Betulkah Buku Teks Kita Dipilih Melalui Pertandingan? Cikgu Amir Hazlin menjawab.

Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka mengeluarkan poster Pertandingan Menulis Buku Teks untuk kegunaan tahun 2022, ada kicauan yang mengatakan buku teks di negara kita ini dipilih hanya melalui pertandingan. Benarkah begitu?

Tulisan Cikgu Amir Hazlin di Facebook , yang juga seorang penulis buku teks berpengalaman memberitahu tentang proses-proses yang perlu dilalui sebelum buku teks tiba di sekolah. Ikuti tulisan beliau.

***

Cikgu Amir Hazlin @ Rima Nilzah

Pertama,

Ada beberapa cara buku teks diterbitkan. Saya ringkaskan kepada dua cara yang biasa, iaitu tender terbuka untuk penerbit swasta atau melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mendapat “geran penerbitan”. Suatu ketika dahulu, buku teks pernah diperoleh secara  kaedah komisi dan  Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri menyediakan manuskrip.

Kedua,

Ada beberapa cara penerbit (swasta atau DBP) mendapatkan manuskrip.

Penerbit swasta biasanya akan memilih penulis atau guru berpengalaman untuk menyediakan manuskrip. Seterusnya,  kumpulan pereka dan ilustrator mereka akan menyediakan peringkat seterusnya.

Penerbit swasta akan bertanding sesama penerbit swasta. Pihak DBP juga boleh bertanding. Naskhah terbaik akan dipilih oleh satu jawatankuasa yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Satu lagi kaedah ialah DBP mendapatkan  geran penerbitan daripada KPM. Terdapat beberapa cara DBP mendapatkan penulis dan manuskrip, iaitu:

1.  DBP boleh memilih terus penulis yang berpengalaman  dalam penulisan buku teks.

2. DBP mengadakan pertandingan, iaitu penulis menghantar manuskrip contoh secara berkumpulan   (boleh juga secara individu)  untuk dinilai.

3. DBP mengadakan pertandingan menulis manuskrip penuh secara berkumpulan untuk dinilai.

Pemilihan dilakukan oleh pakar pendidikan dan guru berpengalaman.

Ketiga,

Melalui cara (1) dan (2).  Penulis terpilih perlu menyediakan manuskrip mengikut masa yang ditetapkan. Melalui cara (3) pula, pihak DBP telah mendapat manuskrip lengkap.

Adakah proses penulisan dan penerbitan telah berakhir?

Jawapannya tidak. DBP akan melantik ahli jawatan kuasa peningkatan mutu untuk menilai penerbitan buku pada peringkat manuskrip, naskhah pruf muka surat dan naskhah sedia kamera. Manuskrip akan melalui proses peningkatan mutu.  Bahan yang tidak menepati kehendak kurikulum perlu ditukar atau ditulis semula.

Manuskrip yang telah dibaiki akan melalui peringkat penyediaan naskhah pruf muka surat.  Pada peringkat ini pereka bentuk dan ilustrator akan terlibat.  Pada peringkat pruf muka surat juga perubahan perlu dilakukan oleh penulis jika jawatankuasa mendapati kehendak kurikulum tidak tercapai.

Setelah 100% pruf muka surat siap, penilaian pada peringkat naskhah sedia kamera akan dilakukan. Pada peringkat ini penilaian dilakukan dengan lebih teliti dari segi reka letak, bahasa, dan kehendak kurikulum.  Pada peringkat ini biasanya penulis membuat pembetulan minor sahaja. Bagaimana pun, tidak mustahil pembetulan major dilakukan seandainya jawatankuasa masih belum berpuas hati.

Naskhah sedia kamera ini kemudiannya akan disemak dan dinilai oleh pembaca luar yang dilantik oleh DBP. Proses penambahbaikan berlaku lagi pada peringkat ini.

Keempat,

Naskhah sedia kamera yang telah siap sepenuhnya akan dinilai oleh jawatankuasa penilai yang kedua pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.  Jawatankuasa ini akan mengeluarkan satu laporan penilaian. Masih ada perubahan, pembetulan, dan penulisan semula yang perlu dilakukan oleh penulis bergantung kepada laporan yang dikeluarkan. Begitu juga dari segi reka letak dan ilustrasi.

Peringkat selepas ini dinamakan peringkat penyediaan naskhah cetak. Editor akan kerap berhubung dengan pengurus projek KPM untuk menyediakan naskhah yang sebaik mungkin menepati kehendak kurikukum.

Pada peringkat ini,  naskhah cetak akan diteliti oleh editor, pengurus projek, dan pegawai-pegawai lain di KPM. Pihak DBP juga mengadakan “penyuntingan berjemaah” bagi menjamin kualiti buku yang diterbitkan.

Kelima,

Setelah melalui kesemua proses, tibalah ke peringkat terakhir, iaitu naskhah edar. Pada peringkat ini “dummy” buku akan disediakan. kualiti buku dari segala aspek anatomi dan warna akan dinilai. Setelah berpuas hati, pihak KPM akan membuat pengesahan untuk percetakan dan pengedaran.

Demikian lebih kurang proses penerbitan buku teks oleh DBP. Penerbit swasta juga melalui proses yang lebih kurang sama.

Secara ringkasnya proses penerbitan buku teks akan melalui perkara-perkara berikut:

1. Pemilihan penulis

2. Penyediaan dan peningkatan mutu manuskrip

3. Penyediaan dan peningkatan mutu naskhah pruf muka surat (PMS)

4. Penyediaan dan peningkatan mutu naskhah sedia kamera (NSK)

     (Proses 1 hingga 4 melibatkan AJK peningkatan mutu DBP)

5. Penilaian NSK oleh pembaca luar DBP.

6. NSK dinilai oleh ajk kawalan mutu KPM.

7. Pembetulan NSK.

8. NSK disemak berkali-kali oleh editor.

9. NSK disemak secara berjemaah oleh editor DBP.

10. NSK disemak oleh pengurus projek KPM.

11. NSK disemak oleh pegawai-pegawai KPM.

12. Naskhah cetak disediakan (melalui proses 8-11)

13. Naskhah edar (kelulusan KPM)

Pada peringkat proses 1 hingga 13 akan melibatkan penulis.

Nota: Naskhah Sedia Kamera (NSK) ialah istilah lama dalam penerbitan buku. Pada zaman digital, istilah ini masih dikekalkan untuk menamakan peringkat penerbitan buku teks.

***

Nampaknya, walaupun DBP mengeluarkan poster ‘pertandingan’, buku teks kita bukannya melalui pertandingan biasa. Ada beberapa peringkat yang perlu mematuhi piawaian ketat.

Cikgu Amir Hazlin boleh dijejaki di https://www.facebook.com/amirhazlin.lin

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email