulakan dengan Dealova 4U tentang perkembangan maklumat yang selalu ditokok tambah oleh agamawan, ilmuwan dan para pendita sejak zaman berzaman berdasarkan pemahaman mereka masing masing; dan mudah pula dipercayai oleh pengikut dan pendengar mereka.
Ia mempersembahkan metafora inspirasi yang diperolehi dari sumber yang sama namun dengan interpretasi yang berbeza, sehingga manusia cuba menegakkan bahawa interpretasi merekalah yang betul, lalu membentuk prasangka dan prejudis. Secara halus, melalui lirik-lirik lagu kumpulan Dewa19, Asrul menyindir cara pemikiran yang malas hendak menyelidik.
Bukan hanya tidak mahu menyelidik, malah segolongan manusia menjadi territorial, possessive dan defensive sehingga berlaku peperangan dan penumpahan darah kerana merasakan bumi ini merekalah yang empunya. Walhal dalam foto yang diambil oleh angkasawan Carl Sagan daripada kapal angkasa Voyager I pada 14 Februari 1990 menunjukkan bumi di angkasa raya ini sangat halus. Lantaran itu ia dipanggil The Pale Blue Dot (Titik Biru Yang Pudar). Maka seharusnya, tidak ada yang perlu dibanggakan jika bumi dibandingkan dengan seluruh alam.
Bab Antara Satu, Billion dan Decillion mengisahkan seorang Raja dan Wazirnya yang bermain sejenis permainan dipanggil “shahmat”. Setelah dia menang, Wazir tersebut meminta Sang Raja menunaikan permintaannya untuk mendapatkan sebutir gandum yang digandakan mengikut jumlah 64 petak pada papan permainan tersebut. Setelah dikira-kira, jumlah gandum keseluruhannya 75 billion tan metrik.
Kisah ini dikaitkan dengan kaedah pengiraan yang melangkaui akal fikiran manusia. Penemuan-penemuan arkeologi menunjukkan bahawa kehidupan di bumi sudah wujud beratus juta tahun yang lalu. Fakta ini menggugat teologi yang masih percaya bahawa satu hari bermaksud 24 jam. Terus-terang saya nyatakan, bab ini menyebabkan saya terkulat-kulat memikirkan apa yang tersirat di sebalik mesej yang cuba disampaikan.
Topik ini disambung lagi dalam bab Kalendar Kosmik dengan contoh kalendar penciptaan alam menggunakan kaedah exponential increase. Turut dibangkitkan bagaimana suatu masa dahulu para saintis terdiri dari orang Islam seperti Al Farabi, Ibn Sina dan Al Biruni, tetapi sekarang umat Islam sudah jauh ketinggalan dalam hal ini.
Ruh diakhiri dengan Tandatangan Sang Artis yang mengisahkan tentang filem Contact yang diadaptasi dari novel tulisan Carl Sagan. Dalam filem ini, seorang angkasawan bernama Ellie hanya percaya kepada bukti. Malah di dalam novel (tiada dalam filem), Ellie dikatakan berjaya membuktikan kewujudan Tuhan melalui formula matematik pai. Namun, satu insiden memaksanya untuk bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan semata-mata.
Asrul memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang metoda pemikiran sains dalam Minda. Baginya, ini metoda terbaik untuk mendalami pelbagai bidang, termasuk agama. Metoda Pemikiran Saintifik menjelaskan perbezaan antara pemikiran saintifik dan rasionalisasi. Manakala dalam Suatu Cara Berfikir, Asrul mengatakan secara tidak sedar kita telah mengaplikasikan metoda pemikiran saintifik dalam kehidupan seharian. Beliau juga menegaskan bahawa kegagalan untuk mengadaptasikan kaedah pemikiran ini akan membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran ilmu dan maklumat palsu.
Melalui Ilmu Pengasih Siam Dan Peluang Menjadi Kaya, beliau secara sarkastik menegur kebanyakan umat Islam yang lebih suka membaca berita tabloid dan menyeru pembaca untuk menjadi lebih skeptik.
Hipotesis mengikut metoda pemikiran sains dilanjutkan dalam Bulan Terbelah Dua, mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku ketika Rasulullah s.a.w menunjukkan mukjizat baginda sehingga kaum Quraisy dapat melihat bulan seperti telah terbelah dua.
Metoda pemikiran sains mengikut logik akal, mempersoalkan sesuatu dengan pendekatan apa dan bagaimana (what and how) demi mencari jawapan dengan cara yang lebih objektif. Dengan pendekatan ini Asrul mencabar pemikiran umum yang lebih bersandarkan kepada siapa dan mengapa (who and why).
