


Amer Hmzah L. Kadir bukan nama baharu yang perlu diperkenalkan lagi. Raja sayembara ini memenangi pelbagai sayembara penulisan. Malahan novelnya, Kembara Amira pernah menjadi teks KOMSAS. Baru-baru ini sosok tubuh seorang guru sejarah ini telah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Novel Sejarah Remaja 2019 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Sejarah Malaysia. Kami, CH menyelongkar kisah menarik pembikinan Aku Lelaki bernama Rosli yang memberikan pulangan RM5000 kepada beliau.
Ikuti inti pati ‘tahukah anda’ sepanjang temu bual CH dengan beliau.
- Tahukah anda, Cikgu Amer menulis hanya dengan menggunakan kertas kosong dan pelapik yang dibeli di kedai 2 ringgit sahaja. Beliau akan menulis di atas kertas tersebut. Kemudian barulah tulisan itu ditaip semula ke dalam laptop.
“Saya print maklumat-maklumat tentang novel yang saya tulis. Saya kepitkan di pelapik ni. Kemudian saya tulis,” katanya yang menulis di mana-mana sahaja kecuali waktu bekerja.
“Saya tak mahulah kena jawab di akhirat esok kalau tulis masa kerja.”
Malah, pihak CH pernah melihat Cikgu Amer menulis sambil menjaga restoran milik anaknya. Ambil order makanan kemudian menulis. Yeah, ini power!



- Tahukah anda, apabila pegawai DBP menelefon beliau memberitahu yang beliau memenangi tempat kedua sayembara novel sejarah, dan meminta salinan lembut (soft copy), salinan lembut tulisan asal Aku Lelaki Bernama Rosli tidak ditemukan. Beliau yang mempunyai empat laptop, mencari di keempat-empat laptop tersebut tetapi tidak ada. Hilang digantung sepi!
Mujur, beliau mempunyai salinan manuskrip bercetak yang belum diedit.
“Saya ambil masa selama semalaman untuk taip semula manuskrip tersebut. Isteri dan anak-anak saya bantu taip semula manuskrip tersebut. Haru, sebab esoknya kena hantar kepada orang DBP.”
Cikgu Amer beritahu semua proses menaip semula manuskrip itu dilakukan semasa beliau berada di rumah adiknya di Tanjung Malim.
- Tahukah anda, apabila CH tanya bagaimana Cikgu Amer dapat idea untuk menulis, beliau memberitahu kisah wanita misteri yang selalu muncul dalam mimpinya.
“Dia akan cuit jari kaki saya suruh saya bangkit menulis, tapi saya ni jenis tidur yang memang tak akan bangun, jika ada idea menulis pun. Jadi saya akan tidur terus.”
“Isteri cikgu ke?” teka CH.
“Tak, ini betul-betul perempuan misteri. Dia datang dalam mimpi dengan dua ekor harimau di sebelahnya.”
Alamak, seram pula CH sebab ketika sedang tulis artikel ini jam menunjukkan pukul 1.00 tengah malam. Aduh! Lain kalilah CH cerita fasal wanita misteri ni, nanti artikel ni jadi macam majalah Mastika pula.
- Tahukah anda, apabila pihak editor suruh menukar ayat berkenaan baju putih yang dipakai oleh Rosli Dhobi (dalam manuskrip asal) ketika mahu membunuh Duncan George Stewart, beliau menurut sahaja sedangkan pada perkiraannya apa yang ditulisnya itu betul.
- Tahukah anda, Cikgu Amer marah apabila ada penulis lain menggunakan ayat Rosli Dhobi berasmara dana dengan kekasihnya Ani dalam buku tulisan mereka, sedangkan katanya Rosli Dobi dan kekasihnya hanya berutus surat dan jarang berjumpa.
“Kisah Rosli Dhobi dan Ani ini kisah cinta yang unggul. Ani sanggup tidak berkahwin demi cintanya kepada Rosli. Bagus jika ada penulis yang menulis tentang kesetiaan cinta mereka ini.”
- Tahukah anda, sehingga tarikh tulisan ini diterbitkan Cikgu Amer belum lagi memegang naskhah fizikal buku Aku Lelaki Bernama Rosli. Malah, dia sendiri pun tak tahu kulit buku yang manakah digunakan untuk novel tersebut. Tapi duit hadiah kemenangan dah masuk akaun!
- Tahukah anda, umur sebenar Rosli Dhobi semasa menjalani hukuman bunuh tidak diketahui. Jika Rosli Dhobi berumur belasan tahun, tentunya hukuman tersebut salah kerana undang-undang British sendiri tidak menghukum bunuh pesalah bawah umur.
- Tahukah anda, dalam Tujuh sayembara pertandingan yang disertai oleh Cikgu Amer, hanya satu sayembara sahaja beliau tidak memenangi apa-apa hadiah. Yang lainnya beliau akan menang sama ada hadiah utama atau sagu hati.
“Rasanya sebab masa di Makkah dulu, saya memang berdoa. Yalah, setelah kita berdoa macam-macam untuk kita, anak isteri dan keluarga kita, last sekali saya berdoa supaya menang dalam semua sayembara yang saya masuk. Alhamdulillah.”
Ya, itu serba sedikit kisah Cikgu Amer dan Lelaki Bernama Rosli.

Cikgu Amer boleh dijejaki di https://www.facebook.com/amer.hmzah