Benar-benar, karangan Tuan Shaharom TM Sulaiman ini meninggikan kecanduanku untuk terus menyelak helaian-helaian kandungan Pesona buku.
Sebelumnya, saya cuma memiliki satu judul daripada keseluruhan buku karangan Tuan Shaharom TM Sulaiman. Setelah mendengar buah mulut para pencinta buku berkaitan kehebatan karya penulis yang lain ia akhirnya menggesa saya untuk mendapatkan karya ini dan beberapa naskhah penulis yang kini sudah pun berada dalam pelukan.

Cukuplah dengan bidang yang pernah beliau ceburi sebagai Pustakawan selama 10 tahun menjadikan penulis menghasilkan pelbagai lagi bahan bacaan buku yang bertemakan buku bibliofil.
Pesona Buku ialah naskhah yang memaparkan tentang bagaimana buku-buku tersebut mampu mengkhayalkan para pembaca sejak ratusan tahun dahulu sehinggalah kini.
Lebih tepat makna pesona menurut penulis dirakamkan dalam pendahuluan,
“Buku juga mempunyai pesona yang tersendiri. Di dalam buku-buku sejarah telah dikisahkan tentang keunikan, keanehan, keunggulan, kehebatan makhluk buku ini. Buku dalam peradaban Islam, misalnya dianggap sebagai teman setia.”
Sebagaimana definisi jelas daripada penulis ini, nyata di persekitaran manusia terdapat banyak hal yang mampu menuntut kemahuan dan kehendak kita untuk merealisasikan segala apa saja permintaan. Kerana inilah, fitrah manusia yang suka akan benda dan perhiasan.
Demikian pula, bagi para pencinta buku. Mereka juga memiliki erti kepesonaan tersendiri dalam menterjemahkan keindahan buku mengikut gaya masing-masing.
Penulis merumuskan babnya kepada empat bahagian. Pada bahagian pendahuluan lagi penulis telah menjelaskan fungsi-fungsi tersebut secara detil. Saya kira sudah ramai dalam kalangan bibliofil melumat bahagian yang tertera ini.
Penulis kelihatan sungguh serius dan arif dalam menukang idea dan fakta berkenaan keunikan buku untuk dimasukkan dalam perbahasan tajuk ini.
Jika anda membaca karya-karya Shaharom TM Sulaiman sebelum ini, anda akan menyaksikan betapa beliau seorang tokoh pemikir yang kritis dan tajam pola fikir.
Karya ini mendedahkan masyarakat kepada persoalan dan bagaimana membaca buku boleh menjadi ubat ketagihan. Lalu, mengakibatkan para pencandu buku tidak berhenti menelannya.
Kendatipun begitu, dunia para pencinta buku berada dalam tempat buku yang cukup mempesonakan. Malahan, kepesonaan yang diekspresikan dalam kalangan peminat buku ini berlainan sehingga menyebabkan mereka mengerjakan suatu perkara di luar jangkaan.
Percayakah anda, untuk menjadi seorang pembunuh dan penjenayah yang tangkas dan hebat anda hanya perlu membaca buku Hit Man: A Technical Manual For Independent Contractors, bawah penerbit Paladin Press.
James Perry membeli buku tersebut dengan harga USD 10 pada tahun 1992 dan berjaya membunuh tiga orang. Malangnya, dia dihukum mati hanya kerana membaca buku panduan menembak.
Paladin Press ini disebutkan oleh penulis bahawa ia merupakan rumah penerbitan yang aktif mengeluarkan 800 judul buku yang mempunyai unsur-unsur keganasan.
Untuk menjadi penggodam siber anda hanya perlu membaca buku The Art Of Exploitation karya Jon Erickson. Seluruh langkah dan taktik ada diterangkan.
Untuk menjadi pembaca yang diredai Allah Taala, anda hanya cukup menjadi pembaca tegar seperti ulama sasterawan, al-Jahiz. Kisahnya sering menjadi igauan apabila kematian menjemputnya berpunca daripada terkena tindihan rak buku peribadinya.
Allahu akhbar. Inilah sedikit maklumat yang mencuri perhatian. Untuk memandu daya fikir ke arah yang lebih tinggi dan cemerlang serta jauh, kita sebagai manusia cukup sekadar hanya membaca buku.
Tidak hairanlah, jika penulis mengutarakan keunggulan buku tersebut menimpa seluruh pihak daripada pelbagai latar belakang dan budaya. Buku telah mengubah nasib seorang manusia!
Sungguh, terdapat banyak lagi tamsilan yang dibahaskan oleh penulis dan wajar sekali bagi penggemar buku menelaah isi kandungan yang sarat dengan bentuk kajian.
Kesinambungan daripada keseluruhan karya penulis komen saya,
Pertama, buku ini terbaik dalam membawa masyarakat berkenalan dengan buku-buku yang pernah pecah rekod di seluruh dunia. Misalnya, karya M. Scott Peck berjudul The Less Travelled dicetak berulang kali melebihi 5,000,000 naskhah. Kejayaan diraih oleh penulis buku ini mampu menuntun para penulis dalam belajar menghasilkan buku yang gempak di Pasaran.
Kedua, menunjukkan bahawa sesebuah buku mampu menjadikan seorang manusia berkuasa dan mendorongnya melakukan apa saja bentuk kejahatan di muka bumi. Ia sangatlah membunuh kita sebagai umat Islam sebenarnya.
Ketiga, peradaban Tamadun Islam terbukti berkembang apabila hadirnya para alim ulama yang mendidik masyarakat berilmu dan berwawasan tatkala mereka berjaya memberikan contoh terbaik dengan membina Perpustakaan sendiri di rumah.
Keempat, perkembangan buku juga kini kian marak apabila semakin banyak buku-buku novel diadaptasi menjadi sebuah filem. Ambil contoh mudah seperti karangan Pak Andrea Hirata, penulis novel Laskar Pelangi. Lihat bagaimana, karya ini ditayangkan dan membuat air mata penonton deras mengalir.
Buku telah membawa sumbangan terbesar kepada dunia. Hebatnya sebuah buku meski nilainya walau berapa ringgit tetap diburu oleh manusia apabila ia sudah benar-benar menyebabkan ketagihan.
Sesungguhnya, pesona buku berbeza-beza urna dan kelazatannya kepada penghidang bibliofil. Masing-masing ada teknik ataupun cara melahap buku yang telah dikumpul dari semasa ke semasa.
Sebagai orang muslim, kita perlu membaca dan menjadikan bacaan buku sebagai kamus bagi membangunkan ummah yang cerdik dalam apa jua bidang yang diceburi.
Akhir kata, judul buku Pesona Buku sangat disarankan kepada semua pembaca yang masih mencari-cari erti pesona buku yang sebetulnya.
Selamat membaca.
MAKLUMAT BUKU
Judul buku: PESONA BUKU
Penulis: Shaharom TM Sulaiman
Muka surat: 152
Penerbit: Pekan Ilmu Publications SDN BHD.
Tahun Terbit: 2013
Ulasan buku ini dikirim oleh Syuhara Suriati Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom