KARYA RADIKAL TETAPI BERAKAL

Genre sajak menjadi gelanggang perang. Menjadi medan pertempuran ketidakpuasan perasaan penyajak-penyajak generasi Y atau penyair Indie. Bukankah seorang pengarang itu juga seorang pejuang?  Paling tidak sekelumit sebesar biji sawi sekalipun, naluri pejuang itu pasti wujud dalam diri; tumbuh dan menyubur selari detik waktu.  Mungkin sifat sajak semulajadi  bebas, ringkas dan moden iaitu merangkumi idea, sikap serta ideologi moden telah menjadi daya penarik yang kuat. 

Tetapi, bukankah sajak bertemakan perjuangan sebenarnya amat sukar dan sedemikian sulit untuk menciptanya?  Mencipta sajak tidak semudah membakar burger, memasak pizza atau menyediakan  makanan segera.  Jika dipaksa juga, mungkin yang bakal lahir adalah gumpalan idea berkabus atau  susunan kata-kata lantang yang tidak matang.  Sedangkan sajak yang dianggap baik itu  mengajak pembaca merenung, memikir dan mengarifkan.  Mengikut Robert Frost ‘puisi berawal dengan keseronokan dan berakhir dalam kebijaksanaan’.  

Seandainya dikatakan karya penyajak generasi Y kerap radikal, itu mungkin atau sebaliknya.  Tetapi, jika ditakrifkan sebagai bebal, itu wajar disangkal.  Mereka boleh saja memilih untuk menjadi radikal, melontar idea skeptikal, kritikan berunsur sinikal, tetapi biarlah pandangannya pukal dan isinya menduga akal.  Mungkin ada benarnya kerana suasana politik dan ekonomi tanah air masakini yang kian rencam digodam wabak Covid-19 yang dianggap kejam telah mengakibatkan berlakunya ketidaktentuan perasaan dan konflik diri.  Lantas timbulnya kesedaran  baru untuk  mengecam  dan  mengeluarkan kata-kata  mengancam sebagai wadah eskapisme yang mudah dan murah.  Pemikiran berbaur ancaman-ancaman ini menggelegak dan membuak-buak  di sabak perasaan  lalu dituang dan diadun segala ketidakpuasan dan kemarahan ke dalam acuan karya.  Segala garapan bercampur-baur menjadi adunan protes tanpa prejudis.  Tetapi, kadangkala berlaku situasi hilang kawalan terhadap kemurnian bahasa dan keindahan sastera.  Sajak-sajak mentah mirip prosa dijerut ejekan, mencarut bersalut absurd dan kesatuan fikiran yang lintang-pukang. Lontaran bahasa menjadi kata-kata yang membawa luka dan kekal seumur hidup parutnya. Wajarlah bersederhana, kerana ‘kalau melentur dahan agar mengikut arah, perhati uratnya jangan sampai patah’.

Memang ada kebenaran, sajak-sajak generasi Y adalah pemula kepada bara marah yang apabila cuai dijaga akan terlepas percikan-percikan api kemarahan yang mencetus terbakarnya ladang perasaan dan merentungkan bendang fikiran.  Tetapi, perlu diingatkan bahawa situasi rentung berakibat sedari sikap yang sombong yang sudah pasti tidak membawa untung.  Memang ada keberuntungannya jika apa yang menggodak fikiran itu dapat dikawal selia, diperhati dengan berhati-hati, mungkin akan membuahkan sebuah prosa atau sebuah sajak atau lakaran puisi yang separa murni.  John F. Kennedy pernah berkata, ‘jika politik bengkok, puisi yang meluruskannya’.  Tetapi, tidak dinafikan puisi juga menjadi terapi yang ampuh untuk merawat jiwa yang sakit.  Sakitnya jiwa kerana melihat pelbagai ketiakadilan sosial dan kepincangan yang berlaku di dalam kelompok masyarakat serta kebobrokan yang berleluasa di kalangan penguasa. Namun, perlu diperingatkan bahawa puisi bukan penawar ajaib menyembuhkan pelbagai masalah dunia. Tapi, puisi menjadi ejen mereda ketegangan perasaan, menjadi bahan perkumuhan seperti tawas penting menjernihkan kembali keruhnya air agar selamat digunakan.

