Hampir setahun Covid19 menghantui seluruh dunia menjadikan ia suatu isu utama untuk ditangani oleh segenap lapisan masyarakat. Makanya sudah tentu banyak hal-hal lain seolah terkesamping dan tidak sempat diambil peduli. Baik oleh kerajaan mahupun masyarakat umum. Jadi, bagaimana mahu kita melihat industri buku berkembang pesat pada era seluruh manusia sedang sibuk berperang dengan ‘makhluk halus’ ini.
Hari ini sahaja sebanyak 2,525 kes jangkitan Covid-19 dicatatkan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 113,010 (setakat Khamis, 31 Disember 2020, jam 12 tengahari).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook rasmi beliau menyatakan, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 23598 kes.
“Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes dicatatkan, diikuti Sabah 299 kes, Melaka 239 kes, Kuala Lumpur 222 kes, Johor 194 kes serta lain-lain.”
Menyorot kronologi kes, pada 31 Disember 2019 yang lalu, pihak berkuasa China telah melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, melibatkan masyarakat setempat di Wuhan, China.
Pihak berkuasa China juga telah melaporkan kepada WHO pada 5 Januari 2020 bahawa jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS). Seterusnya pada 12 Januari 2020, WHO telah mengesahkan bahawa wabak yang berlaku di Wuhan, China ini adalah disebabkan oleh jangkitan daripada coronavirus baharu (novel coronavirus).
Coronavirus baharu (novel coronavirus) adalah mana-mana strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah dikenal pasti atau dikesan pada manusia.
Tahun baharu 2021 adakah kita masih dibelenggu dengan pertambahan kes baharu setiap hari? Ini adalah cabaran yang hebat bagi pemain industri buku yang memberi kesan terhadap penulis dan penerbit buku.
Penularan pandemik COVID-19 ini telah menjejaskan industri buku dan ini secara langsung telah memberikan impak yang besar kepada syarikat penerbitan, pengedar, kedai buku dan penulis itu sendiri. Industri buku pasti berdepan krisis lebih teruk jika keadaan ini berlarutan dan memberi kesan ke atas kuasa pasaran dan kuasa beli pencinta buku.
Ketika ubat dan vaksin lebih utama ke atas kehidupan manusia, bagaimana nasib industri buku (ada yang meyebut indsutri senja) untuk terus hidup dan bernyawa.
SEMOGA KITA SEMUA DILINDUNGI DAN COVID-19 AKAN SEGERA BERLALU PERGI.