Apabila pandemik COVID-19 melanda, sesi pembelajaran negara ini berubah. Kita mula beralih kepada platform seperti Zoom, Google Meet, Google Classroom, YouTube dan sebagainya.
Sebelum pandemik melanda, kita juga dihidangkan dengan pelbagai kaedah pengajaran yang lebih menekankan penggunaan komputer, seolah-olah ingin menunjukkan bahawa dengan gajet dan alat elektronik pengkomputeran, sistem pengajaran kita semakin canggih dan terkini. Hakikatnya negara Jepun yang dikatakan negara maju masih menggunakan papan hitam dalam pengajarannya.
Ikuti catatan Zunita Ramli, seorang warga Malaysia yang berada di Jepun tentang hal ini.
***
Mungkin kelihatan agak pelik, banyak bilik darjah di sekolah-sekolah di Jepun masih menggunakan papan hitam dan kapur. Bahkan pada tahun 2015, hampir 75% bilik darjah di Jepun masih menggunakan papan hitam dan kapur sebagai medium pengajaran utama.
Mengapakah Jepun yang terkenal dengan negara yang canggih dengan kemajuan gajet dan teknologi masih menggunakan cara tradisional, papan hitam dan kapur? Kenapa paling tidak, gunakan white board atau yang lebih canggih seperti smart screen?
“Bansho” atau ‘board-writing’ ialah sebenarnya teknik pengajaran Jepun yang sudah diuji dan dikaji keberkesanannya dalam pengajaran sejak bertahun-tahun lamanya.
Dalam salah satu kajian yang dilakukan (Sankyuu 2015), warna hijau di papan hitam memberikan kesan tenang (calming effect) kepada pelajar dan membolehkan mereka fokus dengan lebih efektif berbanding papan yang berwarna putih.
Bunyi yang dihasilkan apabila kapur menyentuh papan hitam juga ialah faktor penting. Tulisan kanji Jepun yang berbentuk seperti tulisan cina (kanji) banyak menggunakan stroke dalam satu-satu tulisan.
Bunyi yang dihasilkan ini dikatakan dapat menambah daya fokus pelajar. Bermaksud, semakin banyak stroke yang ditulis, semakin banyak bunyi yang dihasilkan, jadi semakin tinggi daya fokus seseorang pelajar.
Selain tu, mata lebih mudah melihat tulisan putih (kapur) berlatarbelakangkan warna gelap papan hitam berbanding tulisan hitam di papan putih (white board). Oleh itu tulisan putih di atas papan hitam ini sendiri mampu mengurangkan tekanan pada mata dan perkara ini menyebabkan murid lebih mudah untuk fokus.
Tulisan putih background gelap ini juga lebih mudah dilihat dari jauh dan kurang menghasilkan titik buta atau blind spots. Oleh itu, pelajar lebih mudah faham sesuatu subjek yang diajar di dalam kelas.
Oleh sebab itu jikalau dilihat, Jepun memang sangat berhati-hati apabila mahu memperkenalkan sesuatu perubahan dalam sistem pengajaran mereka. Sebabnya mereka percaya sesuatu perubahan itu memerlukan kajian untuk lihat sejauh mana ia berkesan untuk membantu meningkatkan pemahaman pelajar di
dalam kelas.
Tidak menghairankanlah kalau Jepun berjaya hasilkan ramai orang pandai dan mereka juga merupakan negara Asia yang paling banyak menghasilkan Pemenang Hadiah Nobel terutama dalam bidang Fizik!
***
Oleh itu, berbanggakah kita dengan pelbagai peralatan moden dalam pengajaran dan pembelajaran kita sedangkan, kita tidak mengkaji keberkesanan kepada pelajar. Atau kita terus sahaja biarkan pelajar yang kurang keupayaan terhadap akses pembelajaran terkini terkontang-kanting digantung sepi!
___________
Zunita boleh dijejaki di laman FB: https://www.facebook.com/zunita.naturactor
Tulisan asal beliau boleh di baca di sini: https://www.facebook.com/zunita.naturactor/posts/2878172742448082
——
Hantar artikel anda untuk portal CELIKHURUF. E-mail ke CELIKHURUF sekarang.