Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain

Prakata ‘Kumpulan puisi Terpilih Baha Zain’ ini ditulis oleh Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif ITBM.  Manakala pengenalan buku puisi ini diusahakan oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh. Kemudian diikuti penghargaan yang dilakarkan sendiri oleh penyair Baha Zain.  Terkandung dua ratus sebelas buah koleksi puisi yang dipilih sendiri secara khas oleh penyair. Manakala fizikal buku puisi ini dianggap produk tanda aras baharu; unik dan klasik bagi penerbitan ITBM.

Baha Zain di mata pena Mohd Khair Ngadiron, “….rata-rata pasti bersetuju bahawa karya dihasilkan Sasterawan Negara ke-12 ini sangat jujur bicaranya.  Baik puisi mahupun prosa lengkap esei kritik sasteranya, semua tulisan Baha Zain memperlihatkan garapan kemas yang diadun menggunakan bahasa mudah tanpa banyak bergelut metafora.  Benar ada ketika, bentak amarah Baha Zain boleh dikesan pada beberapa karyanya.  Tapi itu adalah kemanusiaan.”   Sememangnya itu adalah ‘poetic justice,’ integriti seorang penyair yang berperibadi seperti Baha Zain. 

Prof. Muhammad Haji Salleh mengukur kepenyairan Baha Zain, “….Baha Zain sudah diiktiraf sebagai seorang penyair, penulis esei, pengkaji serta penulis blog tersohor Malaysia dan untuk sekian lamanya sudah pun mencapai suatu tahap gaya serta suara yang unik dan kepengarangan yang sangat berbeza.  Dunia puisinya ditebar luas.  Pengalaman kesusasteraannya dikutip daripada sastera dan terjemahan bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia. Sajaknya ditembusi peluru peperangan yang berkepanjangan dan kesedihan manusia yang peka kepada tamadun.  Oleh itu baris-barisnya sering tersirat ironi, kias dan kecewa yang kesemuanya menjadi gambar serta rona kanvasnya.”

Di samping itu, Baha Zain, menurut Dr Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), “….seorang intelektual, seniman dan pejuang politik kebudayaan yang tegar, tentu sahaja memberikan pengertian mendalam dalam sejarah persuratan bangsa….seorang penulis yang mahir menukangi karya berbaur seni dan keintelektualan.” 

Penulis buku Biografi Penerima S.E.A. Write Award Baha Zain, Lim Kim Hui, PhD. (Hamburg) HUFS Seoul, Korea turut menurunkan catatan, “….dua dunia Baha sering bergolak antara dua dunia manusia, siang dan malam.  Siang menimbulkan memori, manakala malam menimbulkan mimpi yang kedua-duanya merupakan dua interpretasi terhadap satu perkara yang sama – mencari kebenaran di sebalik kepalsuan dunia yang sering bertindan.  Baha dalam kebanyakan penulisannya sering berusaha mengkontraskan dirinya yang berusaha mempertemukan kebenaran yang dicari-carinya.  Dalam usaha tersebut, beliau sering ditenggelami oleh konflik suasana dan impian yang mengelabui dirinya.  Imej realiti dan impian, perempuan dan bayang-bayang, siang dan malam, desa dan kota, topeng-topeng dan wajah sebenar menciptakan nuansa tersebut yang tak ubah seperti sepasang watak ciptaan yang terus-terusan berdansa dan bermain dalam pentas kreativiti Baha sama ada sedar mahu pun tanpa sedar.  Walaupun begitu, yang ketara, mimpi Baha itu “mimpi bahasa” kerana dalam kata “bahasa” itu sendiri sudah merangkumi jiwa dan gejolak Baha.  Hal-hal tersebut dapat dilihat dengan jelas berdasarkan penggunaan metafora dan bahasa dalam karya beliau….”

Baha Zain – Penyair dan Pengkritik

Bakat Baha Zain sebagai pengkritik sastera dan penulis puisi boleh dianggap setara dan saling berpautan.  Bagaimanapun, bakat berpuisi Baha Zain dianggap lebih menyerlah jika dibandingkan dengan bidang kritikan.  Menurut Adibah Amin, seorang ahli akademik, ahli bahasa, penulis dwibahasa dan pelakon Malaysia, “Bagaimana Baha boleh mendamaikan diri untuk menulis puisi dan juga kritikan?”  Pengakuan Baha Zain “Barangkali apabila kita menulis puisi itu adalah suara kita, suara diri, yang datang dari dalam. Bahasa puisi yang jernih, sensitiviti yang halus, dan persepsi yang tajam, adalah satu aset yang cukup kaya untuk menghantar seseorang penyair ke  dunia seni yang lain di depannya (kritikan, misalnya).”  Pada umumnya, penulis karya kreatif bukanlah seorang pengkritik dan sebaliknya pengkritik yang baik belum tentu  boleh menjadi penulis karya sastera yang baik.