Sungguh kita berharap, semoga khalayak penyajak generasi Y tanahair mengambil iktibar  akan  keberanian   dan   kelantangan   penyair-penyair radikal  Indonesia sekedar menyebut beberapa nama tersohor seperti Taufiq Ismail, Chairil Anwar, W.S Rendra dan  Widji  Thukul.   Tapi paling menonjol tidak lain hanyalah Widji Thukul. Beliau memulai dengan mengenali situasi sebenar yang beliau ceburi dan sisi tanggungjawab besar sebagai seorang penyair rakyat.  Beliau menganggap puisi seharusnya digunakan untuk me’lawan’ ketidakadilan pemerintah terhadap rakyat, tentang kemiskinan dan penderitaan yang berpanjangan. Petikan berikut menyerlahkan keaslian perjuangan Widji Thukul dan betapa puisinya berjudul ‘Penyair’ dianggap membangkit protes keras yang kreatif dengan mengalunkan nada melawan yang melambangkan kekentalan jiwa pahlawan:

Jika tak ada mesin ketik

aku akan menulis dengan tangan

jika tak ada tinta hitam

aku akan menulis dengan arang

jika tak ada kertas

aku akan menulis pada dinding

jika aku menulis dilarang

aku akan menulis dengan

tetas darah!

(Nyanyian Akar Rumput)                                                                                                                                      

Manakala, di Malaysia tanah air tercinta ini juga menyaksikan wujudnya seorang penyair yang juga tidak kurang radikal bernama Kassim Ahmad (Alhm).  Beliau pada zaman muda berjiwa panas membara, tidak susut semangat juangnya melawan penindasan, kemiskinan, kejahilan  dan ketidakadilan  sekali gus  menongkah  arus  penguasa negara.  Bezanya, Kassim Ahmad  berpegang  kepada  sejarah  Melayu  sebagai arah  tuju.   Lihat sahaja petikan sebuah puisi berikut yang bernada keras dan mengancam:

Ada besok maka pasti ada suria

Aku akan pergi

Dengan seribu Jebat si anak tani

Kian lama kita mati dalam setia

Kali ini kita hidup dalam derhaka!

(Dialog)

Kedua-dua penyair tadi telah mengharungi badai kehidupan bersastera yang cukup getir dan mengharu-sayukan perasaan.  Widji Thukul, dianggap aktivis sastera yang tegar lagi revolusiner dan  menjadi musuh kepada rejim militer Orde Baru di Indonesia.  Akibatnya, beliau menjadi sebahagian statistik ‘korban orang hilang’ (involuntary disapperances).  Manakala, Kassim Ahmad pula sanggup berkorban mempertahankan ideologi kendiri.  Beliau bernasib baik apabila merelakan dirinya dipenjara kerana mempertahankan kepercayaannya terhadap keadilan rakyat buruh dan petani miskin.  Teori beliau mengatakan Hang Jebat sebagai Wira, telah menimbulkan bukan sedikit kontroversi di kalangan para sasterawan. Tetapi, secara tidak langsung turut memberikan tafsiran baru kepada dunia sastera tanah air.  Iaitu pemikiran baru terhadap keperwiraan Jebat dan sikap patuh-setia membuta-tuli si Tuah kepada Sultan yang zalim. Walaupun Kassim Ahmad sudah tiada, tetapi semangat radikalnya masih membara dan bernyala obor perjuangan dalam jiwa anak-anak muda generasi Y.

Mungkin  buat seawalnya,  elok penyajak-penyajak  generasi Y yang  bercita-cita tinggi, mahu  bersama menjadi nakhoda di samudera arus perdana, berjinak-jinaklah menoleh kembali  sejarah kesusasteraan  dan  peranan para karyawan  tanah air.  Kerana, tanpa mengetahui sejarah masalalu, adalah sukar untuk mencari arah yang dituju.  Mengetahui sejarah penulisan dan sosok peribadi beberapa nama besar di dalam ranah kesusasteraan tanah air, boleh membantu menumbuhkan akar tunjang berkarya yang kukuh dan utuh.  Agar wujud identiti diri dan bukan secantik kiambang di danau atau seego pohon enau.

Dimulai dan ditandai oleh tokoh kontroversi Abdullah Munsyi yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden.  Kemudian   mencontohi betapa berdisiplinnya A. Bakar Hamid sebagai seorang pelopor penting pengilmuan sastera moden.  Diikuti pula fanatisme A. Samad Ahmad yang menjadi punca ungkapan ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’. Beliau merupakan tokoh persuratkhabaran, tokoh sejarah sastera dan sejarah Selangor, tokoh pengkaji sastera tradisional dan pejuang kebangsaan yang sehampir tidak didendangkan.  Beralih kepada idealisme pengarang terbilang Usman Awang yang tersohor oleh puisi-puisi beliau yang dijadikan alat perjuangan ideologi dan jambatan menyambung hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia. 

