GURU BIOLOGI RAMAL COVID DALAM PUISI?

Puisi sebagai hasil seni mampu menjadi medium luar biasa di tangan penyair yang bijak memanipulasi kepakaran.  Dunia penyair sebenarnya bebas, luas dan cakupan ruang lingkup zamannya tidak terbatas.  Kepakaran ilmu yang dicanai bersama pengalaman batini digaul sebati menjadi hidangan realiti, istimewa buat selera jiwa dan menjana minda para pembaca. 

Dunia telah dan sedang dilanda trauma wabak Coronavirus (Covid-19) yang dilaporkan berasal dari Wuhan, China dan dianggap sejenis virus parasit berbahaya.  Virus Covid-19 adalah organisma hidup penyakit berjangkit yang mampu melumpuhkan fungsi organ dalaman dan membunuh pesakit secara drastik.  Mengikut kajian saintifik virus juga boleh diternak menggunakan disiplin sains dengan mengetahuinya melalui aspek-aspek fizikal, fisiologikal, sosiologikal, genetikal dan perlakuan-perlakuan penyesuaian.

Bagaimana pun dari sudut negatifnya, jika hasil kajian saintifik ini disalahgunakan, ia mampu menjadi senjata bilogikal paling ampuh pihak musuh membunuh pesaingnya tanpa ehsan.

Pendemik

Kekalutan akibat pendemik Covid-19 juga dilaporkan mirip sebuah kejadian dalam filem Amerika tahun 2011 berjudul ‘Contagion’ karya Steven Sodenbergh. Meski filem ini fiksyen, tetapi beberapa adegan semacam menghampiri realiti insiden.  Ditambah pula kewujudan sebuah novel tulisan Dean Koontz berjudul ‘The Eyes of Darkness’ (1981) yang kononnya telah membuat ramalan lebih awal berkaitan pendemik Covid-19 bakal berlaku di China.  Bagaimana pun, siri TV The Simpsons (1993) iaitu 27 tahun yang lalu telah lebih awal meramalkan berkaitan penularan wabak pendemik Covid-19.

Sehubungan itu retrospeksi berlaku, diri kembali menyelongkar semula puluhan malah mencecah ratusan buku kumpulan puisi dan menjumpai semula Kumpulan Puisi berjudul ‘Tentang Hati’ (ITBM, 2017) yang memuatkan hasil karya Ramlan Abd. Wahab dan sekali gus memenuhi kriteria penulisan ini.  Berbezanya, Ramlan Abd. Wahab bukan peramal, bukan penulis filem atau novel fiksyen tetapi berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebenar. Tetapi, melalui kreativiti dirinya sebagai penulis, terhasillah beberapa buah puisi yang tidak sedikit menakjubkan.

Penyair Ramlan Abd. Wahab seorang pesara guru berpengalaman selama 30 tahun mengajar subjek Biologi mempamerkan kreativiti pada tahap paling tinggi  secara implisit.  Beliau juga berupaya melihat secara makro keindahan-keindahan yang merangsang deria estetik pada bentuk fizikal setiap spesis organisma virus flora atau pun fauna melalui anyaman gabungan bahasa sastera dan saintifik.

Kumpulan puisi ini diterbitkan pada tahun 2017 oleh ITBM.

Setiap gagasan atau hipotesis yang cuba dijelmakan melalui puisi-puisi dalam antologi ini bersandarkan fakta-fakta benar mengenai sesuatu entiti biologi.  Bukan sahaja sebagai fitrah tetapi juga sebagai figuratif hakikat kewujudan dan kesejagatan dalam kerangka kesimbangan dan takdir Tuhan.  Puisi beliau bersumberkan biologi dan berkait bidang perubatan bercampur bidang kesasteraan yang emperikal, analitikal dan eksperimental.  Justeru, dipetik larik pertama sebagai puisi pembuka berjudul Yang Ditemui (M/s 80) – Masuklah rimba dengan mata minda / dipandu ghairah ilmu.

Menjangkiti

Petikan puisi berikut berupaya membuka ruang minda pembaca betapa bahayanya virus pembunuh ini – virus masih aktif di dalam tubuh mangsa walaupun mangsa telah mati.  Virus aktif boleh menjangkiti tubuh mereka yang masih hidup melalui sentuhan.  Bukti nyata apabila proses mengebumikan mayat pesakit Covid-19 dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebegitu rapi dan berhati-hati dengan SOP amat ketat mengikut cara wabak Ebola – waris tidak boleh berada dekat tanah perkuburan dan tidak dibenarkan melihat jenazah;

Parasit 1 (M/s1)

Seperti raffelsia atau pitofora / atau falaria mahu pun ebola / dan yang terbanyak / tanpa nama / Mereka berbeza tetapi serupa / hidup di dalam hidup / sehingga matibersama mangsa / yang mati menderita.…/ Mereka tidak pedulikan nafas-nafas / tatkala merebakkan bibit penjarah / menghisap semua darah.

Manakala berkaitan ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk mencegah Covid-19 telah diberikan gambaran mayat pesakit mengidapi penyakit malaria dalam petikan puisi berikut.  Misalnya ubat Chloroquine dan Hydroxcychloroquine serta kombinasi Lopinavir / Ritonavir yang pernah digunakan dan berkesan untuk merawat pesakit malaria kerana Covid-19 bersifat antiradang. Tambahan pula diberikan nasihat untuk membuat pembersihan dan nyah kuman dengan menggunakan ubat pembasmi kuman (disinfektan). 

Demikian Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), JBPM  melaksanakan proses sanitasi mengikut operasi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan. Malaysia turut terbabit dalam kajian ubatan berkenaan bersama negara lain;

Parasit 2 (M/s 3)

Dan mereka tidak menunggu rumah pecah seribu / sebelum berpindah ke rumah baru / secepat mereka meninggalkan / tunggul-tunggul sitrus menggerigis / atau tubuh-tubuh malaria dikafankan / Dan kita di tanah warisan / apakah perlu membina rumah batu / tanpa tingkap dan pintu / sementara mereka terus berkeliaran? / Kenapakah tak dicurahkan sejuta disinfektan?

Petikan puisi ketiga terakhir bersamaan dengan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa negara sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat (halimunan), yang mendorong banyak negara melaksanakan perintah berkurung atau lebih ketat;

Parasit 3 (M/s 5)

Ala armada halimunan / samuderanya atmosfera / bahteranya berjuta nafas / dihela / Dan liang-liang adalah terusan…./ Maka bersama udara alpa / sebelum mata berkelip / tatkala jaga atau lena / sejuta telah bertakhta di alveolus / atau menakluki sel-sel darah / pecah melimpah / Segunung gagah / tersungkur kalah / selangit mewah / tersembam musnah / tatkala kesiapsiagaan / dicemburui leka.

Puisi terakhir ini turut menerangkan bagaimana virus Covid-19 merebak iaitu melalui udara pernafasan (batuk dan bersin).  Justeru, masyarakat digalakkan memakai topeng muka, elakkan bersentuhan dan menjarakkan diri dari dijangkiti.

Di samping itu, pemimpin dunia dan pembesar negara turut menjadi mangsa.  Kematian tidak mengenal umur, batas sempadan agama, bangsa dan negara.  Malah ada yang membunuh diri kerana tekanan perasaan dan hambatan keadaan. 

Intensiti penularan Covid-19 turut menyebabkan bandaraya besar dan kota metropolitan dunia menjadi lumpuh dan ekonomi merudum dengan teruknya. Kelemahan nyata manusia akibat tidak bersiap-sedia dan leka tanpa menyediakan prasarana kesihatan yang intensif dan berteknologi tinggi.

Kita tidak menolak keupayaan dan daya kepengarangan Ramlan Abd. Wahab menghasilkan puisi-puisi yang mencitrakan tentang dunia biologi berkait rapat malah intim dengan kehidupan manusia.  Beliau membuktikan bahawa sastera itu suatu bentuk kesenian yang indah, namun keindahan ini bukanlah semata-mata bersifat sendiri-sendiri dan jumud bergaul dengan golongan orang sastera sahaja. Penulisan yang baik dan melangkaui zaman sudah tentu perlu keseimbangan dari sudut estetika dan perihal manusia.  Hal inilah yang dikatakan ‘sastera sebagai seismograf kehidupan’ menurut Shahnon Ahmad.


Tulisan ini sumbangan Ramlee Wahab, beliau seorang penyair dan Timbalan Pengerusi Tetap PENA.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email