Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan

Menjadi seorang penulis wanita sekali gus seorang isteri dan ibu kepada anak-anak bukanlah suatu perkara yang mudah.  Tetapi, Zurinah Hassan tetap tabah dan mengharungi segala pancaroba dengan sedemikian tenang dan sabar.  Sejarah kepengarangan beliau amat panjang, indah dan penuh dengan warna-warni kehidupan; sebermula di zaman persekolahan suka mendengar radio dan menghafal seni kata lagu. Sebuah lagu yang menggambarkan keindahan alam berjudul ‘Alam Maya’ dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Lena, telah menarik perhatian beliau dan sekali gus menanam rasa cinta terhadap keindahan alam. 

Artikel ini kiriman Tuan RAMLEE WAHAB.

Inilah merupakan titik tolak yang telah menyumbang kepada pembenihan  awal kecintaan Zurinah terhadap puisi.  Selain itu lagu-lagu seperti, ‘Seri Mersing’, ‘Bunga Tanjung’, ‘Siti Payung’, ‘Damak’, ‘Nasib Panjang’, ‘Sembawa Balik’, ‘Tudung Saji’ dan banyak lagi lagu-lagu tradisional Melayu klasik telah sedemikian kuat mempengaruhi akal dan jiwa Zurinah tatkala zaman remajanya.  Di samping itu, selain lagu dan nyanyian, pengenalan kepada seni dan puisi berlaku juga melalui rancangan radio seperti, ‘bangsawan di Udara’ dan ‘Sandiwara Radio’.  Rancangan-rancangan ini  turut menyelitkan bahasa yang berima serta disulam dengan bacaan syair.  Salah satu kegemaran Zurinah di waktu lapang ialah membaca syair. 

Menyentuh genre puisi, Zurinah mula terlibat pada tahun 1967.  Tetapi, kerana kecekalan dan daya tahan dalam mematangkan gaya penulisan, beliau merakamkan pengalamannya berkarya dalam sebuah buku dan berjaya menerbitkan ‘Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (penerbit UKM, Bangi) pada tahun 2003. 

Buku ini dihasilkan sewaktu beliau menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kuala Lumpur dari November 2011 hingga September 2012.  Manakala buku ini merupakan sambungan, tetapi lebih menumpukan perhatian khususnya kepada puisi-puisi Zurinah yang terilham dari hasil bacaan dan penghayatan terhadap lagenda, cerita-cerita rakyat dan hikayat Melayu klasik.  Di samping itu, beliau juga memberikan latar penciptaan sebahagian puisi-puisi beserta ulasan dan reaksi daripada para sarjana dan pengkaji sastera. 

Bermula dengan bab pertama: Menjadi Penulis Wanita.  Zurina mengimbas kembali sewaktu beliau bergelar mahasiswa Universiti Pulau Pinang pada tahun 1971.  Sewaktu itu, Naib Canselor Ybhg. Tan Sri Profesor Hamzah Sendut telah mencadangkan Zurinah membukukan sajak-sajaknya.  Hasil pertemuan tersebut, terbitlah buku kumpulan sajak perseorangan berjudul ‘Sesayup Jalan’. 

Barang kali, Zurinah dianggap wanita pertama mencipta sejarah dalam perkembangan  kesusasteraan Melayu moden tanah air dan barang kali juga yang pertama di dunia.  Selain itu, Shahnon Ahmad turut mengiktiraf sajak-sajak Zurinah adalah bagus untuk diterbitkan.  Terbuktilah sudah, bahawa penulis wanita sebenarnya tidaklah dikatakan jauh ketinggalan dari segi kualiti dan kuantiti karya, jika dibandingkan dengan penulis lelaki di zaman itu. 

Setelah berumah tangga, proses kreativiti Zurinah menjadi semakin mencabar.  Malah kesabarannya sering tercabar oleh kerja-kerja rumah serta kerenah anak-anak.  Ini jelas dinyatakan di dalam sebuah cerpen berjudul ‘Catatan di Meja Makan’ (watak Hamima) yang terilham dari kemelut tersebut seperti petikan berikut:

“Aku telah cuba mengatur masaku. Apa yang aku tidak tahu adalah pekerjaan sebagai suri rumah, bukanlah pekerjaan yang boleh dirancang-rancang dan diatur-atur, sperti mana yang dapat kubuat di pejabat dahulu. Lebih menyedihkan adalah apabila aku mendapati pekerjaan sebagai suri rumah ini, walaupun amat sukar dan mencabar, tidak pernah mendapat pengiktirafan dari segi intelektual mahupun artistik. Ia penuh dengan episod cemas, kelam-kabut, tegang malah kecewa dan hampa.” 

Demi menghadapi kelangsungan hidup berumahtangga dan bergelut dengan kerja-kerja pejabat, Zurinah berjaya mengawal diri dan emosi demi memanjangkan usia kreativiti.  Beliau berazam untuk menulis selagi keadaan mengizinkan; kalau hari ini empat baris, maka esok satu baris pun tidak mengapa.  Pergelutan hidup yang sukar ini bagaimana pun dapat di atasi apabila Zurinah berjaya menerbitkan kumpulan cerpen ‘Meneruskan Perjalanan,’ ‘novel remaja ‘Hatimu Aishah’, kumpulan sajak ‘Keberangkatan’ yang memenangi Anugerah Puisi Putera, dan kumpulan ‘Pujangga Tidak Bernama’ yang meraih Hadiah Sastera Malaysia, dan beberapa lagi.  Menjangkau umur 45 tahun, Zurinah mengambil keputusan untuk bersara awal. 

