Haji Deraman Limbong Dituduh bawa ajaran sesat dalam Istana Menghadap Laut.

Novel ’Istana Menghadap Laut’ adalah buah tangan dari Nazri Hussei yang memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2019.

Novel setebal 249 halaman ini menyedarkan pembaca tipu muslihat Inggeris meluaskan jajahannya di Tanah Melayu dengan menuduh Syed Abdul Rahman al-Idrus atau Haji Deraman Limbong  membawa ajaran sesat dan penderhaka.

Inggeris telah menggunakan tipu helah dan dendamnya untuk memujuk Sultan bahawa Haji Deraman Limbong terlibat dalam menghasut rakyat menentang Inggeris apabila tercetusnya kekacauan yang berlaku di Kuala Berang, Marang dan Kuala Terengganu

Ratusan petani dan pekebun dari Ulu Telemong  telah melakukan protes ke atas Inggeris pada cukai tanah yang melampau dan pemberian konsesi tanah kepada saudagar-saudagar Cina di Kuala Berang. Mereka melakukan protes itu  di  hadapan pejabat tanah daerah Ulu Terengganu.

Sultan bersetuju dengan Inggeris supaya mengambil tindakan ke atas perusuh-perusuh itu. Pihak Inggeris telah menuduh Tengku Haji Nik  mengadakan permuafakatan dengan Haji Deraman Limbong dalam peristiwa 500 petani di Kuala Telemong membuka tanah baharu seluas 400 ekar tanpa mendapat permit kebenaran dari pejabat tanah Kuala Berang.

Haji Deraman Limbong telah dipanggil menghadap Sultan.Hampir sebulan  Haji Deraman menyembunyikan dirinya dan hanya kelihatan di istana pada 10 Rabiulakhir dan menerangkan tindakannya itu adalah mahu membantu pekebun dan petani memiliki tanah sendiri.

Pihak Inggeris melakukan fitnah pada pertemuan Sultan dan Haji Deraman dengan menyebarkan khabar Sultan sudah membenarkan  Haji Deraman mengetuai rakyat jelata dalam menentang Inggeris.

Pihak istana dituduh membiayai pembelian senjata untuk menentang Inggeris itu. Pejabat Konsul Inggeris di Terengganu telah menghubungi residen negeri-negeri Melayu Bersekutu di Pahang, Perak dan Kuala Lumpur untuk mendapat bantuan.

Pengisian novel ini  diselitkan dengan kehadiran tokoh-tokoh karangan syair dan Kalthum meminati syair dan antara tokoh pengarang syair yang diminatinya ialah Tengku Ampuan Mariam, Hajah Wok Aisyah dan Raja Aisyah Sulaiman.

Selain daripada syair, penulis juga menyisipkan tarian gamelan yang digerakkan oleh Permaisuri Tengku Ampuan Mariam dengan mengadakan dua jurulatih tarian gamelan iaitu Yang Khoja dan Cik Meriam.

Kalthum juga meminati Haji Ngah Muhammad bin Yusof yang mencipta “Hikayat Syair Nasihat” mempunyai 92 rangkap semuanya.

Penduduk-penduduk merasakan perubahan di daerah mereka selepas perjanjian Terengganu – Inggeris pada tahun 1919, Sultan didapati telah mengalah kepada Inggeris dengan menerima penasihat Inggeris, menyediakan tempat kediaman untuk mereka dan membenarkan campurtangan Inggeris dalam urusan pentadbiran.

Tindakan pihak istana itu mendatangkan kebencian kepada penduduk dan bagi meleraikan kekusutan hubungan penduduk dengan pihak istana,  Haji Deraman telah dilantik menjadi orang tengah.

 Ulama ini cukup disenangi penduduk Kuala Telemong, Ulu Telemong dan kawasan yang sekitar dengannya. Manakala di mata Inggeris Haji Deraman adalah dianggap penderhaka.

Cadangan dua wakil Inggeris iaitu Sir H.W Thompson dan H.S. Peterson kepada Sultan untuk menangkap penderhaka seperti Haji Deraman, Haji Hussin Muhammad dan Haji Ali Yaakub telah ditolak oleh Sultan.

Begitu juga cadangan wakil Inggeris itu supaya lesen guaman tuan guru ditarik balik tidak dipersetujui oleh Sultan. Pihak Inggeris telah bercadang membina sebuah balai polis di Telemong bagi mengawal keamanan kawasan tersebut dan sekitarnya dengan penambahan anggota polisnya.

Manakala penduduk Ulu Telemong  dan Kuala Telemong telah mengadakan permuafakatan sesama mereka untuk menentang Inggeris secara kekerasan kerana memperkenalkan pelbagai cukai yang membebankanke atas mereka.

Mereka telah bersatu dan berjaya menawan Balai Polis Kuala Berang dan pejabat tanah dan daerah Kuala Berang. Pihak Inggeris berjaya menangkap dalam kepada kekecuhan yang berlaku di Padang Kachung kerana terlibat menghasut mereka melakukan tentangan kepada pihak Inggeris.

Mereka juga merampas dokumen-dokumen penting di Pejabat Tanah Kuala Berang. Mereka bersenjatakan  parang, keris, lembing dan pedang.Pihak polis Inggeris telah menembak mati 12 orang pemberontak itu.

 Tindakan mereka lebih drastik dengan mengadakan tunjuk perasaan di depan Istana Maziah dan menuntut Sultan memberi perhatian campur tangan Inggeris ke kampung mereka.Pihak Inggeris telah menuduh Haji Deraman sebagai dalang dalam rusuhan penduduk dengan Inggeris itu. Akhirnya, Haji Deraman telah dihukum buang daerah ke tanah suci Makkah.

Penulis telah menyisipkan unsur-unsur seni tradisional ini perlu ada bagi mengungkapkan ‘peristiwa’ yang dilalui  zaman tersebut. Seni tradisional telah lama tumbuh dan mendapat perhatian di kalangan pembesar  istana.

 Persembahan tarian gamelan,telah dijadikan majlis sambutan pertabalan Sultan,majlis berkhatan dan majlis bertindik anak-anak kerabat di raja.

Selain daripada itu, penulis turut menghidangkan puisi karangan Syeikh Muhamad bin Ismail al-Fatani kepada Sultan yang ditujukan istimewa untuk almarhum DYMM Sultan Zainal Abidin III.

Kesimpulannya, novel ini berjaya mengenengahkan nilai perjuangan yang dibangkitkan oleh penduduk pribumi yang berasa diri mereka tertindas oleh penjajahan Inggeris melalui seorang ulama agama.

Penulis juga berjaya  mengenengahkan seni tradisional seperti syair,tarian gamelan dan puisi dalam penyatuan bangsa dan bahasa Melayu itu sendiri.

MAKUMAT BUKU

Judul:Istana Menghadap Laut
Pengarang:Nazri Hussein
Penerbit:Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga:RM 24.00
Pengulas: Tahun:Ismail Hashim 2021  

Ulasan buku ini dikirim oleh ISMAIL HUSEIN  Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email