Demikian juga kredo seorang penyair bernama A.Samad Said yang cukup cerewet dan mementingkan perihal kesempurnaan teknikal tatkala mencipta puisi.  Mereka semua ini mempunyai sejarah pengkaryaan yang radikal dan tersendiri, tetapi mempunyai arah matlamat dan tujuan yang sama. Mereka berjuang berterusan dan kesusasteraan sebagai adunan sempurna dalam acuan perjuangan.    Di samping  menjadi  jurucakap  kepada  rakyat  yang  melarat  dan  tertindas, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan pengagihan sumber ekonomi, pemerkosaan terhadap bahasa ibunda, mereka turut memartabatkan sastera dan mendaulatkan bahasa di atas landas yang bagus dan tulus.  Pendirian mereka teguh oleh disiplin keilmuwan yang kukuh; menerima saran rakan seperjuangan dan bergerak di atas suatu landasan pengkaryaan yang sama dan serasi. Matlamatnya adalah memurnikan kehidupan manusia agar kembali kepada fitrahnya; punya keimanan dan kemanusiaan.

Menjadi penyajak yang ideal di tanah air yang indah dan permai ini amatlah dituntut. Tidak mudah melatah atau memusuhi atau berdendam dengan pihak pemerintah.  Perlu diketahui dan difahami susur-galur dan sisi pandang kedudukan antara penguasa dan rakyat jelata.  Bukan sepanjang waktu akal dibelnggu radikal, karya dipacu menghambat penguasa atau memberikan tekanan dan desakan yang keterlaluan terkeluar dari batas sempadan.  Kerana, masalah kehidupan akan tetap ada dengan segala kerencaman dugaan dan cabarannya.  Apa yang wajar dilakukan adalah memberikan pertimbangan kritikan yang rasional, membina dan saksama kepada semua.  Leon Agusta pernah berkata ‘penyajak itu pelengkap kepada birokrasi.  Tatkala ada yang tidak tercapaikan segala jentera pemerintahan, penyajak menghulurkan tangan.’

Sebagai mengakhiri coretan ini, ayuhlah penyajak generasi Y, bersama-sama merenung-fikirkan petikan puisi SN Muhammad Haji Salleh, merupakan penulis termuda menerima hadiah sastera tertinggi Malaysia iaitu Anugerah Sastera Negara:

…tapi yang amat agung

perkatakanlah yang benar

kerana kebenaran itu adalah sejarah

pembetul raja dan pengingat orang lupa

petunjuk yang lurus

dan tiada di bawah pukulan,

(Watak Tenggara)

Justeru, kalau mahu fikir dulu – tanpa paksa buka minda anggap sahaja ‘sajak-sajak senyap’ sudah sampai waktunya harus ‘bersuara’.  Tahu bila, di mana, bagaimana dan kepada siapa suara kita mahu dilontarkan. Pasak keberanian dan rasuk kebijaksanaan saling bahu membahu mendirikan rumah kebenaran. Lantas, perkemas dan persiapkanlah diri untuk keluar dari kepompong selesa. Keterampilan biar tampak radikal tetapi persembahannya jelas mencabar akal.  Bersiap-siaga memasuki fasa baru ruang asing lagi luar biasa dengan mengharungi samudera arus perdana lebih ganas oleng ombaknya.  Itulah medan sastera media maya – pelurunya kata; terkandung penabur makna bersalut estetika yang lebih mencabar minda.  Bukan lagi  alam ilusi mimpi,  tetapi  dunia Jauhari pemikiran tinggi dengan alatannya bernama ‘puisi’.   

Rujukan/Bacaan

1.         Potpuri: Budaya, Sastera dan Seni Jilid 1, Anwar Ridhwan, ITBM 2016.

2.         Di Atas Bara Kita Berdiri – Puisi Pilihan Usman Awang 3, Penyelenggara

            Wan Nor Azriq, ITBM 2016.

3.         Puisi Wadah Suara Kemanusiaan – Peranan Penyajak Dalam Masyarakat,

            Lim Swee Tin, dll, Editor Mohamad Saleeh Rahamad, ITBM 2016.

4.         Nyanyian Akar Rumput – Kumpulan Lengkap Puisi Wiji Thukul, Wiji Thukul,

            PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta, 2015.

5.         Esei dan Puisi Baha Zain – Kassim Ahmad: Penyair dan Pengembara Yang Berani / Muhammad Haji Salleh: Penyair Akademik, dll – Edisi Khas Sasterawan Negara, DBP 2014.

6.         Persediaan Menulis Sajak – Rahman Shaari, DBP 2001.

_________________________________________________

Tulisan ini sumbangan Ramlee Wahab, beliau seorang penyair dan Timbalan Pengerusi Tetap PENA.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email