Karyatama Sasterawan Lagenda

Puisi Pilihan Usman Awang terdiri dari tiga buah buku puisi bersiri merupakan koleksi puisi-puisi lama yang sudah menjadi lagenda dalam ranah dunia sastera Malaysia.  Ketiga-tiga buah buku puisi ini adalah hasil usaha Wan Nor Azriq yang bertindak sebagai penyelenggara.  Jika dicantum ketiga-tiga buku ini bermula dari buku hijau, diikuti buku merah dan kemudian buku kuning, di bahagian kulit hadapan akan kelihatanlah wajah Usman Awang memakai topi polis zaman perang.  Ini adalah hasil kreatif pereka bentuk grafik Azalan yang mana kulit luarnya adalah cetusan idea asal Wan Nor Azriq dan editornya Ainuni Muaiyanah Sulaiman. 

Persoalan Karyatama

AllahSWT berkuasa mengangkat martabat insan-insanNYA yang tidak putus-putus berusaha, bercita-cita membina kehidupan keluarga, membina bangsa dan negara melalui kuasa kata dan bahasanya.  Anak seorang nelayan pemestautin di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, kemiskinan adalah pakaian hariannya.  Dialah, Wan Osman Bin Awang Kechik yang tidak percaya manusia lahir untuk memikul beban kesengsaraan sepanjang hayat.  Dia meninggalkan tempat lahirnya pada 12 Julai 1929 dengan suatu janji bahawa dia akan kembali.  Benarlah, janji Tuhan sejak azali, dua puluh empat tahun kemudian, Wan Osman yang kini dikenali sebagai Usman Awang kembali semula ke kampong halaman  dengan membawa buah tangan sebuah  sajaknya berjudul ‘Kuala Sedili’ yang menggambarkan betapa jiwanya masih menyayangi tempat kelahirannya yang kaya dengan keindahan dan juga kaya dengan penderitaan.  Usman Awang sebagai penyair mewakili jiwa dan cita-cita masyarakat dan bangsanya.  Sungguh tinggi azam dan semangat nasionalismenya; impian untuk mencapai kemerdekaan dan melepaskan belenggu bangsanya dari cengkaman penjajahan.

Persoalan Segregasi

Persoalan utama yang timbul ialah mengapa Wan Nor Azriq (seterusnya WNA) menyusun semula iaitu melakukan segregasi kepada sejumlah besar puisi-puisi Usman Awang?  Apakah rasionalnya segregasi ini dilakukan?   Bukan jumlah yang sedikit apabila 197 karya agung sasterawan negara yang ketiga ini dipilih, diasing-asingkan dan dikategorikan kepada tiga bahagian yang bersiri. 

Persoalan Tema

Ahli falsafah dan ahli estetika dari Amerika, George Santayana memberikan pendapat bahawa puisi dari segi temanya terbahagi kepada tiga:

Pertama: Puisi yang hanya merupakan manipulasi kata-kata indah yang terdiri daripada variasi irama dan kombinasi bunyi bahasa tanpa keghairahan emosi.

Kedua: Puisi yang di samping mendukung unsur-unsur jenis pertama tadi juga mengandungi pengertian dan perasaan bersumber teguh daripada pengalaman penyairnya.  Dengan demikian akan terungkap segala gagasan dan imej daripada ketajaman impresi yang dikendalikan oleh perasaan dan tanggapannya tentang hal-hal bersifat duniawi serta terkupas oleh kemampuan intelek. 

Ketiga:Puisi yang mengemukakan kesedaran manusia terhadap maut dan pencarian nilai-nilai hidup di sebalik kenyataan duniawi.  Dengan kata lain, puisi jenis ini adalah puisi yang mengungkapkan pengalaman keagamaan atau dapat mengekspresikan gagasan-gagasan keagamaan.

Dengan itu, keterpesonaan WNA terhadap puisi-puisi Usman Awang bukan secara sembarangan.  Usahanya adalah perancangan yang terancang.  Jika diperhatikan sekali imbas,  perancangan WNA ini kelihatan sebegitu mudah, sebaliknya tidak.   Setelah ketiga-tiga siri buku ini didekati dan diteliti setiap siri, jelaslah usaha WNA bukan sedikit, malah cukup rumit.  Beliau begitu analitikal apabila terpaksa mencari, mengumpul, membaca dan memeriksa setiap susuk puisi dan menentukan tema-tema tertentu, misalnya puisi-puisi yang bertemakan perjuangan iaitu yang mengemukakan cita-cita tinggi dan perjuangan hidup terhadap keluarga, bangsa, agama dan tanah air hendaklah dipilih dan disusun di dalam satu kelompok.  Manakala puisi-puisi yang bertemakan keagamaan atau ketuhanan, percintaan dan kasih-sayang, politik dan siasah, ekonomi dan perdagangan, konflik hagemoni dan peperangan, disusunatur di dalam kelompok masing-masing.  Sungguh, ini bukan kerja mudah, tetapi tidak juga payah kerana WNA sudah bersedia dengan kompas penunjuk arah.