Kesimpulannya, bakat kreativiti sastera;  bakat penyair lebih menuntut kepekaan dan sensiviti rasa, sedangkan bakat kritikan memerlukan kebijaksanaan hujahan dan alasan berdasarkan rasionalistik logika.  Baha Zain dianugerahkan bakat luar biasa sebagai penyair dan pengkritik sekali gus, dan ini jarang-jarang dimiliki oleh seseorang sasterawan tanah air masakini.  Bagaimanapun, adalah lebih bagus difokuskan tulisan ini kepada kerja-kerja Baha Zain sebagai penyair yang lebih mendominasi kehidupan beliau dalam ranah kesusasteraan.

Baha Zain – Penyair Versatil

Puisi sudah menyatu bersama Baha Zain.  Setiap puisi Baha memperlihatkan sosok dan keperibadian dirinya.  Beliau sememangnya berfikiran kritis dan  juga berpandangan sinis serta berjiwa romantis.  Antologi perseorangan Baha Zain yang terawal ialah ‘Perempuan dan Bayang-bayang’ (1974).  Kemudian muncul ‘Dari Kertas Catatan Tengah Malam’ (1978) dan diikuti pula ‘Tiga Catatan Perjalanan’ (Three Sketches from a Journey).  Ahmad Kamal Abdullah (1986) berpandangan, “Suara Baha mewakili jalur yang romantis dan protes.  Sesekali dia merakamkan sajaknya dengan nada yang sinis.” 

Catatan Kritis Tentang Peperangan                                                                                  

Mari kita ikuti beberapa petikan puisi-puisi yang mewakili diri Baha Zain sebagai seorang penyair yang bertanggungjawab untuk mengkritik dan memprotes terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling kehidupannya.  Sememangnya penyair itu pengkritik zamannya dan itulah Baha Zain.  Pemikiran Baha Zain berkisar seawalnya berkaitan dengan fahaman sosialisme yang pekat.  Contoh puisi  berikut memberikan gambaran betapa beliau amat benci sesuatu yang berbau kapitalisme dan meluat dengan kehidupan yang terlalu keInggerisan, lantas menuangkan idea-idea bernas dan mantapnya menjadi beberapa buah puisi yang saling kait-mengait:

Kolaj “Gerakan Moden”

Bau petrol, asap trektor / Rumah pangsa, ‘massage parlour’ / Perempuan & hotel = pelacur / Mascara, ‘eye-shadow = floor show’ / (Beware of dogs) rumah bangle / Akuarium & orkid, poodle & piano / Kerusi antik, muzik klasik / Status + symbol = moden – maju / ‘Cheap sale’ di ‘supermarket’ baru / Kad jemputan / Resepsi / Tele: 8891 / Lounge suit

Cocktails / B.G.Ale / Wiski Soda / Et cetera. / …..

Baha Zain juga melihat gejala-gejala parah yang sarat segala keganasan dan jiwa manusia hilang peri kemanusiaan seperti apa yang berlaku di dalam kancah peperangan di beberapa pelusuk dunia.  Beliau amat khuatir akan nasib anak-anak di dunia ketiga yang bakal diwarisi sifat-sifat durjana menggilai peperangan demi meraih kekayaan secara paksaan seperti petikan puisi berikut:

Anak Asia

……/ Meski hitam atau kuning warna kulitnya / Bayi itu tidak berdosa untuk diwariskan keganasan / Atau diajar apa erti kehidupan / Dengan cara pembunuhan / Atau dibesarkan dengan susu berbau mesiu / Di bawah bayang-bayang sepatu perang / …..

