“Kota Baghdad jatuh bukanlah karena kesalahan orang lain. Tetapi karena pengkhianatan dari wazir sendiri, yang bernama Ibnu Al-‘Alqami”.
“Sekali pengkhianat akan tetap menjadi pengkhianat. Dia berkhianat kepada yang lemah karena mengharapkan yang kuat. Maka bilamana yang kuat itu telah lemah pula, tentu akan dikhianatinya pula”
Mengapa kita mesti tahu tentang sejarah silam? Kata Hamka:
“Kejahilan telah menutup hubungan mereka dengan zaman yang lalu. Yang terdapat sekarang hanya tingkat-tingkat hidup yang tidak disukai Nabi SAW sendiri”.
Supaya kita tidak mengulangi kesalahan mereka di masa lalu dan memperbaiki kehidupan di masa akan datang.
Ini kisah tentang perjalanan Hamka mengembara ke negara Iraq pada tanggal 28 Oktober 1950, kira-kira hampir 70 tahun yang lalu. Ianya seputar kisah tamadun, budaya dan masyarakat yang menduduki kawasan sekitar Sungai Dajlah atau lebih dikenali sebagai Tigris.
Penulis mengajak kita menyelusuri sejarah kebangkitan dan kejatuhan sebuah tamadun agung suatu ketika dahulu. Ianya diceritakan seolah-olah segala yang pernah berlaku terpapar di hadapan mata ketika membacanya.
Kisah yang tragis dan menyayat hati ini bukanlah bertujuan untuk pembaca menghukum atau mengkritik setiap tindak-tanduk individu yang terlibat kerana sejarah negara Iraq banyak melibatkan kisah sejarah Islam dan para sahabat Nabi Muhammad dan para tabiin. Cukuplah kita mengambil pengajaran yang besar daripada sejarah masa lalu bagi menghargai kemerdekaan yang dikecapi, gedung ilmu yang dimiliki, keamanan untuk hidup di dalam negara yang pelbagai bangsa serta kemewahan kemudahan dan prasarana yang sedia ada.
Penulis menceritakan secara ringkas tetapi padat kisah yang berlaku bermula daripada pelantika Saidina Uthman sebagai khalifah, ketidakpuasan hati pengikut Saidina Ali, serta peperangan-peperangan yang berlaku. Paling sedih apabila datangnya bangsa Mongol dan Tartar yang datang berbondong-bondong lalu menghancurkan apa sahaja yang ada di dalam negara tersebut. Tiada manusia yang dibiarkan hidup. Semuanya dibunuh belaka. Perpustakaan dan segala khazanahnya dibakar dan dibuang ke dalam Sungai Dajlah sehingga airnya bertukar hitam dek dakwat yang terdapat pada kertas-kertas tersebut.
Hilanglah segala ilmu, kemajuan teknologi, peradaban dan kemewahan. Yang tinggal hanyalah makhluq yang rosak akhlaknya dan bodoh akalnya.
Bagaimanakah Iraq mampu bangkit semula?
Penulis menggambarkan pemerintahan di tanah Iraq selepas kejatuhannya seperti ini:
“Sulit menjalankan pemerintahan di tanah Iraq. Di negeri orang keras hati dan berbagai ragam alirannya. Seorang Perdana Menteri pernah membunuh diri karena tidak tahan.”
Namun, sebuah negara dapat ditadbir dengan baik sekiranya pemimpinnya adalah seorang yang bijaksana, berjiwa rakyat, rendah hati dan bertanggungjawab.
Sebagai contoh,menjelang kemangkatan Iskandar Masedonia di Tanah Babylonia, baginda telah mewasiatkan agar kedua belah tangannya mesti dihulurkan keluar daripada kerandanya agar semua orang tahu bahawa bagaimana besar kekuasaan manusia dan kekayaannya dia akan pulang ke akhirat hanya dengan tangan kosong jua.
Apakah pendapat Hamka sendiri tentang negara Iraq setelah tamat lawatannya ke sana?
“Tidak ada yang akan saya cela pada negara itu. Masyarakat yang buruk kita hadapi sekarang, bukanlah buatan orang sekarang, melainkan warisan dari angkatan yang telah berlalu. Tidak ada pula orang kuat yang dapat menghapuskan begitu saja satu cacat masyarakat dengan sekali gus”.
Nama Judul Buku : Di Tepi Sungai Dajlah
Penulis: Hamka
Terbitan tahun : 2018
Penerbitan : Jejak Tarbiah Publication
Cetakan ke : Pertama
Muka surat : 194
Harga : RM27
Ulasan buku ini dikirim oleh ANA READS, Ulasan yang tersiar ini layak untuk dinilai bagi memenangi hadiah bulanan ulasan buku terbaik #CELIKHURUF bernilai RM100 sumbangan penaja.
Untuk menghantar ulasan buku, sila e-melkan kepada Ketua Satu AKLI, Sdr. Mamu Mk Hasni di alamat e-mel : hasnibinhassim@gmailcom