BEZA CERPEN DALAM ECERAN DENGAN YANG DIBUKUKAN.

Betapa kaya ruang ekpresi kreatif dalam genre cerpen memungkinkan penulis menghantar idea dan pemikiran lewat teknik yang pelbagai. Seiring dengan perkembangan sastera tanah air dan dunia maka kita temukan pembaharuan demi pembaharuan oleh penulis bereksperimen. Baik daripada segi teknik dan struktur yang bervariasi maka segala pemikiran dan falsafah terhantar dengan cermat dan bermatlamat.


Meneliti 15 karya cerpen oleh Nurimas SN, menghadirkan falsafah dan idea dengan
tingkap horizon pemikiran yang saujana mata memandang. Saya difahamkan karya-
karya yang termuat dalam Kumpulan Cerpen Aki Popular merupakan sebahagian
daripada karya beliau yang pernah tersiar di dada akhbar perdana tanah air ; Utusan
Melayu
dan Mingguan Malaysia sekitar tahun 2015 – 2019.


Meneliti satu persatu karya garapan Nurimas SN ini mengembalikan saya pada
memori ketika saya masih bersama Kumpulan Utusan. Ya, sejak tahun 2002 sehingga
2012 saya antara individu yang terlibat langsung dalam penataan dan pengendalian
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang usianya sudah lebih 20 tahun ketika
itu. Saban tahun karya-karya sepanjang tahun penilaian akan tiba ke meja saya untuk
diuruskan bermula dari penataan penilaian bersama panel-panel yang dilantik,
sehinggalah kepada kerja-kerja penerbitan buku antologi pemenang. Saya akui, dalam
sela ingatan saya nama Nurimas SN adalah seorang penulis yang ‘berehat’. Beliau
tidak muncul pada tempoh itu dengan cergas. Sehinggalah saya meninggalkan
Kumpulan Utusan (dan bertugas di Institut Terjemahan & Buku Malaysia – ITBM
pada tahun 2012).


Kini, apabila kembali meneliti sejambak cerpen 15 kelopak ini saya menjadi sedikit
ghairah menghadam dan menelaah. Dengan membahagikan dua kategori untuk
tatapan pembaca, Nurimas SN berhasil menuntun ‘mood’ pembacaan genre cerpen
lewat wahana kumpulan cerpen dalam bentuk buku berjilid dan bermaruah. Berbeza
sekali ketika kita menikmati jalur penceritaan, teknik dan pemikiran penulis yang
dihampar di dada akhbar.


Dalam Kumpulan Cerpen Aki Popular ini pembaca dipandu secara tidak sedar dengan
dua kategori yang dibingkaikan. Pertama ialah cerpen-cerpen dalam kategori
‘Melankolia’ manakala kedua pula dihidangkan dalam bahagian ‘Paradoks’.
Komposisi seimbang dalam mengisi dua bahagian ini mengabsahkan
kebertanggungjawaban penulis dalam meladeni pembacanya. Bukan sahaja cermat
tetapi bergaya dengan caranya yang tersendiri.


Cerpen Aki Popular yang menjuduli kumpulan cerpen ini menawarkan keseronokan
membaca lewat seorang watak tua yang dipupuk kemajuan teknologi. Penulis pada
awalnya menggambarkan Aki yang tidak mesra teknologi namun akhirnya
dipengaruhi satu demi satu melalui peristiwa-peristiwa seharian yang dilaluinya.
Secara umum penulis membawa gambaran dan dimensi yang positif tentang

kemajuan teknologi terutamanya teknologi maklumat dan Internet. Watak Aki juga
digambar seorang yang positif menerima perubahan gaya hidup, meskipun terdapat
unsur-unsur penolakan pada awalnya. Ini dicoretkan dengan cermat oleh penulis lewat
watak anak-anak dan cucunya. Aki yang akhirnya digelumangkan dalam kancah
capaian teknologi turut teruja; “Bukan saja Rusia, ayah. Aki dah popular seluruh
dunia!” demikian ujar watak utama penceritaan, Ulfah, ketika anaknya dari Rusia
memberi respon berkenaan video yang sudah menular di dalam talian.

