Kenapakah Bahruddin Bekri tinggalkan PTS dan pergi ke Syria? Lima soalan untuk beliau.

Siri Detektif Bertudung Hitam, Siri Diari Mat Despatch, Lelaki Berkasut Merah, Penulis yang disayang Tuhan, Doa untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil dan yang terkini Lelaki Penghantar Cinta hanya sebahagian kecil karya penulis berbakat besar Bahruddin Bekri. Baru-baru ini, beliau dikatakan pergi ke Syria dan meninggalkan PTS Publication yang menjadi tempat kerja dan penerbit sebahagian besar karyanya.

Pihak CH mendapatkan Bahruddin Bekri dan bertanyakan LIMA soalan.

CH: Tuan sudah sinonim dengan PTS Publication. Kenapa Tuan tinggalkan PTS yang sudah lama menjadi tempat kerja Tuan. Tak sedihkah?

BB: Saya tidak tinggalkan PTS. Saya masih bersama dan menyokong PTS. Saya cuma tidak lagi bekerja dengan PTS. Sejak 2017, ekonomi buku semakin meleset. Daripada editor saya menjadi eksekutif pemasaran, khusus untuk pasaran sekolah. Daripada status pekerja tetap menjadi kontrak. Gaji tetap, menjadi berdasarkan komisyen.

Ketika itu saya ambil itu sebagai cabaran, kerana sebagai seorang penulis saya sebenarnya sudah tepu juga. Tidak ada baru yang segar. Otak buntu tiada idea untuk buku. Perlu mengembara dan perlu pengalaman baru. Saya melihat jawatan baru ini memberi saya peluang untuk keluar mengembara tanpa saya perlu mengeluarkan duit. Dan, memang saya berpeluang menjelajah dari Johor sampai ke Perlis. Masuk ke kampung-kampung, felda, ladang sawit, kebun-kebun, malah ke pekan dan bandar-bandar besar. Bertemu ramai orang. Bertambah pengalaman.

Kemudian Covid-19 melanda, sekolah-sekolah tutup. Jadi, dalam jangka masa itu terpaksa cuti tanpa gaji selama beberapa bulan. Alhamdulillah masih ada kerja-kerja freelance. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja dengan MAPIM, yang jaraknya sangat dekat dengan rumah. Saya ambil peluang itu atas faktor ekonomi dan keluarga.  Juga kerana saya melihat MAPIM adalah peluang saya untuk memupuk dan melembutkan hati dalam membantu mereka yang memerlukan. Untuk belajar ikhlas.  Kepimpinan MAPIM Malaysia juga sangat meyakinkan.

Kontrak pun sudah tidak disambung dengan PTS. Jadi, semua berjalan seperti dirancang. Alhamdulillah.

CH: Kenapa Tuan pergi Syria?

BB: Bekerja dengan MAPIM, membuka peluang ini. Ke sana membantu menguruskan bantuan untuk pelarian Syria yang sudah terkandas selama lapan bulan. Selain ada misi MAPIM lain yang tertangguh, membina sekolah, membina Bandar Wakaf Malaysia.

CH: Apakah tugas Tuan dalam MAPIM?

BB: Content editor.

CH: Apakah pengalaman yang paling tidak dilupakan semasa berada di Syria.

BB: Melihat sendiri keadaan kem pelarian, menceduk makanan untuk para pelarian, masuk ke khemah mereka, dan berbual secara terus dengan mangsa perang. Terlalu banyak.

Cuaca sejuk di sana juga sangat sejuk. Memang sangat mencabar kalau solat di luar kerana airnya sangat sejuk sedangkan saya jenis tidak tahan sejuk.

CH: Apakah akan ada buku baru? Mungkin berkaitan dengan pengalaman di Syria.

BB: Buat masa ini belum ada lagi. Tetapi daripada segi “rasa” itu ada. Saya sedang mengumpulkan “rasa” , mengumpulkan “watak” dan “jalan cerita”. Saya lebih kepada non fiksyen jadi semua itu ada. Masih peram. Buat masa ini saya seronok dengan proses ini.

Sumber gambar: MAPIM Malaysia

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email