CIPLAK KARYA SASTERA!

BERKUCAH seketika hari ini apabila isu plagiat atau ciplak kembali mengocak ketenangan tasik sastera tanah air. Bukan calang-calang juga tokoh yang terlibat, malah bukan sembarang juga wadah yang terkesan.

Meja #CelikHuruf turut berkucah dengan beberapa panggilan dan pertanyaan. Selain memerhati dengan penuh teliti (bimbang tersalah tindak), kami membuka ruang yang saksama untuk sama-sama menilai.

Untuk itu, kita lihat apa ulas pandang penggalas sastera tanah air dari Selatan,Tuan RAMLEE WAHAB.

Beliau menulis dengan persoalan,  CIPLAK: Mengapa Harus Berulang Di Tangan Penulis Terbilang?

“Cuma, baru kini saya mulai sedikit ragu-ragu, sedikit sahaja. Apakah WM menulis kesemua puisi tersebut secara jujur?” RAMLEE

Wacana Minda (WM) saya kenali bukan baharu. Sudah agak lama dan telah pun bertemu beberapa kali sejak menjadi ahli Persatuan Penyair Malaysia (PPM). WM penulis prolifik khususnya dalam genre rencana sastera yang kerap tersiar di akhbar Sinar Harian (SH). Malah ada beberapa buah rencana beliau telah saya tukar bentuk ke genre puisi dan tag kepada beliau – suka. Saya pernah menghantar tulisan ke SH tetapi tidak mendapat tempat. Bersangka baik, bahawa pihak akhbar sudah punya penulis tetap untuk ruangan ‘Lingkaran Seni’ sekali seminggu setiap Rabu.

Baru tadi, saya dikejutkan oleh mesej di messenger, menyatakan WM menciplak puisi orang lain. Ciplakan tersebut telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera. Wah! berita buruk ini dan menggemparkan. Semacam ‘bangkai gajah yang tiadak mungkin ditutup dengan sehelai daun pisang’. Saya jadi longlai. Malah lebih buruk lagi apabila ada pihak telah menghantar sebuah puisi berjudul Introspektif yang sememangnya sama seperti di ‘carbon copy’ terus; dari karya Alhmh.Teratai Abadi. WM ,menukar tajuknya menjadi ‘Serupa Segala Kata’ yang tersiar di Dewan Bahasa Bil.10/2021.  Jika begini, saya bukan sahaja longlai, malah terduduk lemah sungguh anggota dan tersandar berfikir yang tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Tapi yang bukan-bukan itu semakin ganas menghunjam dan menghentam benak fikiran tanpa ehsan. Suara saya sederhana, tetapi getarnya petanda luka – mengapa?

Saya menoleh semula kearah rak buku-buku dan mata tertumpu kepada Kumpulan Puisi ‘Laki-Laki’ (Penerbit Hakim) yang saya beli di DBP pada tahun 2017 dan mendapat tandatangan serta nota kecil WM – bangga. Kerana, beliau lebih awal dapat menerbitkan karya puisi sedangkan saya masih berkira-kira menanti usaha ITBM beberapa bulan lagi. Tapi, membeli hasil karya seorang sahabat penulis/penyair tentunya saya merasa cukup seronok. kerana dapat membaca, meneliti dan mengetahui ‘world view’ beliau tentang pelbagai perkara. Ditambah meningkat kualitinya apabila ‘kata pengantar’ ditulis oleh Prof Dato’ Rahman Shaari. Cuma, baru kini saya mulai sedikit ragu-ragu, sedikit sahaja. Apakah WM menulis kesemua puisi tersebut secara jujur?

Dewan Sastera (DS) pula entah bagaimana boleh terlepas dan terlibat berkaitan ciplak ini dengan menyiarkannya di Facebook (hanya sebentar – sudah dipadamkan) entah mengapa juga? Mungkin, mahu menutup aib WM agaknya. Tetapi aib sudah terbuka luas. Siapa pun tahu, puisi ciplakan tetap terpahat di dada majalah DS buat selama-lamanya dengan nota ‘Puisi Plagiat’ Majalah Dewan Sastera Disember 2021 – malang.

Perbuatan menciplak bukan perkara baru, malah sudah berkali-kali berlaku di media cetak dan juga media sosial. Sedari sajak, puisi, cerpen dan novel habis semua diciplak dan mendatangkan keuntung material juga bagi sesetengah pihak.  Biasanya, mereka terlepas begitu sahaja dan menghilang dari radar sastera Malaysia. Ada juga idea nakal mengatakan itu semacam rasa keterpesonaan terhadap karya orang lain dan cuba menyamakan hasil ciplakan dengan kerja ‘interteks’.  Tetapi sidang redaksi DS tidak sebegitu lemah atau keliru dalam membuat keputusan. Mereka dengan sarat kesarjanaan dan berat pengalaman upaya membuat keputusan adil dan logik. Saya anggap perbuatan penciplak itu seperti budak-budak baru ‘nak up’ iaitu mencari nama glamer secara jalan pintas – tertangkap. Tetapi, jika berlaku pada diri WM seorang penulis/penyair ampuh atau watak/figura sastera tersohor di media cetak dan media maya, ini amat meragukan meski terpalit juga situasi memalukan – motifnya?

WM memang sudah tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan Malaysia juga dunia perguruan. Beliau kerap dipanggil menjadi moderator dan menjadi penceramah secara ‘online’ dan memang tokoh pidato terbaik yang popular. Beliau bukan ‘kaleng-kaleng’ dalam dunia penulisan rencana sastera, pada saya kerana kerap mengikuti di Sinar Harian. Tapi, timbul persoalan – mengapa beliau menciplak? Oops, bukan saya menuduh, tetapi bersandarkan kenyataan DS yang tersiar di Facebook.

Pada pandangan saya, kita wajar bersikap adil. WM perlu diberikan ruang secukupnya dan peluang seluas-luasnya untuk menerangkan duduk perkara sebenar. Boleh saja WM siarkan di Facebook dan kita ramai-ramai mengikuti; sama ada mahu menerima atau menolak itu hak peribadi masing-masing. Jangan sesekali kita ‘menabur garam pada luka’ dan perlu ada rasa simpati juga.  Tetapi WM mesti melakukannya segera – bukan mendiamkan diri. Seandainya DS boleh memohon maaf kepada khalayak pembaca, mengapa tidak WM lakukan perkara yang sama tetapi dalam keadaan yang lebih selesa dan sopan tentunya.                                        

Dunia sastera tidak pernah bertindak kejam pada penulis. Tetapi, penulislah sewenang-wenangnya berlaku kejam terhadap dunia sastera.

_______

PENAFIAN : Tulisan, saranan, pandangan, dan buah fikiran daripada penyumbang artikel tidak mewakili pandangan dan dan pendirian pihak penerbit portal CELIKHURUF.COM.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email