Berdamai dengan Takdir

Tepat sekali kata Bonda Nor, pengasas Akademi Bonda Nor (ABN) di akhir blurb
buku ini katanya, “Relaks betul membaca naskhah ini!”. Santai dan mudah difahami kotak mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat terutama sekali daripada golongan pendidik kepada anak didik.

Tambahan pula, ulasan daripada tiga individu yang telah membaca dan memuji
naskhah ini pada awal muka surat, menguatkan lagi keinginan saya untuk menyelak halaman seterusnya. Tidak membosankan, malah bahasa yang digunakan oleh penulis sangatlah mudah dan menyenangkan.

Berdamai dengan takdir ialah buah fikir dan teguran-teguran hikmah daripada penulis
yang bersangkut paut dengan kehidupan serta agama ketika beliau bergelar sebagai pendidik. Garang dan tegas namun tutur bicaranya disalut dengan manisan seolah-olah minda dan akal kita dibersihkan daripada kotoran yang kesat.

Judul buku ini, Berdamai Dengan Takdir sangat relevan diketengahkan mutakhir ini
kerana naskhah ini mengajak kepada kita agar senantiasa meredhai dan menerima setiap
suratan yang telah ditakdirkan ke atas manusia sebelum diciptakan lagi. Tidak cukup sekadar mengimani takdir yang diturunkan tetapi lapang pula dalam menjalani dan berdamai tanpa bermusuh dengan ketentuan Ilahi.

Dalam setiap garapan dan kupasan penulis tersebut, penulis membawa kita menelusuri
dan berfikir sejenak melalui pertanyaan-pertanyaan serba ringkas namun memiliki maksud
yang mendalam di sebaliknya.

Contoh dalam masalah pelajar penulis sendiri, masih ada segelintir meremehkan atau
mengabaikan solat ketika dan selepas sesi pembelajaran. Di samping itu, terdapat pula
sebahagian pelajar wanita yang tidak peka terhadap permasalahan aurat, kain diselak dan
berbagai-bagai alasan lagi yang tidak bersesuaian dengan peraturan kuliah dan syariat.

Setakat pemerhatian saya di dalam buku ini, antara perkara yang boleh saya simpulkan
mengenai faktor-faktor yang menyumbangkan ke arah perkara ini berlaku ialah disebabkan,

  1. Usia muda. Usia muda ialah usia paling mencabar sekali buat para remaja. Mereka
    diledakkan dengan kecanggihan teknologi sehingga boleh melalaikan mereka
    dalam mengerjakan kefardhuan-Nya.
  2. Tidak ada pendedahan mengenai asas agama sehingga mereka berani dan tidak
    takut mengabaikan hukum-hakam Allah dek kejahilan memahami ajaran Islam.

Justeru, karya ini tampil mencetuskan transformasi baharu dengan pendekatan dakwah
yang tepat mengikuti kemahiran dan ketinggian ilmu penulis sebagai ibu dan pendidik. Oleh kerana itu, karya ini sesuai menjadi bacaan ringan untuk semua masyarakat tanpa mengira lapisan umur kerana,

Pertama. Dapat melihat lebih jauh mengenai perjalanan penulis sebagai pendidik.
Seorang guru dia tidak boleh sekadar menjadi guru. Dia perlu sekali gus menjadi seorang
pembimbing yang tidak segan menyebarkan dakwah dalam kalangan anak-anak didik. Apa yang boleh dipelajari ialah menghargai mereka sepanjang bergelar sebagai guru yang komited dan bertanggungjawab kepada para pelajar hari ini.

Kedua. Merebut pahala selagi masih dikurniakan nafas. Penulis gigih berkongsi detik-
detik kejadian yang menimpa ke atas dirinya pada setiap hari. Bagaimana menghadapi dan
melayani situasi anak-anak yang ramai. Namun, Masha-Allah. Saya terinspirasi kepada
penulis kerana kehebatannya dalam mengemudi rumah tangga dengan begitu baik.

Ketiga. Mengajak semua dalam kalangan manusia merenung kembali atas sesuatu
yang telah berlaku kepada kita sebagai manusia biasa. Iaitu dengan cara menggali hikmah,
melaksanakan rukun-rukun Islam, tidak meninggalkan Allah ta’ala dari segi ibadah dalam
urusan kita yang tidak pernah berkesudahan.

Sebagai penutup, sekiranya mahu mendidik hati dan sudi mendengarkan isu-isu
semasa yang sedang melanda pemuda pemudi kita daripada penulis berjiwa besar ini, maka saya sarankan agar semua cuba mendapatkan buku berbentuk motivasi islamik ini.

Semoga usaha membaca karya ini mampu membawa kita semakin dekat dan semakin
mahu menambahkan lagi amal soleh kita kepada-Nya. Semoga hati dapat dibersihkan dengan lantunan istighfar. Semoga jasad semakin tunduk dan taat melaksanakan kewajiban kita sebagai hamba dan khalifah di dunia.

“Berdamai dengan takdir adalah kisah-kisah biasa. Tetapi, jika dipandang dari sudut
yang berbeza, ia adalah kisah yang sangat luar biasa. Merenung setiap yang berlaku, penulis yakin ia berlaku bukan saja-saja. Pasti ada sebab dan hikmah. Semuanya tidak akan terjadi tanpa izin yang Maha Kuasa.” Kata penulis, Berdamai dengan Takdir.

MAKLUMAT BUKU :

Nama buku : Berdamai Dengan Takdir
Penulis : Rohamiah Muda
Penerbit : Galeri Ilmu
Tahun Terbit : 2019
Muka surat : 176

SELAMAT MEMBACA …

Ulasan buku ini dikirim oleh SYUHARA SURIATI.  Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.

Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom

error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email