Apakah Maksud Novel biografi?

Sebagai seorang pembaca tentu sahaja kita tidak berat untuk mengambil kisah akan jenis dan kategori naskhah novel yang kita baca. Apatah lagi untuk berat memikirkan soal apakah kategori dan pengkelasan dalam sesebuah naskhah novel.

Namun sebagai penulis, wajarlah kita mengambil tahu dan memahami akan kategori tertentu dalam genre novel. Misalnya apa itu novel sejarah, novel sains fiksyen atau fantasi, novel sastera, novel popular atau romance.

CelikHuruf kali ini ingin berkongsi berkenaan apa itu NOVEL BIOGRAFI. Wacana perkongsian ini dibawakan oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam hantaran ringkasnya yang bermanfaat.

Dalam buku-buku glosari istilah kesusasteraan, novel biografi tidak dinyatakan secara tegas dan teoretis. Konsep yang muncul hanyalah istilah dalam bahasa Jerman, bildungsroman yang seerti dengan erziehungsroman (novel pendidikan), atau entwicklungsroman (novel of development).

Pengkritik Jerman sering menggunakan istilah tersebut bagi menjelaskan maksud novel yang mengisahkan kehidupan wira dan wirawatinya dari kecil atau muda hingga dewasa.


Bildungsroman juga disebut sebagai apprenticeship novel (novel aprentis) yang berasal daripada penggunaan oleh Goethe bagi karyanya Wilhelm Meister’s Apprenticeship (Holman dan Harmon, 1986: 55).

Novel aprentis ditakrifkan oleh Holman dan Harmon (986: 35) sebagai novel yang mengisahkan kehidupan seseorang yang berusaha memahami dunia, corak dan makna kehidupannya, dan akhirnya menemui falsafah hidup dan seni kehidupan (art of living).

Antara contoh karya yang diberikan ialah The Way of All Flesh (Samuel Butler), dan yang terkenal A Portrait of the Artist as a Young Man (James Joyce).

Sekiranya bildungsroman atau novel biografi ini mengisahkan kehidupan seniman atau penulis, ia disebut sebagai kunstlerroman.


Genre yang telah dikonsepsikan itu boleh dipadankan dengan konsep novel biografi. Jadi, novel biografi juga boleh ditakrifkan sebagai novel tentang kehidupan seseorang. Tumpuannya diberikan kepada pengalaman sepanjang hidupnya, manusia yang ditemuinya dan insiden yang berlaku dalam hidupnya dan diolah secara artistik menurut matlamat pengarangnya.

Dalam jagat sastera Melayu di Malaysia, antara novel yang termasuk dalam golongan ini ialah Wajah Seorang Wanita (S. Othman Kelantan). Novel itu berdiri sebagai penghargaan terhadap seorang wanita dengan memerihalkan ketahanannya menempuh hidup dalam zaman yang bergelora. Dengan matlamat untuk menyanjung watak tersebut, maka nilai kebaikannya menjadi keutamaan untuk dikisahkan sebagai teladan atau sebagai suatu bentuk paradigma yang diterapkan secara kultural kepada khalayak.

Demikian titipan wacana daripada Dr. Saleeh Rahamad, seorang Pensyarah Kanan di Universiti Malaya yang juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

————-

Anda ada artikel berkenaan Sastera, Seni, Budaya, buku, penerbitan dan seumpamanya untuk dikongsi, sila emelkan ke celikhuruf@gmail.com.


error

Adakah laman web ini menarik? Kongsikan dengan rakan anda.

RSS
Follow by Email