JATUH KE LAUT MENJADI PULAU : Jati Diri Muhammad Hj Salleh

Mukadimah

Muhammad Haji Salleh (selepas ini MHS) merupakan penulis termuda menerima hadiah sastera tertinggi Malaysia iaitu Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran ‘Sasterawan Negara’.   Setakat ini MHS telah menghasilkan sembilan buah kumpulan puisi dan dan banyak puisi-puisi beliau diantologikan bersama penyair-penyair lain.  Genre puisi menjadi pilihan utama bidang kreatif MHS di samping menulis esei dan kajian sastera.  Ini bermakna, MHS juga bertindak sebagai seorang pengkritik.

MHS menurut Baha Zain “….penyair yang sesekali menimbulkan kontroversi, bukan sahaja oleh sikap dan pandangan kerasnya sebagai pengkritik, tetapi juga oleh pegangan etikanya sebagai ahli akademik, dan selain itu tentu sekali oleh stail dan bahasa pengucapan karyanya” (Esei dan Puisi-Baha Zain, DBP 2014). 

Kumpulan puisi ‘Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau’ terdiri dari tiga jilid iaitu Jilid 1, Jilid II dan Jilid III. Membaca dan menghayati setiap puisi-puisi di ketiga-tiga jilid tebal ini seakan mengikuti periwayatan diri MHS. Kita seperti diajak memugar pengalaman beliau di bumi Eropah, umpama pengembara mencari alam menyeluruhi manusiawi di beberapa kota tua seperti kaherah dan Rom, Macchu Picchu, Beijing atau Jaipur.  MHS adalah ahli akademik, penyair pengembara dan penakluk benua yang luas menempuh wisata keilmuan dan pengkajiannya. Kita diajak menjadi ahli falsafah, sejarawan, seniman, tukang bahasa, ahli muzik, dan juga perenung takdir, pemikir rohaniah serta tukang cerita seiring watak kepenyairan MHS – sepi dan menyendiri – beliau cenderung mengakrabi alam yang masih bersih, dara dan menawarkan ketenteraman – alam ialah tempat menghuni dan mengungsi, mencari diri, dan menemui mukjizat kehidupan.

MHS mendapat pendidikan awal berkaitan kesusasteraan Inggeris di Wolverhampton, England tengah sekitaran 1963, tetapi telah kembali ke pangkuan sastera Melayu pada wal 1970-an.  Sebagai seorang pensyarah yang bersyair, MHS menganggap dirinya bukanlah bertaraf ‘penyair ‘popular’.  Beliau mencari yang sulit, dan harus mengheret pembaca ke dalam selut hujah dan logika dan ini lebih penting daripada melontar sekarung imejan sentimental dengan kata-kata sedap tanpa makna benar.  MHS tidak mahu membuai pembaca dengan cerita cinta anak muda.  Dalam proses kembali ke akar bahasa dan budaya Melayu antara tahun-tahun 1960an – 1980-an, MHS melakukan percubaan demi percubaan membaca dalam bahasa Melayu.  Cuba berusaha mengutip jati diri dan kehalusan karya tradisi Melayu dan dari proses yang panjang inilah penyair mencipta ukuran mutu peribadi.

Dunia Penyair Akademik

Diketahui, MHS amat meminati penyair Usman Awang dan Latiff Mohidin.  Bagaimanapun,  Baha Zain dengan panjang-lebar telah memberikan kritikan yang agak sinis dan keras, “….Muhammad membawa stail dan diksinya yang asing.   Karyanya tidak romantik, tidak sentimental, menolak ke tepi lirik yang indah dan konvensional….suatu bahasa puisi sebagai percakapan biasa dengan sesekali mengejutkan kita dengan penggunaan kata yang aneh….puisi Muhammad janggal, dan tidak mesra dengan kelaziman rasa estetik yang telah dibina oleh penyair-penyair lain zamannya.” Dengan bahasa mudah, karya MHS terasa tawar dan hambar apabila dihayati tanpa anyaman diksi; tiada rima mengelus rasa dan tiada irama mendendang jiwa raga. Sedangkan puisi-puisi Melayu kaya dengan segala keindahan estetikanya.

Baha Zain menambah lagi, “Kita kadangkala tergesa-gesa menolaknya, kerana kita tidak menemui apa yang biasa kita cari daripada puisi, iaitu keindahan bunyi, kelembutan, dan bahasa yang sentimental. Muhammad tidak berniat untuk melayani pembaca dengan semua ini. Puisi Muhammad tidak menekankan urutan peristiwa yang berkembang menurut masa.  Puisnya harus dilihat sebagai jalinan tekstur secara keseluruhannya. Sarat dengan idea dan watak.  Memanglah si pencerita bukanlah si penyair tetapi keseluruhan bentuk kata telah menjadi suatu kenyataan objektif yang bebas, dan mewakili fikiran, emosi, kepercayaan, dan pendirian penyair – melalui si pencerita, secara implisit Muhammad telah menyatakan prinsip dan pendiriannya.”