Tetapi, kegusaran hati Baha Zain semakin menebal dan menjadikan jiwanya sebal.  Penyakit perang yang diidapi di negara Barat akhirnya melanda juga ke benua Asia.  Peperangan di Vietnam yang didalangi oleh negara ‘Uncle Sam’ telah menyaksikan betapa keruntuhan peradaban dan moral wanita-wanita di negara tersebut akibat budaya seksual bebas, buas dan ganas amalan asykar-asykar Amerika.  Perasaan Baha cukup tersentuh dan berbahang api kemarahannya seperti petikan puisi berikut:

Rayuan Wanita Asia

Apa lagi yang bias kuberi / Semua kemboja layu dalam bahang ledakan / Semua wanita rahimnya telah kau isi / Dengan ‘dollar’ / Dengan V.D / Apa lagi / Apa lagi / Yang tinggal aku / Pewaris kuman dan kehancuran / Jangan  kau apa-apakan / Pelacur di hotel Embassy / ‘She cries,’ / “He, jo, gip me you dollar / Not you napam, not yor gonoria.”

Akhirnya, Baha Zain menyimpulkan segala-gala kemarahan dan kebenciannya terhadap gejala peperangan buatan manusia gila khusunya kepala-kepala negara yang bukan berjiwa dan berakal manusia, di dalam sebuah puisi yang sudah semestinya berakhir dengan sebuah sejarah yang luka berabad deritanya:

Catatan Sejarah

Kalau dia hidup sepuluh abad / Menyaksikan perang demi perang / Kemenangan demi kemenangan / Lalu duduk menyusun sejarah / Dia paling-paling menulis begini:

Manusia sekedar meneruskan / Pergelutan untuk mati.

Pergelutan Sinis Kota Metropolitan                                                                  

Sebagai warga kota, Baha Zain turut merasakan segala bahang dan panasnya.  Pandangan dan pemikiran beliau lebih menjurus kepada pergelutan manusia kota yang mahu hidup dan terus hidup dengan apa cara sekalipun.  Kuala Lumpur menjadi tema utama karya-karya Baha Zain.  Kota yang penuh segala kekacauan kehidupan; undang-undang digubal nanti kemudiannya dilanggar, politik dan fesyen menjadi bualan utama di ‘coffee house’, seni dan teater dipersembahkan menjadi hiburan para elitis, ulama dan ilmuwan berkhutbah dan berwacana di pentas-pentas, segala jenis bakat dan otak berpusu-pusu ke sini, masjid dan rumah-rumah pelacuran semua dikunjungi tanpa segan-silu, manusia yang lapar akan memakan manusia juga akhirnya, dosa dan pahala sama bergelumang di arus kota sehingga menghanyutkan nyawa kita atau mereka.  Begitulah, semua kisah dikisar dan diadun hingga menampilkan beberapa puisi yang mewakili diri Baha Zain sebagai penghuni kota yang sedar akan dirinya dan tahu di mana dia berdiri dan ke mana dia mahu melangkah:

Pengungsi Kota

Ada sesuatu yang aneh di sini / Kuala Lumpur yang gah dan ganas / Kuala Lumpur yang / sesak dan lemas / Bercerai kenyataan daripada khayalan / Indah khabar daripada rupa

Indah kelopak daripada harumnya / …..

Telawi Oh! Telawi

Pada suatu sudut di ibu negara / Tanahnya sangat berharga / Habuknya pun bernilai untuk dijual / Ruang udaranya dipagari tembok dan jendela / Terbangun daripada tangan pendatang haram / Keringat mereka berbaur simen, pasir, kapur dan air / Sekarang pendatang haram dihalau pulang / Untuk pendatang yang lebih wang / Nafasnya berbaur Anchor, Tiger, brandi, dan wiski / ……

Dalam Kekusutan

(Pesan untuk anak cucu)

Galilah kebenaran / Di bawah-bawah permukaan gelombang / Antara belukar masalah

Di dalam belantara persengketaan / Di tengah-tengah kekusutan perasaan / ……

Elusan Romantis Sang Penyair                                                                                                   

Sebagai seorang penyair, ungkapan-ungkapan  Baha Zain melalui puisi-puisinya ketara erotiknya.  Tetapi, beliau tidak sembrono mengungkapkannya tetapi mempunyai sandaran dan alasan-alasan yang kukuh dan tentunya ‘poetic license’ membantu menyuburkan lagi suara nubarinya paling suci.  Beberapa petikan puisi berikut membuktikan Baha Zain bijak memanipulasi idea, ilham dan kepentingan naluri berkaitan perasaan cinta, kasih, sayang, rindu dan mesra  terhadap perempuan secara berseni, lembut dan menyenangkan:

Permaisuri

Aku tidak selalu mengatakan / “Aku sayang padamu” / Kerana sifat pendiam ibuku / Tetapi segala peristiwa masalalu / Yang kita alami bersama / Dan kita kongsi berdua / Mengalir dalam darah dan nafas / Sehingga nanti ia terhenti / …..

