Sewaktu zaman 90-an dahulu, ramai yang dibesarkan dengan menonton “Kisah benar”
terbitan TV3 agar menjadi panduan kehidupan kepada anak-anak muda. Kisah-kisah
realiti yang menonjolkan permasalahan sosial masyarakat kini kurang ditontonkan
pada masa kini dan lebih banyak dikongsikan melalui sosial media. Justeru,
bagaimana caranya untuk mendidik anak-anak generasi yang bakal menghadapi onak
dan duri cabaran kehidupan? Bukan semua manusia yang datang adalah bersih dan
baik budinya. Bagaimana agar menjaga diri dari terperangkap dalam cinta yang dusta?
Buku kezaliman cinta ini bukan dihasilkan dari ilham penulis namun penceritaan
orang perseorangan yang dihantar kepada penulis di laman media sosialnya. Buku ini
adalah himpunan kisah-kisah benar yang tidak ditokok tambah sedikit pun oleh
personaliti TV kelahiran negeri Perak ini. Ada kisah yang diceritakan semula dengan
susunan bahasa yang teratur dan ia dipaparkan dalam bentuk tangkap layar sahaja.
Turut dimuatkan, lampiran potongan akhbar bagi menyokong kisah-kisah yang
dimuatkan di dalam buku bewarna jingga ini.
Keunikan buku ini, ia boleh dibaca dalam masa yang singkat kerana ia hanya
berketebalan hanya sebanyak 205 muka surat. Namun apabila saya membacanya, saya
merasakan seperti membaca karya besar sastera kerana terasa berat beban di dada dan
minda usai membacanya. Ini kerana dengan membaca dan menghadam kisah ngeri
seperti ditipu kekasih, dirogol lelaki yang terdekat dalam hidup, dikawal oleh mak
mertua, masalah dadah dan banyak lagi kisah cinta yang dizalimi, akan menimbulkan
satu kesesakan dan kerisauan kerana saya juga seorang guru dan ibu.
Buku ini dipenuhi dengan lukisan anakanda Fedtri iaitu Indah Sutera. Meskipun
masih lagi kecil dan tidak mengalami kejadian yang dimuatkan ke dalam buku ini, Indah seakan mengerti kesedihan yang dialami oleh penyumbang kisah buku ini.
Mungkin inilah hasil didikan ayahanda nya mengenai realiti kehidupan. Kaver buku
yang dihiasi lukisan seorang perempuan mengandung yang berjuraian air mata dan
tidak dihuraukan lelaki, perlu dimiliki oleh setiap ibu bapa yang mempunyai anak
perempuan khususnya.
Buku ini juga sangat sesuai dibaca oleh golongan pelajar sekolah menengah
khususnya dan dijadikan sebagai bahan bacaan di sudut bilik kaunseling. Kerana ada
murid yang lebih mudah menerima nasihat dari ibrah kisah orang lain, berbanding
dengan nasihat lisan dari guru kaunselornya.

Oleh kerana buku ini berdasarkan kisah sebenar, ada kisah yang tergantung dan tiada
solusi. Hampir semua akaun Facebook yang mengirimkan kisah hidup mereka kepada
menulis memadam akaun atau menukar nama mereka. Ini menunjukkan bahawa kisah
ini sangat nyata. Penulis amat berani menerbitkan kisah-kisah ini. Ia juga disusun
dalam lima bahagian yang teratur iaitu: perincian kisah, lembaran kezaliman cinta,
luahan jiwa, puisi berbisa dan citra penulis.
Seperti yang diketahui umum yang mengikuti persona Ahmad Fedtri Yahya, beliau
sangat gemarkan keindahan dan rima bahasa. Turut dimuatkan bahagian “ Puisi
berbisa, menikam dengan puitis” karya penulis ini sendiri. Antara yang menarik:
Kaulamarku dengan hadis
Kaubuangku dengan sadis
Kaupamerkan watak yang alim
Kau rupanya durjana yang zalim
Tidak rugi jika buku ini diletakkan di setiap sudut perpustakaan sekolah dan rumah,
agar setiap kisah boleh menjadi ibrah. Bak kata pepatah, “Mencegah sebelum parah”
Judul Buku: Kezaliman Cinta
Penulis: Ahmad Fedtri Yahya
Terbitan: Ahmad Fedtri Bin Yahya
Ulasan buku ini dikirim oleh N Aini Adnan Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmail.com