Mengembara Merentas Masa bersama ‘Kampung Boy’.

One glance at a book and you hear the voice of another person, perhaps someone dead for 1,000 years. To read is to voyage through time.” Demikian menurut petikan kata Carl Sagan.

Mengembara ke ruang masa yang lain atau merentas sempadan geografi tanpa meninggalkan kerusi empuk atau tilam sedap boleh dilakukan dengan aktiviti membaca. Bersesuaian sekali dengan musim PKP penangan pendemik Covid-19 ini.

Saya ingin mengajak pembaca untuk mengembara ke alam masa lalu yang penuh nostalgia lewat karya terbaharu Mitch berjudul ‘Memoir Kampung Boy’ yang baru sahaja diterbitkan. Saya memiliki buku ini lebih seminggu yang lalu, buku ini saya beli dengan kaedah pratempahan dengan penulisnya sendiri.

Penuis mengaku buku ini dicetak terhad, kini khabarnya sedang diulang cetak atas permintaan yang meningkat. Tahniah kepada penulisnya.

Menelusuri jalan kenangan bab demi bab di dalam novel ini mengheret kita masuk ke alam kanak-kanak sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an. Secara kimianya buku ini dekat dengan saya sebagai pembaca. Ya, tidak lain kerana era latar yang dipersembahkan merupakan era gemilang saya juga ketika kanak-kanak.

Dengan penceritaan ala sebuah memoir meskipun tidaklah sempurna jika diandaikan sebuah memoir tetap menyuguhkan pengalaman yang menguja. Dengan latar seorang penulis karya kreatif, Mitch awal-awal lagi memahat pada kulit bukunya bahawa ini ialah ‘Sebuah Novel MITCH’. Nah, jelas sekali penulis penuh hasrat menawarkan pengalaman pembacaan naratif disulam olahan kreatif.

Plot yang kronologi, sesekali menjungkil balik adalah strategi neratif yang menambah segar pada sebuah rakaman pengalaman. Pengisiannya penuh dengan peristiwa-peristiwa zaman kanak-kanak.

Mengikut kiraan saya secara sepintas baca, terdapat lebih 20 permainan zaman kanak-kanak yang boleh dikatakan pupus pada era gajet ini. Antaranya main rounders (saya kurang jelas permainan ini), bermain gasing, lastik, guli, layang-layang, laga labah-labah, ikan laga, main mercun, meriam buluh, konda-kondi, main ceper, galah panjang, main chapteh, gundu, mengail ikan, main tikam, bola tepuk, main tikam, baling selipar, main kapal kertas juga aktiviti-aktiviti di kampung pada zaman dahulu kala misahnya aktiviti marhaban (penulis sangka itu ialah meraban).

Sepanjang jalur penceritaan, ada juga peristiwa yang agak menyentuh perasaan saya sebagai pembaca apabila penulis menukilkan kisah pemergian seorang sahabat sepermainannya yang bernama Mamat. Kisah ini dekat dengan saya sebagai pembaca kerana saya juga ada melalui satu peristiwa yang hampir sama. Mamat dalam cerita Mitch digambarkan telah meninggal dunia kerana demam panas. Dapat saya rasakan suasana dan kehibaan sehari selepas Mamat tiada lagi di alam fana ini. Hening dan bening. Demikian saya rasakan dengan kehilangan yang juga saya pernah lalui. Ia sangat mengesankan.

Dengan kemasan yang baik, saiz buku yang agam dan lumrah sebagai sebuah memoir, pembaca akan berasa puas menelusuri pengalaman demi pengalaman rakaman dari kisah silam. Apatah lagi buku setebal 305 muka surat ini digarap dalam bahasa mudah dan saya percaya pembaca akan laju meluncur dari bab 1 hingga ke bab 44, dan sekali gus ‘mencuci mulut’ dengan secebis epilog yang menikam sukma.

Saya menelaah buku ini dalam satu malam sahaja, dengan sedikit catatan dan tandaan. Santai dan membuai kenangan.

Dapatkan lah buku ini, mereka yang lahir sezaman (era 70-an dan 80-an) pasti ada pertautan yang dekat, mereka yang lahir era milenium pasti akan mendapat banyak ilmu dan pengalaman daripada sejarah yang tercatat, manakala bagi yang remaja dan dewasa pada era 70-an, pasti akan tersenyum dan tersengih membaca latar persekolahan, hari-hari perayaan juga kenangan didikan dan asuhan orang tua-tua dahulu.

Dengan pengakuan penulis bahawa hanya 10 peratus sahaja garapan di dalam buku ini difiksyenkan ternyata berbaloi menelusuri 90% pengalaman sebenar penulis merakam zamannya.

MAKLUMAT BUKU :
Judul : Memoir Kampung Boy : Sebuah Novel MITCH

Penerbit : Menara Seni (HARGA : RM30)

TEKAN UNTUK BELI BUKU INI SEKARANG

Dapatkan buku ini dengan penulisnya MITCH

One thought on “Mengembara Merentas Masa bersama ‘Kampung Boy’.

Comments are closed.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email