Menelusuri bab kedua, ‘Membina Karya Daripada Legenda Dan Cerita Rakyat,’ Zurinah berkongsi pengalaman kreatif beliau secara rinci.  Pada pandangan beliau, ‘penulisan bermula daripada tercetusnya idea atau, yang disebut sebagai mendapat ilham.  Idea itu, kemudian difikirkan dan dimatangkan.  Idea yang jelas dan matang kemudiannya, diolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre dan, seterusnya diperbaiki dan dimurnikan sehingga lahir sebuah karya.  Proses di atas tidak berlaku dalam tempoh masa yang sama, untuk semua pengarang.  Setiap pengarang juga tidak mengambil masa yang sama, untuk menghasilkan karya yang berlainan.’ 

Seterusnya Zurinah menceritakan pengalaman beliau didatangi ilham dengan menyatakan, ‘ilham atau idea muncul dengan tidak mengira waktu dan tempat.  Kadang-kadang ketika seseorang di dalam kenderaan, ketika berbual dengan orang lain, atau ketika menonton televisyen atau membaca buku, ilham atau idea itu datang.  Sering kali idea atau ilham untuk sesebuah karya tidak datang dari satu sumber sahaja, tetapi idea atau ilham itu, merupakan adunan pelbagai situasi.’  Sehubungan itu, buku ‘Sejarah Melayu’ yang diusahakan oleh W.G. Shellabear (Siri Kajian Sastera, Fajar Bakti) telah banyak membantu dan merangsang diri beliau menghasilkan karya puisi.

Meneliti bab ketiga, ‘Penciptaan Dan Reaksi (Puisi Daripada Legenda Dan Cerita Rakyat) menyerlahkan keterpesonaan Zurinah Hassan terhadap legenda dan cerita rakyat.  Di antaranya ialah sajak, ‘Korban Hang Tuah’ yang telah diberikan sambutan di luar dugaan.  Sajak ini menyorot dilema yang dihadapi oleh Hang Tuah, apabila bendahara membawa titah sultan untuk membunuh Hang Jebat.  Hang Tuah dilanda perasaan serba-salah.  Tergamakkah dia menikam sahabat yang disayanginya, tetapi bolehkah dia melawan titah Sultan?  Bagaimana pun, kedua-dua orang pahlawan dan kedua-dua orang sahabat ini, akhirnya berlawan.  Orang-orang Melaka (dan orang-orang Melayu seluruhnya) hanya menyaksikan perlawanan ini, tanpa sebarang usaha untuk meredakan sengketa.  Akhirnya Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah.  Menurut Zurinah, sajak ini telah tiga kali dibaca dan dirujuk oleh orang-orang penting negara, di hadapan khalayak yang ramai.  Ini adalah suatu perkara yang signifikan apabila ahli-ahli politik turut terpaut hati untuk menggunakan sajak tersebut di dalam ucapan-ucapan mereka.  Tetapi, paling membanggakan Zurinah ialah sajak, ‘Korban Hang Tuah’ telah dipetik oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di majlis pelancaran buku ‘The Malays’ di Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 10 Mac 2009. 

Seterusnya, bab keempat mengisahkan puncak kejayaan seseorang penulis turut diukur melalui keupayaan sajak-sajaknya dijadikan teks di sekolah bagi mata pelajaran Kesusasteraan atau sebahagian daripada KOMSAS.  Zurinah Hassan tidak terkecuali, malah pemilihan tiga buah sajak-sajak beliau iaitu ‘Masihkah Kau Bermain Seruling,’ ‘Kuali Hitam,’ dan ‘Mahsuri’ ternyata masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.  Sajak ‘Masihkah Kau Bermain Seruling’ telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan judul, ‘Are You Still  Playing  Your  Flute’ dan dijadikan teks mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk Tingkatan Lima.  Manakala sajak ‘Duhai Pentafsir’ lahir di atas kesedaran Zurinah mencari erti kehidupan dan memperolehinya dengan mendekatkan diri dengan ajaran Islam. 

Bab kelima iaitu bab terakhir memuatkan beberapa tulisan ‘Penulis Undangan’ (Catatan  Tentang Zurinah Hassan).  Antaranya ialah ‘Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah  Hassan Sebagai  Pentafsir  Waktu Dan Peristiwa’ oleh SN Muhammad Haji Salleh, ‘Zurinah Hassan: Takah-Takah Perpuisian Menuju Puncak’ oleh Dr. Rahimah Haji A. Hamid (Universiti Sains Malaysia), ‘Pembentukan Identiti Wanita: Pendekatan Feminisme Puisi-Puisi Terpilih Zurinah Hassan’ oleh Dr. Suzana Muhammad (Universiti Sains Malaysia) dan sebuah rencana tulisan Shahnon Ahmad berjudul ‘Penyair Kehilangan Kemanusiaan’ yang dimuatkan dalam buku ‘Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan’ DBP 1993. 

Selesai sudah meneliti buku setebal 146 halaman yang dianggap cukup padat dengan maklumat yang amat bermanfaat.  Buku ini secara amnya, wajar dibaca oleh semua penulis khususnya penulis-penulis muda tanah air.  Semoga mereka boleh mendapat iktibar daripada pelbagai pengalaman pahit-maung seorang penulis wanita yang berasal dari desa terpencil yang kemudiannya melalui pelbagai liku-liku hidup yang merantai dan membebankan perjalanan kehidupan.  Benarlah peribahasa Cina mengatakan, ‘Perjalanan ribuan batu bermula dengan langkah pertama’ dan beliau telah membuktikannya.   Berkat kesabaran dan ketekunan dengan melakukan pengorbanan jiwa dan raga, penulis bernama Zurinah Hassan akhirnya berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam ranah kesusasteraan tanah air. Setelah meraih anugerah S.E.A Write Award, kini Zurinah Hassan dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email