Analisis Pertama

Buku Siri 1:  Malam ini Malam Berinai

Sejumlah 58 buah puisi terkandung di dalam buku ini. 

Setelah dilakukan kerja-kerja analisis secara kritis, beberapa puisi yang dianggap terpenting dan mewakili kebenaran bahawa tema pilihan WNA adalah betul dan bertepatan, adalah seperti berikut:

Tema: Cinta dan Kasih-sayang

Paparan Usman Awang sebagai seorang lelaki berjiwa sangat romantis yang penuh kasih saying dan amat prihatin dan menghormati kedudukan kepada kaum wanita.

Memetik kata-kata Dr Arba’ie Sujud (UPM Serdang), “Kesan penelitian terhadap karya Usman Awang mendapati bahawa karya-karya yang dihasilkan tidak hanya gubahan bahasa yang dianyam melalui diksi tertentu atau ciptaan kosong semata-mata.  Bahkan karya-karya beliau sarat dengan makna dan pemikiran yang diolah dan diadun dengan kata-kata terpilih sehingga menjadikan karya beliau meninggalkan kesan yang sebati dalam diri pembaca.  Ternyata Usman Awang seorang pengarang atau penyair yang sentiasa berkemampuan memperoleh idea yang luar biasa atau ‘genius’.  Kebolehan yang luar biasa itulah yang mampu dilakukan oleh beliau untuk mengajak masyarakat memahami dan merenungi persoalan dan mesej yang disampaikan melalui ungkapan bahasa yang berhemah.” (Stilistika Dalam Karya Sasterawan Negara Usman Awang: Suatu Penelitian-Menyirat Inspirasi, UPM/JWJYWJ Citra 2011).

Analisis Kedua

Buku Siri 2:  Bunga Darah Merah

Sejumlah 68 buah puisi terkandung di dalam buku ini.

Setelah dilakukan kerja-kerja analisis secara kritis, beberapa puisi yang dianggap terpenting dan mewakili kebenaran bahawa tema pilihan WNA adalah betul dan bertepatan, adalah seperti berikut:

Tema: Penjajahan dan Kemiskinan

Paparan dan garapan semangat Usman sebagai pejuang kemerdekaan dan perjuangan orang kelas bawahan.

Memetik kata-kata SN Muhammad Haji Salleh, “Ada tiga unsur dasar yang menjadikan Usman penyair penting dalam perkembangan puisi Malaysia.  Unsur pertama ialah pemikirannya yang peka terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara yang melalui beberapa zaman yang trauma.  Kedua, bentuk puisi dan dramanya yang berjejak di tanah subur kesusasteraan tradisional, tetapi selalu diperbaharui untuk ekspresi zamannya.  Ketiga, cara dia melenturkan bahasa Melayu untuk suatu suara khusus yang dapat pula mengungkapkan suasana hati atau situasi bangsanya daripada yang merdu pantun dalam puisi dan drama awalnya hinggalah kepada sinis kota dalam karyanya yang terakhir.” (Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh-Biografi Usman Awang, DBP 2006).

Analisis Ketiga

Buku Siri 3:  Di Atas Bara Kita Berdiri

Sejumlah 71 buah puisi terkandung di dalam buku ini.

Setelah dilakukan kerja-kerja analisis secara kritis, beberapa puisi yang dianggap terpenting dan mewakili kebenaran bahawa tema pilihan WNA adalah betul dan bertepatan, adalah seperti berikut:

Tema: Renungan dan Pandangan

Memetik kata-kata SN Anwar Ridhwan, “Namun yang selalu mendekatkan karya Usman Awang kepada khalayak ialah kepintarannya memilih isu-isu kontemporari yang menyentuh kepentingan golongan yang miskin, tertindas, dan dipencilkan.  Di samping itu, beliau dengan halus dan pintar menyaring peranti bahasanya.  Beliau tidak menggunakan bahasa yang bombastik dan sukar.  Proses diksinya mengangkat bahasa yang relatif mudah dan lembut, untuk menyentuh emosi dan pemikiran pembaca.  Beliau menyulap dan menyuntik bahasa dengan kekuatan magis untuk sampai kepada  realiti estetika  yang dapat diterima oleh pembaca umum.” (Potpuri-Budaya, Sastera & Seni-Jilid 1, ITBM 2016).

