Jerung dalam Peti, Saya Sedang Menumis.

Selalu juga kita tersalah tekan di papan kekunci komputer riba atau telefon pintar yang menyebabkan mesej yang ingin disampaikan tidak berkesan dan menyebabkan salah faham.  Adakala ia menjadi bahan lawak dan adakala ia menjadi salah tafsir bagi pihak lain.

Kedudukan huruf yang berhampiran dan juga faktor jari yang menekan huruf tersebut juga merupakan faktor yang menyebabkan kesilapan yang boleh memberi kesan kepada pemahaman orang lain yang membaca.

Kadang kala penggunaan kata singkatan juga menyebabkan kekeliruan yang boleh memberikan impak yang mendalam dalam pada komunikasi.

Antara contoh kesalahan yang biasa adalah seperti ‘menulis’ dan ‘menumis’. Kedudukan huruf ‘l’ dan ‘n’ yang berhampiran menyebabkan typo dan boleh memberikan pemahaman yang salah tentang apa yang ingin disampaikan.

Walaupun kedua-duanya menunjukkan kata kerja namun ia dua hal yang berbeza. ‘Menulis’ di kertas tetapi ‘menumis’ pula di dapur.

Ada juga yang membuat singkatan ketika menulis pesanan dan apabila terdapat huruf yang tidak sepatutnya ditekan dan ianya membawa maksud yang lain. Sebagai contoh;

“Baiklah sy akn bw buku itu,”

“Baiklah syg akn bw buku itu,”

Penggunaan singkatan perkataan juga kadang kala membawa perbezaan maksud jika tidak digunakan dengan betul.

         Begitu juga dengan perkataan ‘data’ dan ‘dara’ di mana kedudukan huruf ‘r’ dan ‘t’ adalah bersebelahan. Ini biasa terjadi dan ia memberikan gambaran yang berbeza dengan yang ingin disampaikan.

Oleh itu, untuk mengelakkan berlakunya typo atau typing error ialah :

  1. Menaip perkataan dengan ejaan yang betul tanpa singkatan.
  2. Tidak menaip dengan terlalu laju. Biar perlahan agar mesej yang ingin disampaikan adalah jelas dan mudah difahami.
  3. Kenal pasti kedudukan huruf di papan kekunci atau di skrin telefon pintar.

Jangan jadikan typo atau typing error ini sebagai satu kebiasaan kerana ia akan menghalang keberkesanan dalam menyampaikan maklumat dengan betul.

Kesannya, maklumat yang disampaikan akan terpesong makna, terdapat persilisihan faham tentang sesuatu arahan yang ingin disampaikan dan mungkin juga ia satu isu dan boleh menyebabkan pertelingkahan.

Jangan terkejut jika isteri anda menghantar mesej berbunyi ‘Saya sudah memasukkan jerung ke dlm peti.’ Apa yang dimaksudkan ialah, ‘jering sudah dimasukkan ke dalam peti ais.’


Tulisan ini diilhamkan oleh seorang pengirim yang mahu dikenali sebagai #BungaRayaPutih. Hantarkan artikel anda ke celikhuruf@gmail.com.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email