Dalam Dunia Di Ambang Akhir Zaman, Asrul menyindir sesetengah golongan yang begitu mudah menjatuhkan hukuman “dunia dah akhir zaman” jika berlaku sesuatu yang pada mereka tidak mengikut syarak. Baginya, istilah itu hanyalah suatu bentuk escapism kerana istilah itu sudah wujud sejak zaman berzaman.
Nasihat saya, untuk membaca kedua-dua bahagian Ruh dan Minda perlu disertakan dengan pemikiran yang terbuka, diikuti dengan penyelidikan mengenai topik yang telah dibentangkan. Jangan terima bulat-bulat.
Dalam Amal, Asrul merangkumkan pandangan beliau mengenai bidang penulisan lewat kerjayanya dalam bidang komunikasi korporat. Menurutnya, mesej yang hendak disampaikan perlulah dalam lenggok bahasa yang paling mudah difahami, jangan takut menerima respon negatif, jangan takut tersilap kerana kita semua bukan maksum, menulis berdasarkan kajian rapi dengan hujah yang kukuh dan bernas, serta dari sumber yang sahih. “Menulis dari hati” merupakan nasihat beliau yang masih saya pegang sehingga kini.
Asrul turut memberikan beberapa nasihat mengenai penjenamaan dalam bab Dalam Dok Ghairah Berbranding dan 10 Perkara Yang Wajib Diketahui Semua Pelajar Masscomm, Beliau turut mendedahkan beberapa kesilapan dalam penjenamaan. Salah satu perkara yang
saya tahu beliau masih tidak berpuas hati sejak dahulu sehingga kini ialah iklan kosmetik yang memaparkan wajah pengasasnya.
Beliau juga menyingkap pemilihan sebut harga dalam syarikat-syarikat korporat yang mengamalkan polisi tidak adil dengan memilih sebut harga paling rendah; dilabelnya sebagai polisi Bayar Kacang Dapat Beruk. Baginya, polisi ini akan menjadi adil jika sebut harga tersebut diperolehi dari pembekal yang sama taraf atau berada dalam liga yang sama. Bak kata Asrul, perlu dibezakan antara agensi kaca dengan agensi intan.
Tentu ramai pekerja freelance boleh relate dengan topik ini. Satu lagi perkara yang mungkin ramai penulis boleh relate ialah mengenai pandangan bahawa ‘menulis itu mudah’ lalu hasil penulisan dibayar dengan tidak setimpal. Katanya, perniagaan kreatif bukan perniagaan menjual skru, nat atau kekunci yang boleh dipegang atau dibelek.
Sarkasme Asrul jelas dalam penulisannya dalam bahagian Amal ini apabila beliau turut menempelak budaya masyarakat Malaysia yang suka mengadakan majlis gempak-gempak, tetapi akhirnya tiada hasil.
Bahagian terakhir, iaitu Hati, lebih bersifat personal kerana ia berkisar tentang hidup dan mati. Dalam bahagian ini kita dapat melihat sisi lembut Asrul, terutama melalui Requiem Untuk Asrul Iskandar, anaknya yang meninggal dunia ketika masih dalam kandungan kira-kira 20 tahun lalu. Hati dimulakan dengan Citra Cinta, mengenai asal kehidupan sebuah nyawa dari seorang ayah dan seorang ibu yang kemudiannya bersatu lalu melahirkan keturunan demi keturunan. Diselitkan juga teks ucapan bagi perkahwinan kakak iparnya pada 7 Februari 2007.
Dalam Tanpa Syarat Tanpa Balasan, Asrul bermelankolia tentang kecenderungan untuk menyakiti hati orang yang mencintai kita yang diinspirasikan oleh The Prophet, karya Kahlil Gibran. Bab ini diakhiri dengan Redup Mata di Penghujung Senja, nukilan beliau untuk anak-
anaknya dan generasi yang akan datang. Ia ditulis dalam gaya bahasa yang lebih puitis, simbolik kepada waktu yang sudah berlalu.
Dalam penulisannya turut terselit unsur-unsur humor. Tidak terkecuali minat beliau terhadap Maya Karin. Keterujaannya jelas ketika Maya Karin pernah membalas Tweet beliau dan seterusnya menjadi Follower beliau.
Banyak lagi sebenarnya yang telah ditulis oleh Asrul. Namun mungkin dalam ruang lingkup sebuah buku yang bersaiz kecil ini, hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat dihidangkannya buat tatapan pembaca.
Untuk memahami metoda pemikiran seorang Asrul Muzaffar Mohamed, buku ini tidak boleh dihadam hanya melalui pembacaan. Ia perlu diperhalusi dan diselidik dengan lebih mendalam.
Bising bagaimana pun bunyi tulisannya, Asrul Muzaffar Mohamed tetap mengaku beliau seorang pemalu. Baiklah.
Ulasan buku ini dikirim oleh AMSHIDA ROHAYANI AHMAD RANI, Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom