Oleh : Ramlee Wahab
Penyair tatkala menggarap puisi, sebegitu akrab dan terkadang menyatu dengan alam dan isinya. Kerana terlampau akrablah maka lahir puisi-puisi yang dianggap ‘avant-garde’ dan tinggi mutu penciptaan, lantas diangkat memenangi pelbagai hadiah sayembara. Tetapi, seakrab manakah pula seorang penyair menghargai diri seorang perempuan bergelar ‘isteri’ melalui puisi-puisi yang digarapnya secara rinci dan peribadi?
Perempuan, tidak hanya tertakluk menjadi ilham sebagai seorang kekasih, tetapi kekal terilham selepas berumah tangga sebagai seorang isteri. Mengapa tidak si isteri menjadi subjek sekali gus objek kecintaan abadi oleh si penyair, iaitu digarap khas secara istimewa sebuah puisi dari hati nurani sang suami yang suci murni?
Penyair boleh mengungkapkan ribuan malah jutaan kata-kata, menggarap pelbagai tema; bermula dari sekecil hama sehingga sebesar benua, bermula sedari kawah dunia sehingga lubang gelap di angkasa raya. Lantas, setiap karya dikumpul dan dijilid menjadi buku puisi yang disanjungi. Tetapi, tidak pula terungkap atau mungkin terlupa untuk menghadiahkan sebuah puisi di hari jadi atau saat ulang tahun perkahwinan. Juga, sukar ditemui sebuah puisi yang bertujuan menghargai jasa dan budi si isteri yang dikasih walau di dalam sebuah antologi di antara puluhan atau mungkin ratusan antologi-antologi puisi yang pernah dihasilkan sepanjang hayat.
Alam rumah tangga adalah alam paling manis dan bahagia. Dianugerahkan pula pasangan yang indah wajahnya dan baik pula budi pekertinya, maka bertambah-tambahlah kebahagiaan yang dikecapi sebagai pasangan suami-isteri. Sebagai insan kejadian Tuhan, rasa bersyukur dan berterima kasih itu wajar sebagaimana maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W iaitu:
“Hendaklah dibuat oleh seorang kamu, hati yang tahu berterima kasih, lidah yang mengingati Tuhan dan isteri yang mu’min, lagi shalih, yang akan menolong keakhirat” (At-Tirmidzi dan Ibnu Majah dan padanya ada putus isnad (ingitha’)
Alam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga yang dilalui oleh penyair sewajarnya menjadi ilham dan bahan sastera paling indah dan bersejarah. Justeru, pengarang mampu mencipta karya-karya luar biasa sekiranya “jiwa” dan “rasa”nya pernah mengalami terlebih dahulu peristiwa-peristiwa yang menjadi bahan dalam karya kreatifnya itu. Seperti dakwaan Liebman (Proses Kreatif-Rahimah A.Hamid, DBP 2017: 86) bahawa batin, kekuatan pancaindera, pengertian hidup, semangat (spirit) dan roh jiwa (soul) pengarang sungguh luar biasa dan istimewa:
Man lost his sense of direction when the compass of his soul is not magnetize by some great human star within the orbit of his experience. This truth has been intuitively understand in the realms of literature and of religion.”
Keluarbiasaan dan keistimewaan itu yang ditokok pula oleh daya persepsi yang tajam telah membangkitkan daya sensitiviti para pengarang, lantas membolehkan mereka mengarang. Sudah tentu setiap penyair mahu menjadi dirinya sendiri iaitu berusaha menampilkan personaliti dan identiti yang tersendiri dan asli sewaktu memuisikan peribadi seorang isteri.
Sehubungan itu, sejumlah kecil puisi-puisi berkaitan seorang isteri telah dipetik dari buku-buku puisi penyair tanah air yang beratus jumlahnya. Ternyata tidak ramai para penyair yang mengadun kopi kasih-sayang mereka terhadap seorang isteri, lalu menuangkannya ke dalam cangkir puisi. Perkara paling pasti, kita mahu merasai pahit-manisnya dan juga semerbak lemak aroma bancuhannya.