Kesimpulan

Wan Nor Azriq boleh dianggap sebagai penulis dan pengkritik yang mewakili generasi Y zamannya.  Zaman gelojak penulis Indie, peranti elektronik dan era e-Book mulai berakar dan menunjangi taman kesusasteraan tanah air masakini.  Beliau bersuara tegas dan kritikan-kritikannya juga dianggap dinamik, keras dan bernas.  Mungkin kerana jiwanya yang meluap-luap kaya dengan ilham kreatif, lantas dirinya cuba menjadi eskpresif dan meluahkan idea-idea penulisan yang progresif.  Perhatikanlah, petikan-petikan berikut yang  merupakan pandangan-pandangan peribadi beliau yang cukup kritis dan tajamnya yang mungkin menghiris tanpa prajudis:

“Seriusnya seorang penyair hari ini diukur melalui keseriusannya menjadi pemberontak seperti Chairil Anwar atau melalui keseriusannya menjadi penghasut seperti Wiji Thukul.  Usman Awang sangat menepati kriteria stereotaip penyair ‘jalang’ ini walaupun, sebenarnya, puisi Usman Awang tidaklah jalang malah jauh lebih halus dan jauh lebih molek wajahnya. Menjadi pembaca Usman Awang bermaksud kita sentiasa menjadi kekasih di bibirnya.  Namun pujuk rayu seorang kekasih boleh mengaburkan fikiran sehingga kebenaran menjadi mimpi dan mimpi tumbuh menjadi mitos. Kadang-kadang mitos berguna sebagai agenda penyatuan bangsa; tetapi mitos yang dituangkan secara berlebihan ke tekak masyarakat boleh menjadi racun yang membunuh jiwa kita akhirnya.” (Malam ini Malam Berinai – Siri 1)

Di samping itu, Wan Nor Azriq turut menyelar mereka yang kerap memperkecil dan memperlekehkan usaha-usaha para penyair menghasilkan karya demi memaju dan memperkayakan pemikiran masyarakat:

“Seorang penyair Itali bernama Patrizia Cavalli pernah menulis: “Ya sudah tentu/ puisi saya/ tidak akan mengubah dunia.”  Ya, memang sudah tentu, kerana penyair bukan dewa yang menggendong beban dunia di bahunya.  Penyair ialah manusia biasa yang mempunyai pekerjaan biasa seperti orang lain.  T.S. Eliot pernah bekerja sebagai kerani bank dan Wallace Stevens pernah bekerja sebagai peguam insurans.  Di Malaysia, Usman Awang pernah bekerja sebagai anggota polis ketika zaman perang.” (Bunga Darah Merah – Siri 2).

Akhirnya, Wan Nor Azriq menemukan jawapan-jawapan yang beliau cari sewaktu melakukan penyusunan dan penyelenggaraan ketiga-tiga buku ini.  Beliau akur dan mengakui kehebatan kepenyairan Usman Awang sebagai penyair rakyat yang ulung dan unggul sepanjang zaman:

“Seperti Sultan Muzaffar Syah yang mempertahankan Melaka daripada serangan Siam, Usman Awang membina kubu api dalam sajak-sajaknya untuk mempertahankan warisan orang Melayu. Di manakah Usman Awang sebagai penyair pada abad ke-21?  Di manakah Usman Awang berdiri dan di manakah kita berdiri (kalau kita memang berdiri) bersamanya?. Dan bukankah idealisme Usman pada usia itu sama sahaja dengan semangat penulis-penulis muda kita hari ini?  Tidak kisahlah sama ada mereka menulis sajak cinta atau sajak protes, pasti ada angan-angan dalam diri penulis muda itu untuk berdiri di atas bara api yang Usman Awang dan generasinya pernah berpijak.”  (Di Atas Bara Kita Berdiri – Siri 3).

Penutup

Usman Awang melalui ceramah yang beliau sampaikan pernah berkata, “Itulah sebabnya sastera, secara langsung atau tidak, memperlihat dan memancarkan sikap hidup atau pandangan hidup penulisnya. Seorang penulis adalah pemikir yang tidak henti-hentinya, seorang pencari yang tak pernah puas, seorang peneliti yang selalu ingin tahu dan seorang peneroka dan pentafsir zaman. Penulis tidak perlu takut dan bimbang dengan cap mohor propaganda, malah dalam keadaan politik dan ekonomi sekarang ini dan dalam keadaan kehidupan manusia abad dua puluh ini, penulis membikin propaganda daripada ciptaan seni sastera yang bernilai.” (Majlis Ceramah Anjuran Kelab Sosial, Universiti Malaya, 2 Oktober 1969).  Demikianlah karyatama Usman Awang sentiasa mekar dan segar di jambangan jiwa kita.

.

Artikel ini disumbangkan oleh Ramlee Wahab, Artikel ini tidak bermanka membawa pandangan pihak #CELIKHURUF.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email