Pandemik COVID-19 banyak menduga penggiat seni budaya untuk terus aktif merencana aktiviti mereka. Ramai yang seperti mati kutu kerana tidak dapat bergiat seperti kebiasaan sebelum bencana ini mula merebak. Lebih-lebih lagi majoriti agak canggung menggunakan teknologi dalam penyampaian dan pelaksanaan aktiviti mereka.
Larangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan atau aktiviti secara bersemuka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, menyebabkan sumber kewangan semakin terhad kerana pihak yang memegang punca kewangan tidak dapat menyokong aktiviti yang dirancang – melainkan jika ia diadakan secara dalam talian atau menerusi webinar.
Dua faktor ini telah mengakibatkan kegiatan seni budaya semakin berkurangan sejak tahun lalu. Jabatan kerajaan dan agensi berkaitan pula terpaksa mandiri mengadakan program demi program tanpa boleh bergantung kepada penggiat seni budaya, demi memenuhi kehendak kerajaan agar rakyat kekal aktif di rumah.

Pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) contohnya, telah sedaya-upaya mengadakan program dalam talian sejak PKP dilaksanakan. Tetapi program-program itu adalah atas inisiatif dan buah fikir mereka sendiri. Ke mana menghilang para penggiat seni yang selama ini aktif mengadakan program seni budaya?
Sebenarnya pihak-pihak pemegang dana sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan kertas kerja daripada para penggiat seni budaya. Kerajaan telah memberikan peruntukan yang sesuai untuk dibelanjakan ke arah penganjuran program asalkan ia mematuhi prosedur operasi standard yang dikuatkuasakan sepanjang PKP dilaksanakan. Ini bermakna kewangan bukanlah halangan utama untuk para penggiat seni kekal aktif.
Halangan paling besar sebenar adalah kesanggupan para penggiat seni untuk beralih menggunakan teknologi dalam penyampaian mereka. Awal-awal lagi mereka sudah menolak untuk bercakap seorang diri di hadapan kamera web. Ada juga yang enggan mengadakan bengkel tanpa kehadiran peserta secara fizikal. Pelbagai alasan diberikan untuk mengesahkan keengganan mereka.

Hakikatnya, kita tidak tahu selama mana pandemik ini akan berlarutan. Walaupun kerajaan mengumumkan kita bakal mendapat bekalan vaksin tidak lama lagi, tetapi ia bukan janji pandemik ini akan lenyap selamanya.
Rela atau paksa, penggiat seni budaya perlu mengubah persepsi tentang penggunaan teknologi dalam penyampaian mereka. Mereka perlu keluar dari kebiasaan lama. Jangan biarkan kecanggungan menggunakan teknologi sebagai halangan.
Saya sendiri pernah mengadakan bengkel penulisan dalam talian selama empat hari berturut-turut pada tahun lalu. Terdapat tiga kumpulan yang mengikuti bengkel serentak iaitu penulisan berita, rencana dan cerpen. Bengkel dikendalikan tiga penceramah berbeza, masing-masing melalui aplikasi Microsoft Teams. Peserta pula terdiri dari pelajar-pelajar politeknik seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak seramai 114 orang. Di akhir bengkel, mereka menghantar karya mereka untuk dipertandingkan. 20 karya terbaik akan dibukukan dan diedarkan tidak lama lagi.

Program dalam talian tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan. Penganjur tidak perlu menerbitkan belanja besar untuk sewa dewan. Tidak perlu menanggung kos makan dan minum peserta juga. Penonton dan peserta pula hadir dari seluruh pelusuk dunia. Yang perlu cuma beli peralatan sesuai untuk mengadakan sesi dalam talian – sebuah kamera web, komputer riba atau komputer peribadi, mikrofon, dan akhir sekali capaian internet. Oh ya, tambahan lampu ‘O’ untuk penataan cahaya kalau perlu. Peralatan ini pula boleh digunakan berulang kali selepas itu. Jika tidak tahu menggunakan semua itu, ada pihak yang boleh membantu. Bak kata Ladin Nuawi, “Semesek jah!”
Rujuklah jabatan kerajaan, agensi dan pihak berkaitan untuk perbincangan. Saya percaya mereka sentiasa bersedia membantu memudahkan dan memberi cadangan bagaimana boleh dilaksanakan program secara dalam talian. Penggiat seni budaya selalunya kreatif dan tidak mati akal. Orang seni budaya juga mempunyai semangat juang yang tinggi. Jadikan itu pemula untuk terus berkarya.
Ramai yang dahagakan wajah seni budaya ketika ini. Mereka juga perasan betapa kurangnya aktiviti seni budaya di negara kita sejak COVID-19 melanda. Jangan jadikan wabak ini sebagai alasan untuk seni budaya kita mati. Kita yang seharusnya matikan wabak ini dengan seni budaya.
Ayuh anjurkan lebih banyak program dalam talian supaya rakyat kekal duduk di rumah. Nescaya ia akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian pandemik.
Nota:
Penulis sedia membantu mana-mana pihak yang ingin menganjurkan seminar, bengkel, atau acara pementasan secara dalam talian. Hubungi 013-976 0187 atau e-mel kasmara@fotolawa.com untuk perbincangan lanjut.