Sebagai makluman, cerpen Aki Popular adalah cerpen pertama dalam kategori ‘Paradoks’.
Cerpen-cerpen lain dalam kumpulan cerpen ini secara umum memenuhi inspirasi
sebuah cerpen yang sarat dengan nilai. Walau bagaimanapun, persediaan pembaca
juga perlu untuk menebak dan menghadam pemikiran dan idea yang terkandung di
dalamnya. Selain terdapat karya yang mengemukakan subjek yang baharu, terdapat
juga cerpen yang menawarkan subjek yang konvensional tetapi dijana semula
sesuai dengan situasi semasa.


Lihat di bahagian ‘Melankolia’ misalnya, Siswazah Butik menawarkan pengalaman
menarik sisi keusahawanan dalam garapan yang mesra tempo semasa, manakala
Mencari Solusi membawakan pembaca dengan pengalaman alam semula jadi dalam
subjek tumbuh-tumbuhan (bunga-bungaan). Selain itu, cerpen 100, Kasut Hitam, dan
Air Mata Syawal mengajak pembaca untuk manaakul sedalamnya makna tersirat.
Demikian tidak kurang menariknya subjek yang konvensional berkenaan patriotisme
lewat karya berjudul Nyali, Merdeka, Arung dan Pecak.


Meski pada hemat saya tidak ditemukan karya yang bersifat garda depan (avant
garde), olahan dan teknik yang memikat membuatkan karya-karya Nurimas SN
berupaya mendukung subjek, persoalan dan pemikiran penulisnya.
Secara peribadi saya lebih terhanyut dan terbuai dengan nilai pemikiran dan garapan
magis sang penulis di bahagian ‘Paradoks’. Selain Aki Popular, Kelalen juga mencuit
dengan unsur kritikan yang terselit lelucon. Selain itu, saya sangat mengesyorkan
pembacaan Dangau, SPA Alam, dan Hagemoni.


Adunan tema dan persoalan berkaitan konflik diri, masyarakat setempat, politik,
malah sisi tempatan yang berdialog antarabangsa dengan paparan pergolakan dunia
turut merencah dengan enak di dalam kumpulan cerpen ini. Malah, penulis juga
meneroka persoalan yang ‘bukan biasa-biasa’ iaitu alam bukan manusia.
Suka juga saya menyentuh perihal nilai-nilai yang terkesan lewat karya-karya
Nurimas SN. Rata-rata memiliki nilai kognitif yang mampu menjana daya taakulan
pembaca sekali gus menawarkan pengalaman estetik. Ya, mungkin penulis adalah
seorang guru, ini suatu kelebihan kepadanya.


Selain nilai pemikiran, nilai akhlak, juga nilai keprihatinan Nurimas SN tidak
sewenangnya berkompromi dengan penggunaan gaya bahasa. Penulis dalam sedar
menjadikan bahasa sebagai kenderaan penting dalam menyampaikan idea dan
pemikirannya. Hal ini dibalut sebati dengan kreativiti secara berimbang dan
bersesuaian.

Kumpulan cerpen ini kelihatan lebih elok dan berkesan rupa-rupanya setelah
diselenggara dan diterbitkan dalam bentuk buku. Pembahagian dua kategori bukan
sahaja menuntun pembaca tetapi menawarkan pengalaman pembacaan yang segar dan
mencabar. Percikan emosi, minda, malah segala jiwa dan raga akan diaktifkan dengan
susunan dan penggolongan dua kategori ini ; ‘Melankolia’ dan ‘Paradoks’.


Selain berbangga dengan penerbitan ini, saya juga berharap buah tangan yang julung-
julung ini akan sampai ke tangan pembaca yang lebih luas. Segala aksara yang
menyusun kata meski dengan tinta emas jika tidak sampai kepada pembaca maka
segala ilmu dan pemikiran akan hanya menjadi kertas usang.

Saya doakan penulisnya akan terus maju jaya, dan tidak lagi ‘berehat’ daripada
berkarya sehingga ke akhir hayat.

JUDUL : AKI POPULAR

PENERBIT : SHAHIDAH HASSAN ENT. (SHE)

HARGA : RM30 ( SILA TEKAN LINK UNTUK BELI BUKU INI)

*Tulisan ini disesuaikan daripada Kata Pengantar yang ditulis oleh Rozlan Mohamed Noor di dalam buku ini.


error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email