Sebagai mukadimah, puisi berjudul, Makna Perkahwinan karya Rahman Shaari (Penunggang Kenyataan-ITBM/PENA, 2015: 34) dipetik untuk yang baru bermula dan juga sebagai mengembalikan nostalgia mereka yang telah lama berumah tangga seperti berikut:
Tidak semudah impian muda / di jalan hidup serba ketara / perkahwinan berlaku bertapakkan beza / di depannya berlikuan jalan / menggamit bahagia dalam pertentangan / Yang berkahwin bukan hanya tubuh / tapi hati, fikiran dan harapan jauh / perkahwinan ini permulaan kedua / bagi pengembara yang berhenti seketika…./ Di atas jalan sukar diduga / kini perkahwinan telah tiba / sama-sama mengingatkan arah / jangan terambil susur salah…./ telah berlaku perkahwinan / terdiri tanda kebahagiaan / perbezaan diri perlu difahami / bertentangan begitu dengan begini / jika benar tambahi mekar / jika tersasar hindari calar.
Diikuti pula puisi berjudul Isteriku karya Shapiai Muhammad Ramly (Aku Ingin Berbeka-beka dengan Mu-ITBM/PENA, 2012: 18). Penyair meletakkan kepercayaan paling tinggi kepada seorang isteri yang dianggapnya cukup tabah dan bijaksana menguruskan rumah tangga. Andai seorang isteri itu ibarat kapal, maka penyairlah menjadi nakhodanya seperti mengikut petikan ini:
Isteriku tanah tabah / tempat meredih bahagia / sejak dulu lembah subur / bagi anak-anakku lahir / isteriku lading percaya / menampi hidup / pemerhati jauh / menganyam bijaksana / Isteriku kapal yang kenal gelombangnya / tanpa rasa gentar mengharungi laut hidup / Aku nakhodanya.
Kini, penyair Wanrazuhar menampilkan puisi berjudul Isteri (Kukejar Kata-IBH Khidmat, 2016:40). Pada penyair, apabila bersama isteri renunglah wajahnya dengan penuh kasih-sayang, wujudkan suasana ketenangan, berikan puji-pujian dan penghargaan sejujurnya, hargai segala pengorbanannya yang telah tercurah dan sungguh perhubungan sebagai suami-isteri akan kekal hingga ke Jannah sebagai petikan ini:
Isteri itu / bila berada / di hadapannya / tenangkan jiwanya / tenung wajahnya / fahami rasa hatinya / biar dia merasa / di wanita terhebat / di dunia / seperti kita tidak boleh hidup / tanpanya / bisikkan kata saying / belai kasihnya / ikhlas dari hati / cinta selamanya terpatri / ke syurga menanti.
Hadir pula Ridzuan Harun dengan puisinya berjudul, Segugus Sajak Kepada Isteri (Buku Si Darwis-ITBM/PENA, 2012: 61). Penyair bernostalgia kembali di saat-saat manisnya musim percintaan yang akhirnya membawa dirinya menempuh gerbang perkahwinannya. Upacara berijab kabul dan menempuh hari pertama bersama-sama isteri tercinta jelas digarap secara puitis seperti petikan berikut: Kukenang seberkas kata manis / tika mula belajar bercinta dan mengepung rindu / kulonggokkan dengan sopan dan tenang…./ Ketika jabat imam erat / dan saat akad lancar meluncur / engkau perempuan, aku mahkotakan nama dan cintamu dengan sepenuh / ikrar dan seru / hari pertama bersatu dalam tautan kasih padu / bersama kita kendong mimpi manis / hingga baranya terpercik bulan / di malam terpilih.
Sampai pula giliran puisi berjudul Puisi Buat Isteri karya Rosly Mohamad (Kita Orang 3 Beradik-ITBM/PENA, 2015: 60). Seorang isteri diberikan penghargaan paling tinggi oleh penyair kerana telah memberikan khidmat ikhlas yang teramat sukar dibalas. Penyair mengenangkan betapa kukuhnya istana kehidupan berkeluarga walaupun sudah lama berumah tangga mengikuti petikan:
Isteriku / Sudah sekian lama kita hidup bersama / membina sebuah istana kehidupan / Dan aku berasa bangga istana itu / Masih berdiri kukuh / Masih berdiri teguh / Masih berdiri utuh…./ Berpaksikan kasih sayang / Bertonggakkan kasih mesra…./ Anak-anak kita semakin dewasa kini…./ Cemerlang sahsiah…./ Inginku rakam jutaan terima kasih…./ Sebuah rumah tangga yang sakinah mawadah…./ Akan terus bahagia sepanjang hayat / Sehingga kita menutup mata.