Berkongsi Pengalaman Puisi

MHS menganggap, “Antara genre kesusasteraan, puisilah yang sering dianggap sulit; mungkin kerana prasangka lama terhadapnya dan mungkin juga kerana bentuk yang lebih padat serta gaya ekspresi yang agak berlainan daripada prosa. Sering pula puisi dilihat sebagai mempunyai rahsia yang sekali gus menarik dan mengasingkan pembaca. Belum ada suatu teori yang sempurna untuk pembaca menghayati seni puisi. Teori yang ada ialah teori atau hipotesis bagaimana pembaca berinteraksi dengan sesebuah karya sastera. Bagaimana kita dapat berhubung dengan karya puisi dengan sepenuh jiwa. Hanya kepenuhan jiwa dan peribadi inilah yang akan memungkinkan kita mendengar dengungan rima, terpegun oleh imej yang jitu, sambil merenungkan wawasan yang menjernihkan sudut keruh suatu pengalaman hidup.” (Pengalaman Puisi – Muhammad Haji Salleh, DBP 2005).

Menghayati Keindahan dan Nilai-nilai Murni

MHS pernah berkata, “Puisi itu permata sastera”.   Dan beliau memetik kata-kata Aristotle, (384 SM-322 SM), yang mendefinisinya dengan membanding puisi (dalam maksud sastera) dengan sejarah,

      Poetry is finer and more philosophical than history; for poetry expresses the 

      universal, and history only the particular.

Berkaitan penggunaan bahasa oleh penyair, MHS berpandangan, “bahasa yang baik harus membawa makna sesarat mungkin, tapi juga bernyanyi serta membawa kesan muziknya…seperti kata T.S. Eliot, memperbaharui bahasanya. Untuk zaman sekarang perbuatan begini kita namakan ‘rakayasa’. Sebagai pengarang saya sering kembali kepada ketepatan kata-kata lama untuk mengelak klise dan juga bahasa surat khabar. Tugas penyair ialah selalu mendahului bahasa zamannya.”

Menurut MHS, “Sebuah puisi yang baik menuntut pembacaan dan penghayatan yang teliti.  Ini berlainan daripada makna luas yang mengaitkan seluruh genre dalam ayat ini misalnya: Puisi Melayu banyak menggunakan unsur-unsur dengaran dan muzik.”  Tetapi, MHS mendefinisikan puisi dengan lebih rinci dan teliti, “….puisi ialah karya atau karya-karya yang sudah mencapai taraf yang agak tinggi dalam tema, bahasa dan tekniknya sehinggalah ia dapat digolongkan sebagai ‘karya sastera’, manakala, sajak pula lebih membawa karya ringan dan belum sampai pada peringkat sastera.”

Menelusuri Pemikiran dan Kebijaksanaan

MHS ada menyebut, ‘Meneliti puisi harus berfikir dengan kecerdasan atau kebijaksanaan penyair, renungkannya dan melihat citra-citra kehidupan yang dilukiskannya; menghayati kesenian, perasaan manusia dan cara manusia berfikir” (Pengalaman Puisi, DBP 2005).  Oleh itu, pilihan puisi tertentu dilakukan yang dianggap sederhana dan terbaik garapannya yang dapat memberikan idea, membijaksanakan akal, membentuk peribadi dan menyuntik semangat perjuangan dan kemanusiaan dipetik secara rambang dari Jilid I, II & III.

JILID I:

Bermula dengan Jilid I, sebuah puisi dianggap terbaik telah dipilih.  Kehidupan manusia berbeda-beda; ada kaya ada miskin, ada daif pandangan, ada tajam pemikiran dan sebagainya.  Peri pentingnya kita menjadi manusia yang sedar keupayaan dan kekuatan peribadi untuk membina kehidupan.  Kejayaan, dalam apa juga bidang sekalipun, tidak diraih dengan perasaan hasad dengki atau cemburu yang melulu akan kecemerlangan yang dicapai oleh orang lain.  Tetapi, hendaklah di atas upaya dan usaha diri sendiri seperti petikan puisi berikut:

RUMAH

Rumah / tak akan terbina / dari longgokan batu / yang dilontar / ke jendela jiran / atau papan yang dicuri / daripada pengangkut bahan / yang membongkok ke tapaknya / atau

dengan  api / buat yang dibenci / kapak kata-kata / yang diasah di batu cemburu malam / kalau kau ingin rumah indah / meramulah kayu di hutan / kutiplah batu tua dari lereng gunung / pilih ijuk dari enau paling tua / susunlah atap hitam daripada uratnya / binalah dengan keriuk tulangmu / maka rumahmu akan terdiri / lebih indah dari jiran yang diiri.

JILID II:

Diikuti dengan Jilid II, sebuah puisi dianggap terbaik telah dipilih.  MHS menjadi perenung alam yang tajam, pentafsir kejadian yang simpatis dalam menganalisis setiap langkah setiap gerak secara kritis.  Penyair seolah-olah menyatu dengan alam sekelilingnya yang amat diakrabi sepanjang hayat.  Hutan belantara adalah rumah kedua baginya dan amat disayangi.  Pokok-pokok yang pelbagai jenis menjadi ilham baginya berkarya.  Apa sahaja yang berada di perut hutan akan beliau riwayatkan menjadi puisi-puisi yang indah dan bertenaga.  Segalanya menjadi ilham untuk MHS melakarkan puisi dan sudah semestinya puisi yang terisi oleh renungan – perenung yang simpatis, pandangan yang tajam dan saranan yang cukup kritis untuk dijadikan teladan dan sempadan kehidupan. Ikuti sebahagian dari petikan puisi berikut:

HARI TERAKHIR SEBUAH HUTAN

maut tiba di hujung gigi gergaji / dengan duri jerit yang menyerampang angkasa dan merah matahari / membenam ke padat isi kayu / yang tersentak oleh sakit dan bising asing / Langit bersaksi dengan mata bening / rebah cengal / rebah meranti /           rebah merbau / rebah pulai / rebah seraya / rebah nyatuh / rebah resak / rebah halban /      rebah nibung / rebah rotan / rebah senduduk / runtuh sekeluarga pohon, yang berusiakan kurun….

JILID III:

Beralih pula ke Jilid III, sebuah puisi dianggap terbaik telah dipilih. MHS lebih gemar berterus-terang dan terbuka bersuara kerana itu lebih mulia dan mengundang kebenaran tanpa harus bermuka-muka demi mempertahankan maruah. Sebab itu, kita akan menemukan pelbagai rasa marah, benci, meluat tetapi dalam keadaan terkawal dan nada sinis dan protes yang berubah-ubah tahap seperti jangkasuhu.  Bagaimanapun, akhirnya MHS memilih untuk meredakan diri dan kembali kepada akar sabar lantas berdiam diri seperti petikan puisi berikut:

PERSAHABATAN

kutanya kau / apakah makna persahabatan / atau baik-hati? / suaraku mati di hujung bibir / kerana / yang menjawab hanya hujung kerismu / yang kukenal racunnya / dan darahku yang mengalir ke jari / sewaktu berdoa.

Petikan setiap puisi MHS di Jilid I, Jilid II dan Jilid III dilakukan secara rambang.  Tetapi telah diteliti dengan rinci iaitu merupakan puisi-puisi terpilih yang dikesan mempunyai skema meter (iambic pentameter) dan rentak; skema suku kata yang teratur,  kesatuan rima yang mengawal bunyi-bunyian tekanan tinggi dan rendah, dan manakala setiap baris saling berkait rima akhirannya dan mengeluarkan irama merdu.  Menurut MHS, “bentuk  atau dikenali juga sebagai reka bentuk (design) seluruh karya dan dianggap paling utama menyerlahkan kulit sesebuah puisi.  Dengan lain perkataan, setiap buah sajak mempunyai bentuknya yang tersendiri, dengan corak, bahagian, hubungan antara bahagian, siratan irama, dan seterusnya suatu unit makna yang mengesan pembacanya.”

Kesimpulan

MHS cuba meyakinkan kepada pembaca dan dunia bahawa beliau masih berjatidiri dan berpegang kuat kepada akar tradisi puisi  Melayu  walaupun  seawalnya beliau telah  tinggal lama di Eropah, terdidik dan dimatangkan oleh sastera Inggeris.  Apakah yang membuat MHS begitu kuat berpegang kepada prinsip kepengarangannya?  MHS sedar, untuk menjamin survival puisi-puisinya di dalam kesusasteraan tanah air, beliau wajar hadir dengan kesedaran dan perbezaan dalam pengkaryaan.  Menjadi lain dan tidak semata-mata hadir dengan kelainan.  Tetapi membawa gagasan keintelektualan dan akarnya tradisi KeMelayuan sejati dalam gagasan pemikiran di setiap karya yang dihasilkan.  Dirgahayulah sastera Melayu untuk seribu tahun lagi.

Tamat.

Bahan Rujukan / Bacaan Tambahan

1. Esei dan Puisi Paha Zain – Tentang Penulis dan Persekitarannya, DBP 2014.

2. Pengalaman Puisi (Edisi Kedua) – Muhammad Haji Salleh, DBP 2005.

3. Puitika Sastera Melayu – Muhammad Haji Salleh, DBP 2006.

4. Pandangan Dunia Melayu – Pancaran Sastera, Disunting oleh MHS, DBP 2012.

5. Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan – Mana Sikana, ITBM 2015.

Ulasan buku ini dikirim oleh RAMLEE WAHAB. Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Tetap, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email