Sesudah Rindu Yang Lama

Nafasmu yang menggila / Tiba-tiba lembut di leherku / Air yang bermukim di matamu /

Sejurus menitis di bantal empuk ini / Setitik demi setitik / Menyempurnakan cinta kita.

Ranjang Dan Medan Perang

Atas ranjang sempit ini / Ketika malam mengunci diri / Kekasih bermain cinta / Sejurus mengeluh / Terlalai dan kesal / Antara hutan tebal / Sewaktu malam menyebar pekat / Askar-askar tertembak / Seketika mengaduh / Tergeletek dan senyap / Ranjang dan medan perang / Tak terduga / Puas atau tersiksa.

Perakam Masa Silam

Baha Zain, bukan sekedar berpuisi tetapi beliau sedar diri dan tahu tanggungjawab peribadi sebagai seorang penyair.   Sebuah puisi berjudul ‘Penyair’ (2008) yang menjelaskan kepentingan penyair sebagai perakam masa silam: ‘Penyair, pembawa pesan zaman silam / Pencatat zaman sekarang / Dan pelukis zaman depan.’   Baha Zain juga memahami galur hidup bukan sekedar mengatur kata-kata dan berbicara sesuka jiwa berbahasa, tetapi ada cara, tersisip makna buat teladan dan panduan di hari muka untuk semua.  Sedemikian petikan puisi-puisi berikut yang mempunyai perkaitannya yang tersendiri:

Dari Puisi Apa Ertinya

Apa yang dicari dari puisi / Visi hidup, kebenaran mutlak atau abadi / Antara kata-kata berselerakan dalam ucapan yang aneh / Atau kelainan dari surat-surat biasa atau tak usah menjemukan / Penyair adakalanya lebih tolol daripada petani / Lebih siuman perasaan daripada akalnya / ……

Menulis Puisi

Kenapa sulit sangat untuk aku menulis puisi? / Bunga-bunga berkembang setiap hari /

Tak berhenti / Santalia, melur, cempaka dan bakung semerbak / di halaman Sundal malam bergilir hadir sesudah senja /…..

Kenyataan Puisi

Waktu serta hari ditandai gelap dan terang / Cahaya putih fajar dan jingga senja / Esok akan berulang seperti semalam / Waktu tidak menunggu kata-kata dan kata-kata tidak ditentukan waktu / Tempat pun bukanlah penjara kata-kata, hanya meminjam / kata-kata untuk alamatnya / Tidak berkata-kata pun mengandung makna / …..

Kesimpulan

Keprolifikan dan kependidikan Baha Zain dapat ditelusuri melalui beberapa puisi yang agak berbau didaktik tetapi juga merupakan pesanan nasihat yang kalau tidak diikuti boleh mengakibat hidup melarat seperti ‘Tergantung Pada Kata-kata’ dan ‘Nasihat Orang Tua-Tua’.  Beliau kelihatan sedemikian progresif dan bebas dalam melontar idea dan kata-kata dalam berkarya.  Tetapi, berkaitan nasihat dan pesanan orang-orang tua dahulu kala, Baha Zain amat kuat berpaut pada dahan tradisi nasihat-menasihati.  Beliau juga dikatakan cukup berhati-hati dalam penulisan tetapi amat kreatif menyampaikan maksud serta mengaitkannya dengan suasana semasa.                                      

Disebabkan kuatnya jiwa pendidik itu, Baha Zain telah dilantik sebagai penasihat industri dan profesional di Bahagian Sastera, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM, 2010).  Sesuai dengan jasa dan bakti yang telah banyak beliau curahkan di dalam dunia sastera, kerajaan Malaysia menganugerahkan kepada beliau Anugerah Sastera Negara dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-12.  Jasa dan sumbangan Baha Zain akan sentiasa subur di ladang kesusasteraan tanah air dan akan dikenang zaman-berzaman.

Tamat.

Bahan Rujukan / Bacaan Tambahan

1.  Siri Kajian Biografi Penerima S.E.A Write Award, Baha Zain – Merenangi Dua

     Lautan, Lim Kim Hui, DBP 2016

2.  Esei Dan Puisi Baha Zain – DBP , 2014

3.  Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain –  ITBM, 2013

Ulasan buku ini dikirim oleh RAMLEE WAHAB Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email