Puisi berjudul, Cantik Seorang Isteri karya Abd. Rahim Omar (Bukan Riak di Lautan-ITBM/PENA, 2016: 117) mengambil alih. Kecantikan seorang isteri bukan sahaja terletak pada rupa paras yang jelita dan menawan, tetapi juga terletak kepada tanggung jawab dan peranan. Perkara inilah yang cuba disampaikan oleh penyair seperti petikan berikut:
Setulus langi / memutarkan galaksi lautan / dan menumpahkan pelangi dan hujan…./ lalu bermukim dalam pamah leluhur / Begitu juga setulus benih / yang bercambah dan bertaut / pada kedalaman tanah / dan menjalar pada akar sanubari / tertanam kukuh / dalam rumpun diri / Begitulah kecantikan yang tertanam dan berakar / tersembunyi dalam nurani paling dalam / seorang aku / yang bernama suami.
Kini sampai pula giliran Arbak Othman dengan puisi berjudul, Puisi Perempuan (Nyanyian Waktu-ITBM/PENA, 2016: 77). Luhurnya hati seorang suami yang melakarkan sebuah puisi untuk isterinya yang terkandung pelbagai saranan dan kata nasihat. Penyair melakukan segala tindak dan pengorbanan yang wajar sebagai melindungi aurat isterinya dan menghargai kehormatan seorang perempuan melalui petikan berikut:
Kuberikan cinta kepada hatinya…./ kututupi gerbang ghairah yang mula terbuka / kusarungkan kakinya dengan stoking hitam / kukunci tubuhnya yang mulai banyak terdedah / kerana puisi untuk seorang isteri harus suci / daripada sebarang keinginan yang meletihkan…./ hingga air mataku mencipta lara puisi / mengekalkan maruah cintanya tertinggi / di ruang apa-apa sahaja ternyata putih.
Seterusnya, permintaan seorang isteri kepada seorang suami diabadikan di dalam puisi berjudul Kata Isteri Kepada Suami karya Ehsan Jamily (Orang Bijaksana-ITBM/PENA, 2014: 30). Kemahuan seorang isteri itu amat sederhana sifatnya. Bukan
kemewahan atau kekayaan harta dunia yang melimpah ruah. Cukuplah sekedar si suami mengembangkan payung kasih-sayang berupa kemesraan dan keikhlasan tempat seorang isteri berlindung seperti petikan berikut:
Aku tidak memerlukan / sebuah kehidupan / yang tidak termampu / kau berikan kepadaku / yang kupinta / bukan segunung permata / bukan selaut mutiara / Hanya yang kupinta / berikanlah sehelai selendang / yang kainnya cinta / yang benangnya sayang / yang warnanya putih bersih / yang dijahit dengan jarum kasih / bersulamkan kemesraan / berendakan keikhlasan.
Sebagai penutup, dipetik beberapa larik dari puisi, Watikah Pelaminan karya Mohamad Saleeh Rahamad (Serindit Merah-ITBM/PENA, 2016: 74) untuk dihadam oleh pengantin baru yang bakal memikul tanggung jawab melayari samudera rumah
tangga; suami sebagai nakhoda dan isteri menjadi kelasinya:
Telah kami sediakan sejalur perahu…./ bertemankan layar bertiang teguh / pendayung keras berurat ampuh…./ Segara ini menjadi tempat / untuk menguji tangkas lelaki…./ di sini deburnya keras / menyerbu tiba-tiba tanpa belas…./ Sewaktu diuji amarah gelombang / jangan kaulipat layar / atau lepaskan dayung / carilah teluk teduh untuk berlindung / tampal segala bocor pada lantai / segala carik pada layar / kembalikan tenang dalam tubuh / biarpun di luar ribut bergemuruh / pada ini watikah pelaminan / kusisip sebaris pesan / untuk kauhadapi / sebenar-benar kehidupan.